Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



AUDIT: Sebanyak 35 Daripada 49 CCTV Stadium Batu Kawan Tidak Berfungsi




GEORGETOWN –7/4/2014:  Sebanyak 35 daripada 49 kamera litar tertutup (CCTV) di Stadium Batu Kawan, dekat sini, tidak berfungsi dan alat pemadam api di stadium berkenaan telah berusia lebih 10 tahun serta luput tarikh pengunaan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, CCTV yang sepatutnya berfungsi sebagai alat pemantauan dan pengawalan keselamatan itu didapati rosak pada kabel kuasa dan signal akibat kebocoran air di stadium itu.

Selain itu, dua daripada tiga monitor CCTV bagi tujuan pemantauan persekitaran juga tidak berfungsi dan kerosakan itu telah dilapor kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSN) sejak 2009 tetapi tiada tindakan diambil.

“Pada pendapat Audit, aspek keselamatan di stadium kurang memuaskan kerana penggunaan peralatan keselamatan yang tidak berfungsi dan tamat tempoh,” menurut
laporan itu.

Berdasarkan maklum balas MSN Pulau Pinang bertarikh 3 dan 15 Januari lalu, mendapati monitor CCTV tidak rosak dan berfungsi dengan baik sebaliknya kelonggaran hanya berlaku pada soket monitor dan ia telah dibaiki, manakala semua tong pemadam api telah diganti.

Laporan keseluruhan pengauditan yang dijalankan dari bulan Mac hingga Jun 2013 turut mendapati prestasi pengurusan penyewaan dan penyenggaraan Stadium Batu Kawan berada pada tahap kurang memuaskan.

Semakan Audit mendapati pengurusan tempahan stadium kurang teratur disebabkan pembayaran selepas penggunaan; pengurusan penyewaan tapak perlumbaan ‘cub prix’ tidak ditetapkan dan kadar sewaan stadium tidak seragam; kelemahan pengurusan terimaan; dan terdapat kerosakan kemudahan, peralatan dan persekitaran stadium.

Antara kerosakan yang dikesan ialah karpet di bilik VVIP, siling bocor, peralatan siaraya, pendingin hawa, keretakan di lantai stadium dan tanah mendap di tepi parit dalam stadium.

Laporan itu turut menegur kelemahan pemantauan oleh MSN Pulau Pinang yang menyebabkan prestasi kontrak pembersihan stadium di tahap kurang memuaskan dan bayaran penuh dibuat walaupun kekerapan kerja pembersihan tidak mengikut jadual yang dipersetujui.

“Pembayaran bulanan berjumlah RM11,000 masih dibuat sepenuhnya walaupun kerja pembersihan yang dijalankan kontraktor tidak meliputi semua kawasan yang ditetapkan dalam perjanjian,” kata laporan itu.

MSN Pulau Pinang dalam maklum balasnya mengenai perkara itu memberitahu bahawa kontrak lama telah ditamatkan dan kontrak baharu bermula pada Februari lepas.

Selain itu, kadar sewaan gerai perniagaan di stadium itu lebih rendah daripada kadar yang dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), menyebabkan MSN Pulau Pinang kehilangan anggaran hasil berjumlah RM10,080 bagi tempoh setahun.

Kadar sewa yang dikenakan ialah RM120 sebulan termasuk bekalan air dan elektrik sedangkan kadar yang dinilai JPPH pada bulan Mei 2013 bagi tempoh dua tahun termasuk bekalan air dan elektrik ialah antara RM200 dan RM350 sebulan.

Sementara itu, laporan Ketua Audit Negara itu turut menegur pengurusan aktiviti Usaha Tarbiah (Pulau Pinang) Sdn Bhd (UTSB), syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Antara kelemahan yang ditegur ialah berkenaan tiga daripada lima program diploma hanya mendapat akreditasi sementara dari Agensi Kelayakan Malaysia; pengambilan penuntut kurang memuaskan; dan pensyarah tidak mempunyai permit mengajar. – BERNAMA


1 comments:

apa yang dalam laporan tu menarik..tapi apa tindakan susulan terhadap tu sebenarnya yang lagi menarik..hehehe

Regards,
-Strider-

8 April 2014 at 16:33 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ