Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Peralatan Hospital Bernilai RM2.58 Juta Dikategorikan Sebagai 'Asset Not Found'

Peralatan Hospital Bernilai RM2.58 Juta Dikategorikan Sebagai 'Asset Not Found'


KUALA LUMPUR - 8/4/2014: Sebanyak 482 peralatan bernilai RM2.58 juta di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, dan Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar, dikategorikan sebagai 'asset not found' (V4L) atau peralatan tiada dilokasi.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, sehingga 31 Ogos 2013 sejumlah RM9,346 yuran masih dibayar bagi 26 peralatan V4L dan baki 419 peralatan tidak dapat disahkan status yurannya, sementara yuran untuk peralatan berstatus sama di HTF telah dihentikan.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan pihak audit tidak dapat mengesahkan status peralatan itu kerana tiada daftar selenggara bagi memantau peralatan V4L.

"Semakan lanjut terhadap 26 peralatan V4L yang masih dibayar di HTAR mendapati Notis Untuk Mula/Tamat Perkhidmatan (SNF) telah dikeluarkan bagi 12 peralatan.

"Bagaimanapun, bayaran yuran bagi peralatan itu masih diteruskan dan jumlah lebih dibayar bagi peralatan berkenaan dalam tempoh antara lapan hingga 38 bulan ialah RM4,497," kata laporan itu, dan menambah 14 lagi tidak dapat disahkan kerana tiada salinan SNF dikemukakan untuk semakan.

Sehubungan itu, laporan itu berpendapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

perlu membuat laporan awal dan laporan polis setelah peralatan yang dilaporkan sebagai V4L tidak dapat dikesan selepas tempoh 30 hari seperti ditetapkan.

Kementerian juga perlu memastikan SNF dikeluarkan bagi peralatan itu untuk menghentikan pembayaran yuran peralatan berkenaan, selain pemeriksaan aset perlu dibuat secara berkala.

Berdasarkan maklum balas kementerian yang disertakan dalam laporan audit sama, 31 aset dijumpai semula di HTF manakala di HTAR sebanyak 218 peralatan dikenal pasti tiada di lokasi dan laporan polis telah dibuat, 218 perlatan dilupuskan, tiga perlatan dipindah keluar dan enam peralatan dijumpai dan masih digunakan.

Selain itu, semakan audit terhadap semua senarai 'variation order' (VO) mendapati yuran perkhidmatan 'Biomedical Engineering Maintenance Service' (BEMS) bagi 19 peralatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanank (HWKK) Sabah dan 37 peralatan di HTAR telah dituntut sebanyak dua kali, dan berdasarkan perkiraan jumlah yuran lebih bayar ialah RM43,650.

Justeru itu, laporan itu mengesyorkan supaya tuntutan balik dibuat dengan segera, manakala Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Jawatankuasa Siasatan Dalaman telah ditubuhkan dan sehingga 4 Februari lalu, sejumlah RM10,037.7 telah dikutip balik.

Semakan audit juga mendapati sejumlah RM5.74 juta yuran tambahan bagi 482 peralatan telah kurang dibayar kepada syarikat konsesi kerana tarikh mula pembayaran yuran 'during warranty' dan 'post warranty' lewat daripada tarikh sepatutnya.

Manakala, RM1.49 juta didapati telah lebih dibayar oleh kementerian bagi pembatalan atau penamatan perkhidmatan 367 peralatan.

Sehubungan itu, kementerian disyorkan untuk memastikan tarikh mula pembayaran atau penamatan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian bagi memudahkan pemantauan, mengelakkan terlebih atau terkurang bayaran selain membantu KKM merancang peruntukan atau perbelanjaan sebenar.

Kementerian Kesihatan pula dalam maklum balas menjelaskan bahawa yuran lebih atau kurang dibayar berlaku disebabkan 'verification of variations forms' (VVF) lewat dikemukakan pihak konsesi dan dokumen sokongan bagi yuran perkhidmatan tidak lengkap. - mstar


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ