ASAL USUL BAJU MELAYU




FALSAFAH BAJU MELAYU (TRADISIONAL)

Setiap sesuatu bermula dengan langkah pertama. Berbaju Melayu misalnya dimulakan sekitar 700 tahun dulu dan dipercayai diperkenalkan pada zaman empayar Melaka oleh Sultan Muhammad Syah serta kaya dengan falsafah dalam berbusana.

Sultan Muhammad Syah ketika itu mahukan orang Melayu berbaju khusus bagi menampilkan mereka sebagai bangsa yang mempunyai jati diri sekalipun alam berpakaian, bukannya berbaju 'atas angin' seperti pakaian pedagang Arab atau India zaman itu.

Timbalan Dekan Pengajian Siswazah, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin ketika dihubungi menjelaskan, baju Melayu pada zaman Melaka awalnya dipakai singkat dan sendat seperti baju pesilat.

Bagaimanapun, rekaan baju Melayu ini mengalami evolusi dan diubahsuai atas persetujuan sultan. Dari berbaju sendat dan seluar singkat, bajunya menjadi sedikit longgar dan labuh. Seperti kehendak Sultan Muhammad, pemakaian baju Melayu oleh orang lelaki bukan sekadar menutup aurat, tetapi lambang identiti bangsa.

Cara penggayaan baju Melayu juga sebenarnya mengandungi falsafah tersendiri. Orang Melayu sangat berhemah apabila bertutur kata dan perlakuan mereka, malahan pemakaian membawa makna tersendiri. Secara tidak langsung orang Melayu mendidik generasi muda melalui pemakaian.

Baju Melayu ada dua rekaan iaitu cekak musang dan baju teluk belanga.

Baju Melayu cekak musang butangnya lima, teluk belanga pula butangnya satu dan membawa falsafahnya sendiri.

Berbutang lima merujuk kepada lima rukun Islam dengan dua butang diatas bermaksud, mengucap dua kalimah syahadah dan sembahyang lima waktu.

Baju Melayu Cekak Musang
Baju Melayu Cekak Musang



Selebihnya diwakili tiga butang di bawah. Jika kita buang dua butang dan hanya pakai tiga, falsafah di sebalik menegakkan rukun Islam itu tidak tercapai. Malah, ada teromba mengenai pentingnya pamakaian lima butang baju ini;

"cekak musang berbutang lima
lima rukun di dalamnya
lima petua dibawanya
lima tiang ditegakkan."

Pemakaian satu butang untuk teluk belanga bermaksud Tuhan Yang Esa seperti dinyatakan dalam teromba yang berbunyi;

"teluk belanga berbutang tunggal
tunggal satu tuhan yang disembah
tunggal tidak dapat dianjak alih
tunggal tidak dapat dibelah."

Tiga kocek pula merujuk kepada Iman, Ihsan, Islam.


Baju Melayu Teluk Belanga
Baju Melayu Teluk Belanga


Sungguh pun demikian, ada juga pandangan lain mengatakan, butang baju Melayu sebenarnya ada tujuh dan jenis ini dipakai oleh golongan aristokrat, manakala pemakaian kurang daripada tujuh hanya dikhususkan kepada orang kebanyakan.

Butang tujuh ini merujuk kepada 7 lapis langit dan bumi, dan tujuh tingkat syurga dan neraka, bertujuan mengingatkan bangsawan akan Allah Yang Maha Mulia.

Jika memakai baju Melayu ia mesti dilengkapi samping dan tanpanya pemakaian menjadi janggal kerana ia juga membawa maksud tersirat sama ada si pemakai sudah berkahwin atau sebaliknya.

Apabila mengenakan samping, lelaki yang sudah berkahwin mesti di bawah lutut, namun kalau orang yang bujang, sampingnya mesti di atas lutu. Kalau orang sudah berkahwin memakai samping singkat, itu tandanya dia hendak menambah isteri. Ada teromba klasik berhubung pemakaian samping berbunyi;

"Adat memakai samping kok sudah beranak bini atau orang yang patut-patut kain samping bawah lutut sama setentang paras betis ikat bergulung lurus lurus jika ikat atas lutut itu tandanya nak cari lagi harus tahu keadaan ini."

"Kok anak muda muda kain labuh di atas lutut bagai dubalang masuk gelanggang bagai ayam mencari lawan."

Cara pemakaian samping



Cara pakai sampin pun ada makna atau menunjukkan status masyarakat. Contohnya kerabat mengikat kepala sampin di sebelah kanan. Bangsawan di sebelah kiri. Rakyat biasa di tengah tengah.

Ilmu dan falsafah di sebalik pemakaian baju Melayu perlu dihebahkan supaya lebih ramai yang tahu dan mempraktikkan apalagi dengan kepantasan dan kecanggihan teknologi komunikasi hari ini.

Orang muda tidak buat sebab dia tidak tahu. Kalau tahu tentu dia buat. Sebab ini adalah adat kita orang Melayu. Kalau kita tidak sebarkan ilmu ini dampai bila-bila pun ia tidak dapat dikongsi dengan masyarakat.


3 comments:

Thanks for sharing.. Ingin belajar menjahit dirumah dengan pola baju yang sudah jadi? Anda bisa mendownload contoh polanya di Fitinline..

29 July 2016 at 14:07 comment-delete

Best n bermakna

23 August 2016 at 22:20 comment-delete

Best n bermakna

23 August 2016 at 22:21 comment-delete

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ