Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



APA ITU DYSLEXIA?



NAMA SAYA AINA, SAYA BUKAN BUDAK TAK PANDAI..SAYA CUMA ADA DYSLEXIA: 7 perkara tentang dyslexia.

Nama saya Aina, saya lapan tahun. Dulu saya minat sekolah, saya suka cikgu ajar melukis, buat aktiviti di padang dan belajar mengira. Tapi saya tak pandai membaca. Semua orang boleh baca dengan laju, tapi saya selalu susah nak baca. Kawan-kawan selalu gelakkan saya. Cikgu selalu tegur sebab saya tulis terbalik. Saya rasa saya tulis betul, tapi asyik dapat pangkah.

Saya tak boleh beri tumpuan sebab banyak sangat yang cikgu tulis di papan hitam saya tak dapat ikut. Saya tak sempat salin, jadi saya tak tahu apa kerja sekolah. Ada budak kata saya bodoh, sebab tu saya duduk kelas belakang. Bila kena baca di depan kelas, saya jadi takut. Saya rasa nak muntah, nak pitam atau mungkin rasa nak pengsan. Saya tak tahu apa yang saya rasa.

Saya takut dan tak mahu pergi sekolah. Saya menangis dalam bilik dan tutup pintu. Mula-mula mak pujuk, lepas tu mak marah. Ayah pun paksa tapi saya tak mahu pergi sebab saya takut. Cikgu datang sekolah pujuk, tapi saya takut dan saya malu. Kawan-kawan mesti kata saya budak malas sekolah.

Sebulan lepas tu, mak bawa saya jumpa doktor. Doktor buat ujian IQ, dia minta saya main puzzle, lukis-lukis, tiru bentuk dan jawab soalan. Doktor beritahu mak IQ saya ‘normal’. Doktor suruh saya tulis dan baca. Masa tu baru saya tahu, saya ada DYSLEXIA. Baru saya tahu, saya bukan budak tak pandai....saya cuma ada DYSLEXIA

__________________________________________

1. Dyslexia bukan bermakna anak tersebut tidak pandai, malas, payah diajar atau lembab. Kanak-kanak dyslexia mengalami masalah berkaitan keupayaan membaca, mengenal huruf, mengeja, menyebut suku kata, mengingat semula perkataan yang rumit dan mengingati memahami susunan ayat atau kata.

2.Ia disebabkan gangguan pada saraf otak yang secara khusus berfungsi dalam penguasaan kemahiran tersebut. Berbeza dengan kanak-kanak yang mengalami intellectual disability, kanak-kanak dyslexia biasanya mempunyai IQ yang normal, bahkan mempunyai kecenderungan dan bakat semulajadi yang istimewa dalam bidang lain seperti seni, kemahiran dan sebagainya. 10% kanak-kanak sekolah mempunyai gejala dyslexia.

3. Bukan semua kanak-kanak dyslexia mempunyai gejala yang sama. Antara gejala awal yang biasa dikesan adalah menulis huruf terbalik, tertukar suku kata, tertinggal huruf, tertinggal perkataan, tidak minat dalam tugasan memerlukan membaca dan menulis, sukar mengenal waktu dan tertukar maksud perkataan.

4. Pengesanan awal penting bagi membolehkan penilaian dibuat dan penyesuaian dibuat terhadap kaedah mengajar dan belajar bagi kanak-kanak ini.

5. Bagi yang mengalami kesukaran mengikuti pembelajaran arus perdana, mereka perlu dirujuk ke kelas khas dysleksia yang termasuk dalam program pendidikan khas integrasi yang disediakan kementerian.

6. Mengajar kanak-kanak dyslexia memerlukan kreativiti. Mereka mudah hilang fokus. Maka pengajaran perlu menggunakan pendekatan pelbagai pendekatan - seni, aktiviti, warna, bentuk, games, puzzle dan sebagainya.

7. Dyslexia tidak sepatutnya menghalang mereka berjaya seperti kanak-kanak lain. Dengan pengajaran yang bersesuaian, apabila mereka dapat menguasai konsep asas membaca dan menulis, mereka biasanya boleh mengikuti proses pembelajaran seperti kanak-kanak lain.

‪#‎psychoinfodrrz‬
‪#‎drnizamstips‬




Sumber: Dr Rozanizam Zakaria facebook


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ