Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



ASAL USUL PENUBUHAN HOSPITAL DALAM DUNIA ISLAM DAN MODEN



ASAL USUL PENUBUHAN HOSPITAL DALAM DUNIA ISLAM DAN MODEN

Kebelakangan ini, terdapat trend membimbangkan dikalangan umat Islam yang menolak perubatan moden atas alasan perubatan moden adalah rekaan Barat semata-mata. Mereka telah mengecilkan ruang lingkup perubatan Islam pada aspek ruqyah atau pemakanan berjenama sunnah semata-mata, sedangkan sejarah membuktikan tamadun Islam mempunyai tahap kesihatan tertinggi jika dibandingkan dengan mana-mana tamadun dunia. Malah, golongan seperti ini lebih gemar mengunjungi pusat rawatan yang disangkanya lebih Islamik, dengan mengabaikan dan menganggap rawatan di hospital adalah salah satu bentuk rawatan yang bukan berasal daripada ilmuan dan tradisi Islam.

Tetapi, tahukah anda, institusi pertama di dunia yang ditubuhkan secara khusus untuk merawat orang sakit (atau hospital dalam erti kata moden) adalah diasaskan oleh orang Islam. Sebelum itu, di dalam tamadun terdahulu, kebanyakkan tempat untuk merawat pesakit adalah di biara-biara atau pusat keagamaan sahaja, kerana kepercayaan umum ketika itu adalah kebanyakkan penyakit dipercayai berkaitan dengan perbuatan dosa dan gangguan syaitan. Dengan ketinggian ilmu perubatan Islam, para doktor dan sarjana perubatan muslim ketika awal pemerintahan Islam telah berjaya membezakan pelbagai penyakit seperti perbezaan campak (measless) dan cacar (chicken pox), serta mempunyai kaedah diagnosis symptom dan punca-punca penyakit yang lain beserta preskripsi perubatan yang khusus untuk setiap penyakit yang berbeza.

Meskipun sejarah pusat rawatan bergerak yang khusus telah direkodkan pada zaman Nabi Muhammad saw, namun, Khalifah Al-Walid bin Abd Al Malik (86H-96H) daripada kerajaan Bani Umayyah adalah tokoh pertama yang dikaitkan dengan pembangunan dan pembentukkan sistem hospital moden. Beliau merupakan pemerintah kerajaan yang pertama didunia yang diketahui telah membina sebuah institusi khusus untuk merawat pesakit dikalangan rakyatnya. Institusi khusus atau hospital ini, dikenali sebagai Bimaristan, yang berasal dari perkataan Parsi. Perkataan bimar bermaksud penyakit dan stan bermaksud lokasi atau tempat.

Hospital yang diasaskan Al-Walid ini mempunyai doktor dan pekerja sepenuh masa yang dibayar gaji untuk merawat pesakit-pesakit disini. Bagaimanapun, ada pandangan sarjana yang menyatakan hospital Al-Walid ini hanya untuk merawat penyakit kusta sahaja. Oleh itu, hospital atau Bimaristan yang berfungsi untuk merawat semua penyakit adalah hospital yang diasaskan di Baghdad semasa pemerintahan Khalifah Harun Al-Rashid (170-193H). Khalifah Harun telah melantik seorang tokoh perubatan daripada Jundishapur iaitu Jibrail Bakhtisu sebagai ketua atau “pengarah” Bimaristan ini. Semenjak itu, kejayaan dan kegemilangan perkhidmatan Bimaristan ini telah menyumbang kepada pembentukan bimaristan-bimaristan lain di Baghdad dan kota-kota utama di seluruh empayar Islam.

Antara kaedah pemilihan lokasi terbaik untuk pembinaan bangunan Bimaristan ketika itu telah diperkenalkan oleh Ar-Razi, iaitu tokoh perubatan Islam yang terkenal. Beliau telah mengarahkan ketulan-ketulan daging digantung dibeberapa lokasi disekeliling kota. Kadar pereputan dan kebusukan daging di setiap lokasi yang berbeza itu akan diperhatikan. Lokasi terbaik akan dipilih daripada tempat dimana kadar pereputan dan kebusukan yang paling perlahan diantara kesemua ketulan-ketulan daging tersebut. Daripada pemerhatian dan keputusan ujikaji ini, beliau akan menasihati khalifah akan lokasi terbaik untuk dibangunkan sesebuah Bimaristan di sesuatu kawasan.

Rakyat yang bernaung dibawah pemerintahan Empayar Islam ketika itu telah menerima pelbagai perkhidmatan kesihatan yang terbaik pada ketika itu, samada untuk warganegara Islam, mahupun bukan Islam. Terdapat bilangan hospital atau Bimaristan yang besar di setiap pelosok empayar Islam, meliputi Timur Tengah, Afrika Utara, Asia tengah dan benua kecil India. Bimaristan ini bukan sahaja berfungsi untuk merawat pesakit, tetapi ada juga yang berperanan menjadi sekolah perubatan untuk pelatih doktor dan pusat kajian ilmu perubatan.

Selain daripada Bimaristan utama yang berada di kota-kota besar, khalifah atau gabenor turut menyediakan beberapa jenis lagi perkhidmatan kesihatan melalui Bimaristan khusus iaitu:
- Bimaristan penyakit mental
- Bimaristan penyakit kusta
- Bimaristan penjara
- Bimaristan untuk rombongan haji
- Bimaristan bergerak yang bergerak ke kampong-kampung terpencil

Antara Bimaristan atau hospital yang terkenal ketika itu ialah Bimaristan Al-Nouri di Damascus; dibina pada 549H oleh Sultan Nuruddin Al-Zanki, Bimaristan Marrakesh di Maghribi, dibina pada 586H oleh Khalifah Al-Mansur Ya’kub Ibn Yusof. Bimaristan Al-Mansuri di Kaherah, dibina oleh Sultan Saifudin As-Salihi pada 646H, merupakan antara yang terbesar mempunyai kapasiti untuk menerima 8000 orang pesakit.

Kebanyakan Bimaristanl ketika pemerintahan Islam ketika itu diketahui dibuka untuk menerima pesakit sepanjang 24 jam sehari, mempunyai ratusan katil untuk pesakit tanpa mengira agama, bangsa atau latarbelakang pesakit. Malah, ada Bimaristan yang diketahui menyediakan pakaian pesakit yang berbeza untuk musim panas dan musim sejuk. Menurut Al-Maqrizi dalam tulisannya iaitu Khitat, pesakit yang dimasukkan ke Bimaristan akan diambil pakaian dan barang-barang yang berada bersamanya ketika itu untuk dijaga oleh seorang penjaga khusus, diberikan pakaian yang bersih, diberikan makanan dan ubat-ubatan dibawah pengawasan doktor tanpa sebarang bayaran sehinggalah mereka sembuh.

Setiap perkhidmatan Bimaristan yang disediakan kepada pesakit adalah percuma, malah ada Bimaristan yang turut memberikan wang kepada pesakit semasa mereka telah pulih dan dibenarkan keluar daripada Bimaristan, suatu konsep yang tidak pernah wujud dalam mana-mana hospital moden. Wang ini diberikan sebagai salah satu bentuk imbuhan ke atas kerugian daripada pendapatan pekerjaan yang dialami oleh seseorang pesakit semasa menjalani rawatan. Malah, ada juga pesakit yang turut diberikan pakaian baru semasa mereka keluar daripada Bimaristan.

Perkhidmatan Bimaristan atau hospital secara percuma ini, samada dibiayai oleh kerajaan, kerabat diraja, atau sumber waqaf. Setiap Bimaristan diketahui mempunyai pelbagai kemudahan dan setanding binaan istana pada masa itu. Ada Bimaristan yang mempunyai masjid, dewan kuliah, perpustakaan, malah, ada beberapa Bimaristan di kawasan yang mempunyai penduduk minoriti Kristian yang turut menyediakan gereja untuk mereka beribadat. Keunikan sistem Bimaristan ini, yang turut mempunyai Dokumen Waqaf, iaitu suatu pengisytiharan yang mirip kepada Piagam Pelanggan dalam konteks sekarang.

Dokumen Waqaf dengan jelas menyatakan:
“Bimaristan akan menerima kesemua pesakit, samada lelaki atau perempuan, sehingga mereka sembuh. Kesemua perbelanjaan rawatan akan ditanggung oleh Bimaristan, samada pesakit itu datang dari jauh atau dekat, warganegara atau bukan warganegara, kuat atau lemah, kaya atau miskin, bekerja atau penganggur, buta atau tidak, samada mempunyai kecacatan fizikal atau mental, berpendidikan atau tidak. Tidak ada sebarang syarat untuk menerima rawatan disini, dan tiada seorang pun yang akan dikenakan sebarang bayaran. Kesemua perkhidmatan hospital adalah semata-mata anugerah Allah, Tuhan yang Maha Pemurah.”

Bimaristan pada era ini, turut mempunyai sistem pengurusan yang mirip kepada sebuah hospital moden pada masa ini. Para doktor muslim memahami keperluan pemisahan antara lelaki dan perempuan. Oleh itu, Bimaristan ini telah dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu bahagian lelaki dan bahagian perempuan dengan sejumlah kakitangan yang tersendiri. Setiap Bimaristan mempunyai ruang khusus untuk penyakit-penyakit yang berbeza. Setiap ruang ini, mempunyai sejumlah doktor dengan dipimpin oleh seorang ketua doktor yang dilantik berdasarkan pengalamannya. Antara ruang-ruang khusus ini, ialah ruang pembedahan, ruang untuk penyakit organ dalaman, ruang untuk trauma dan patah tulang, ruang bersalin, serta ruang khusus untuk penyakit berjangkit. Menurut Ibn Abi Usaybi’a dalam bukunya ‘Uyun al-Anba’ fi tabaqat al-atibba’, setiap ruang ini mempunyai kemudahan dan peralatan perubatan yang lengkap untuk menjalankan rawatan dan pemeriksaan.

Ketua doktor dikenali sebagai Al-Saur, dan ada pekerja yang terlibat bahagian pentadbiran, doktor, pembantu doktor, jururawat, dan pekerja-pekerja khas yang akan membersihkan persekitaran Bimaristan. Kaedah operasi Bimaristan dalam merawat pesakit bermula dengan para doktor mendiagnosis dan mendefinasikan penyakit, seterusnya memberikan preskripsi ubat-ubatan. Menyedari kepentingan pemberian ubat-ubatan yang betul, Bimaristan juga mempunyai ruang dan petugas farmasi untuk menyediakan ubat-ubatan berdasarkan preskripsi doktor yang dikenali sebagai Al Sharabkhana.

Menariknya, di dalam Bimaristan, setiap pesakit mempunyai sekeping kad atau kertas yang mempunyai catatan tahap kesihatan hasil daripada pemerhatian doktor. Para doktor juga mempunyai senarai khusus dari setiap pemerhatiannya terhadap pesakit. Mereka melakukan ujikaji dan ujian berdasarkan hasil pemerhatian mereka tadi. Sekiranya para doktor ini mengalami kesukaran dalam mendiagnosis pesakit, mereka akan mengajukan masalah itu kepada ketua doktor. Para doktor sentiasa mengadakan perbincangan sesama mereka secara teratur dan berkala. Sesi diskusi dan konsultasi ini merupakan suatu bentuk konferens ilmiah kecil dikalangan para doktor di Bimaristan yang masih dipraktikkan sehingga kini di dalam hospital moden.

Untuk menjadi seorang doktor di Bimaristan, mereka juga harus menjalani suatu ujian kelayakan yang ketat. Ibn Abi Usaybi’a menceritakan bahwa ‘Adhud al Dawla telah mengadakan ujian bagi ratusan calon doktor, ketika dia hendak membangunkan Bimaristan Adhudi di Baghdad Barat. Daripada ratusan calon yang menghadiri ujian, hanya 24 orang doktor sahaja yang layak untuk bekerja di Bimaristan itu.

Bimaristan ini juga mempunyai suatu sistem kawalan kualiti yang tinggi. Pemeriksaan secara berkala oleh pegawai yang diberikan kuasa oleh Khalifah atau gabenor, dilakukan pada sela masa tertentu. Mereka akan menilai adakah sesuatu Bimaristan itu memberikan perhatian sewajarnya kepada setiap pesakit. Mereka juga akan memeriksa tahap layanan, makanan, kemudahan yang disediakan dan adakah para doktor dan kakitangan perubatan telah menjalankan tugasnya dengan sempurna atau tidak. Sistem ini menjamin Bimaristan untuk tetap menjalankan fungsinya secara kompeten, samada secara teknikalnya, kelimuannya dan pengurusannya.

Menganggap bahawa perubatan moden dan hospital diasaskan oleh tamadun Barat adalah suatu salah faham yang besar. Perubatan Islam tidak harus disempitkan dengan amalan ruqyah dan pemakanan sunnah semata-mata kerana sejarah membuktikan ruang lingkup perubatan dalam dunia Islam adalah lebih meluas dan menyeluruh meliputi aspek fizikal dan spiritual. Seharusnya, umat Islam merasa Izzah atau mulia dengan sumbangan generasi terdahulu yang telah memberikan sumbangan kepada pembentukan bidang perubatan moden.



Rujukan:
1-The Origin of Bimaristans (Hospitals) in Islamic Medical History oleh Dr. Sharif Kaf Al-Ghazal
2- Islamic Medicine History and Current Practice- Prof Hussain – Journal of the International Society for The History of Islamic Medicine (ISHIM)
3- http://www.aquila-style.com/focus-points/muslimlifestyle/the-contributions-of-muslims-to-medicine/16873/

Kredit: fb saintis sekolah pondok
4- https://aminisme.wordpress.com/2013/01/11/bimaristan-rumah-sakit-dalam-sejarah-islam/


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ