Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Pemimpin PKR dakwa telefon bimbit mereka digodam


Mohamed Azmin Ali dan Nurul Izzah Anwar mendakwa nombor telefon mereka digodam untuk menyebarkan maklumat memecahbelahkan PKR. – Gambar fail.



Malaysian Insider - 14/3/2014 - Dua pemimpin PKR hari ini mendakwa nombor telefon mereka digodam individu tidak bertanggungjawab yang dipercayai bertujuan untuk memecahbelahkan hubungan parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR).


Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menjadi pemimpin pertama parti itu yang mengeluarkan kenyataan telefon bimbit dan talian telefon yang digunakannya digodam.

Ia kemudian diikuti dengan kenyataan media berkaitan perkara sama oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

"Adalah dimaklumkan bahawa telefon bimbit dan nombor talian yang digunakan oleh Azmin telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Perilaku khianat ini dipercayai bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat. Tindakan segera sedang diambil," kata satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Timbalan Presiden PKR itu.

Sementara kenyataan daripada pejabat Nurul Izzah mendakwa individu yang menggodam talian telefon miliknya menghantar khidmat mesej pesanan ringkat (SMS) yang tidak diketahui kandungannya.

"Talian telefon Nurul Izzah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang masih lagi belum diketahui identitinya.

"Talian beliau telah digunakan oleh penggodam untuk menghantar SMS yang tidak diketahui kandungannya," kata kandungan kenyataan tersebut.

"Kami percaya, perbuatan ini dilakukan dengan untuk mewujudkan kecelaruan di dalam barisan jentera parti-parti pembangkang. Kami berharap tindakan segera dan tegas sedang diambil syarikat telekomunikasi khususnya Maxis atas kelakuan khianat ini," katanya.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan talian telefon kedua-dua pemimpin itu digodam, dan mereka hanya menyedari perkara itu apabila ada beberapa individu yang memberikan respons terhadap SMS yang tidak diketahui kandungannya.

"Saya sendiri telah bercakap dengan Nurul Izzah tadi, beliau berkata menerima lebih kurang 20 SMS yang mengatakan mereka bukan pengundi Kajang.

"Ada juga yang memberikan mesej marah-marah beliau," katanya.

PKR yang meletakkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac depan menentang calon Barisan Nasional Datin Paduka Chew Mei Fun.

Isu menggodam telefon bimbit bukan perkara baru buat Pakatan Rakyat apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut turut berlaku insiden sama apabila nombor telefon Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad mendakwa diklon untuk mengedar maklumat palsu berhubung pemberian zakat oleh calon PAS ketika itu, Endut@Azhar Yusof.

Wan Azhar, pembantu kepada kempen Azhar yang lebih dikenali sebagai Che Lon, hanya mengetahui perkara itu apabila terdapat sekitar 15 warga emas berkumpul di rumahnya untuk menuntut wang zakat.

Beliau menafikan menghantar mesej berkenaan pemberian zakat tersebut, namun mengakui nombor telefon yang digunakan adalah miliknya.

Tempoh kempen untuk PRK DUN Kajang bermula pada 11 Mac dan tamat pada 22 Mac depan.


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ