Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Suasana Iraq Satu Masa Dahulu PT 2






 Iraq pernah muncul satu ketika dahulu sebagai kota metropolitan yang pesat dengan cendikiawan-cendikiawan dalam pelbagai bidang. Kota ini panjang sejarahnya. Bermula dengan Tamadun Mesopotamia yang mempelopori penciptaan roda, penulisan dan juga undang-undang perlembagaan sehingga jatuhnya kota masyhur ini ke tangan kolonis British pada abad ke-19.

Sehingga ke hari ini, kota Iraq masih lagi menyimpan tinggalan sejarahnya miskipun banyak sudah yang lenyap dan hilang akibat perang yang silih berganti.

Untuk tatapan semua, di bawah adalah gambar yang sempat dirakam pada abad ke-20 di sekitar Iraq.



Malwiya Tower: Seorang lelaki berdiri di atas tapak arkeologi yang berlatar belakangkan sebuah bangunan berbentuk kon. Sebenarnya, bangunan berbentuk kon tersebut adalah menara Masjid Besar Samarra. Menara yang dikenali sebagai Malwiya Tower mempunyai keunikan yang tersendiri kerana dibina berbentuk spiral. Ia dibina pada tahun 848 masihi dan siap sepenuhnya pada 852 masihi. Pada 1 April 2005, puncak Malwiya Tower telah musnah dalam satu kejadian letupan. Ia berikutan serangan daripada pihak pejuang Iraq terhadap tentera penceroboh NATO yang menggunakan puncak menara tersebut sebagai menara pemerhati.







Masjid Al-Askari: Kelihatan Masjid Al-Askari daripada kejauhan. Kini segala-gala tinggal kenangan apabila pada 22 Februari 2006, satu kejadian letupan telah menyebabkan kemusnahan teruk pada kubah Masjid Al-Askari. Pada 13 Jun 2007, dua menara masjid ini turut sama musnah. Kini, masjid ini telah ditutup untuk kunjungan orang ramai.





Suq al-Masgoof: Suasana klasik di Suq al-Masgoof. Suq al-Masgoof adalah pasar yang terletak di bandar Samawah dekat utara Iraq. Ia adalah pasar yang penuh dengan sejarah kerana dibina sejak zaman pemerintahan Byzantine. Pasar ini dipercayai pernah dikunjungi oleh ramai ulama, para wali dan tokoh-tokoh Islam samaada atas tujuan berniaga mahupun untuk berjual-beli.





Sungai Furat dan Sungai Tigris: Suasana nelayan di sebuah sungai di Iraq. Iraq adalah sebuah negara yang berada di atas ‘ tapak’ tamadun Mesopotamia. Mesopotamia sendiri bermaksud ‘tamadun di antara dua sungai’. Dua sungai yang dimaksudkan adalah Sungai Furat dan Sungai Tigris. Atas dasar ini, sungai amat mempengaruhi sejarah tamadun lampau di Iraq.










Aiwan Kisra: Komplek Aiwan Kisra terletak di bandar purba Ctesiphon. Aiwan Kisra adalah komplek istana dinasti Sasanid yang dibina oleh Khousrau I pada 540 masihi. Kemashyurannya sebagai bangunan yang besar dan megah merebak ke seluruh tamadun sekitarnya. Ia pernah menjadi bangunan paling besar pada eranya. Kemashyurannya berada di puncak semasa zaman kenabian Rasulullah saw. Dipercayai singahsana diraja Dinasti Sasanid berada di bawah kubah melengkung seperti yang dapat dilihat pada gambar klasik di bawah.






Kirkuk Citadel/Kubu Kirkuk: Kirkuk Citadel adalah kubu purba yang dibina sekitar 884 sebelum masihi oleh King Ashurnasirpal II bagi melindungi kotanya daripada serangan musuh. Di sekitar Kirkuk Citadel terdapat beberapa tinggalan sejarah. Antaranya adalah kubur Nabi Daniel as. Selain daripada itu, terdapat juga kubur tiga orang alim yang bernama Hananiah, Mishael dan Azariah. Mereka sezaman dengan Nabi Daniel as. Kononnya, ketiga-tiga mereka pernah dibakar di dalam relau besar oleh raja Babylon yang zalim, namun dengan kuasa Allah swt, mereka terselamat tanpa sedikit pun kecederaan. Panglima Islam yang terkenal dengan kebengisannya, Timurlane dipercayai pernah menjejakkan kaki di sekitar kubu purba ini.






Kassite Ziggurat: Kassite Ziggurat dibina pada abad ke-14 sebelum masihi oleh raja dinasti Kassite, Karigalzu. Ziggurat yang terletak di Aqal Quf, Iraq ini adalah destinasi popular masyarakat setempat dan pelancong daripada luar negara. Ziggurat ini berdiri setinggi 170 kaki di dataran tandus menyebabkan ia mudah dilihat dan dikunjungi. Kini, Kassite Ziggurat telah direnovasi dan diperelokkan namun masih lagi terjamin nilai estatika sejarahnya.







0 comments:

Post a Comment

Suasana Iraq Satu Masa Dahulu PT 1





Ahli arkeologi Iraq yang juga ketua jabatan Sejarah daripada Universiti Muthana, Hadiya Jwan al-Khalidi pernah meluahkan rasa bimbangnya terhadap beberapa tapak arkeologi yang berada dalam keadaan membahaya dan mungkin akan lupus untuk selama-lamanya jika tiada usaha untuk memeliharanya dilakukan. Kebimbangannya juga dirasai oleh ramai pencinta sejarah purba Babylon dan Iraq di seluruh dunia. Faktor peperangan yang tidak kunjung padam menyebabkan rasa bimbang itu terus menguasai jiwa para saintis dan ahli arkeologi. Diharap, tinggalan sejarah ini perlu dijaga dan dipelihara sebaik mungkin kerana ia adalah warisan kepada generasi terkemudian.



Ishtar Gate

Gerbang Ishtar adalah salah satu daripada lapan pintu gerbang yang menghiasi kota Babylon purba. Namanya diambil berdasarkan nama dewi masyarakat Babylon purba, Ishtar. Gerbang Ishtar dibina pada 575 sebelum masihi atas arahan daripada Nabuchadnezzar II. Pintu gerbang ini dibina dengan begitu unik dimana bahan utamanya terdiri daripada batuan biru yang dikenali Lapis Lazuli manakala dindingnya pula dihiasi dengan ukiran timbul Auroch(lembu) dan Masusshu(naga).







Runtuhan kota Babylon




Seorang lelaki melihat tapak arkeologi runtuhan Babylon.





Kota Hatra



Runtuhan kota Hatra terletak di tengah-tengah padang pasir 110km barat daya Mosul, Iraq. Kota purba ini dibina pada 300 tahun sebelum masihi oleh bangsa Arab purba. Menurut laman web Unesco pula, Kota Hatra dikatakan dibina oleh bangsa Assyrian sehingga menjadi pusat perdagangan termasyhur pada zamannya sekurang-kurangnya pada abad ke-2 sebelum masihi. Disebabkan kepesatan ekonominya, Kota Hatra beberapa kali diserang oleh bangsa Rom. Pada 116 masihi, kota purba Hatra telah diserang oleh Trajan. Walaubagaimanapun, serangan tersebut tidak berjaya. Pada 198 masihi, kota purba Hatra diserang pula oleh Septimius Severus. Sepertimana serangan sebelumnya, serangan kali ini juga tidak berjaya. Kota purba Hatra walaubagaimanapun telah dimusnahkan oleh pengasas dinasti Sassanid, Adashir I pada 226 masihi yang kuat berpegang kepada ajaran Majusi. Runtuhan kota Purba Hatra yang dapat kita lihat hari ini adalah runtuhan kuil yang dibina pada abad ke-1 dan ke-2 sebelum masihi. Kuil tersebut dibina berdasarkan senibina Rom-Hellenistik dan diadun dengan senibina Oriental.





Runtuhan kota purba Hatra pada 1911.



Rasheed Street

Rasheed Street adalah salah satu jalanraya utama di Baghdad. Ia dibina pada Mei 1916 oleh kerajaan Othmaniyyah setelah kejayaan mengekang ancaman British pada April 1916. Rasheed Street dibuka sepenuhnya kepada orang ramai pada 23 Julai 1916. Pada tahun 1917, Rasheed Street menjadi jalanraya pertama di Iraq yang dilengkapi dengan tiang lampu dan cahaya elektrik. Sehingga kini, Rasheed Street adalah salah satu destinasi yang wajib dikunjungi jika berkunjung ke Iraq.



Rasheed Street pada zaman Othmaniyyah di Baghdad



Rasheed Street pada 1930




Rasheed Street pada 1950



Tomb of Siti Zubaidah

Tomb of Siti Zubaidah juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya adalah Tomb of Zumurrud Khatun, Masjid Al-Khaffafin dan Masjid al-Haza’ir. Ia terletak di tengah kota Baghdad berhampiran dengan Madrasah Mustansiriya. Ia dibina oleh Siti Zubaidah atau Zumurrud Khatun, isteri kepada khalifah Harun al-Rashid sebelum kematiannya pada 1202 masihi. Siti Zubaidah terkenal dengan sikap dermawannya dan sikap hormatnya kepada ulama dan para ilmuwan. Beliau pernah membina beberapa perigi yang berkesinambungan daripada Baghdad ke Mekah dan Madinah semata-mata memberi kemudahan kepada jemaah haji. Sehingga ke hari ini, laluan tersebut digelar Darb Zubaidah yang membawa maksud Laluan Zubaidah sempena namanya.







Ezekiel’s Tomb di Al Kifl

Ezekiel’s Tomb terletak di satu tempat di Iraq yang bernama Al Kifl. Bangsa Yahudi mempercayai ia adalah kubur kepada nabi mereka iaitu Ezekiel atau Hizkil as. Masyarakat tempatan yang majoritinya beragama islam juga mempercayai ia adalah kubur seorang nabi yang diceritakan dalam al-Quran, Nabi Zulkifli as. Menurut sesetengah ulama, Ezekiel atau Hizkil as adalah individu yang sama dengan nabi yang diceritakan dalam al-Quran, Nabi Zulkifli as. Wujud pertanyaan berkisar bagaimana kubur seorang nabi berbangsa Israel boleh berada jauh di Iraq. Menurut kitab Taurat dan Injil, Nabi Zulkifli as atau Hizkil as telah dibawa sebagai tawanan perang bersama-sama ribuan bangsa Israel yang lain ke Iraq oleh tentera Nabuchadnezzar semasa Pencerobohan Jeruselam pada 587BC. Turut sama sebagai tawanan perang tersebut adalah Nabi Daniel as dan raja terakhir Judah, Zedekiah.


Beberapa orang Yahudi berada berhampiran dengan Ezekiel's Tomb. Dirakam pada 1932.





Basrah

Basrah adalah salah satu kota paling mashyur di Iraq. Pada satu ketika, kota ini mempunyai populasi kedua tersebar di Iraq selepas Baghdad. Kota Basrah terkenal sebagai kota yang berhampiran dengan lautan. Tidak hairanlah apabila kota ini dikatakan kota kelahiran lagenda cerita lisan ceritera 1001 malam, Sinbad the Sailor. Bagi masyarakat Kristian, kota ini dikaitkan dengan taman Eden atau Garden of Eden. Masyarakat Islam pula mengenali kota Basrah disebabkan nisbah nama seorang ulama dan wali Allah, Hasan al-Basri. Hasan al-Basri yang pernah hidup sezaman dengan Rasulullah saw berpindah ke kota Basrah daripada Madinah untuk menyebarkan ajaran Islam dan sehingga ke hari ini, Islam subur di kota ‘lagenda’ ini.



Kota Basrah pada 1890.





Makam Guru Nanak

Makam Guru Nanak di barat kota Baghdad. Ia berhampiran dengan makam-makam purba di sebelah utara dan landasan keretapi Baghdad-Samarra di selatan. Masyarakat Sikh percaya ia adalah makam pengasas ajaran Sikh, Guru Nanak(1469-1539). Masyarakat tempatan pula mempercayai ia adalah makam seorang wali Allah, Bahlol Dana. Menurut cerita lisan daripada masyarakat Sikh, Bahlol Dana atau nama sebenarnya Bahlol bin Omar ra pernah bersemuka dengan Guru Nanak. Pertemuan itu berlangsung cukup estasi iaitu keadaan penuh makrifat. Walaupun begitu, pertemuan tersebut tidak dapat disahihkan dengan fakta kerana banyak riwayat menyatakan Bahlol bin Omar hidup sezaman dengan Khalifah Harun ar-Rashid(766-809).



Di sinilah dikatakan makam Guru Nanak.





Makam Guru Nanak di satu sudut yang lain.



Sumber

0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ