Majalah Indonesia dedah ‘gaya hidup mewah’ Najib, Rosmah
Kehidupan mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor disiarkan di beberapa media tempatan dan antarabangsa kebelakangan ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 April, 2015. Sebuah majalah Indonesia menyiarkan artikel mendedahkan "gaya hidup mewah" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, dua hari selepas melakukan lawatan kerja ke republik itu.
Laporan Tempo bertajuk "Hidup Mewah Sang Perdana Menteri" melaporkan tentang barangan yang dibelanjakan Rosmah termasuk beg tangan jenama Birkin dan barang kemas.
Tempo juga memaparkan gambar jam tangan mewah yang dikeluarkan Badan Bertindak Pemerhati Jenayah Malaysia (MyWatch) baru-baru ini yang didakwanya milik pasangan tersebut.
Mywatch mendakwa, setiap satu jam tangan milik Rosmah berharga antara RM79,200 untuk Hublot BlackBerry Black Magic 114 dan RM486,000 untuk Richard Mille Lady RM 007.
Tempo juga membuat perbandingan antara jam tangan dengan pendapatan Najib iaitu kira-kira RM350,000 setahun.
"Kehidupan Najib dan keluarganya menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia," katanya dalam artikel itu.
Penggayaan rambut Rosmah bernilai RM1,200 juga turut ditimbulkan, yang mengundang kritikan hebat ketika rakyat bergelut dengan tekanan hidup.
Tempo juga menyentuh isu anak tiri Najib, Riza Aziz yang membeli kondominium mewah di New York bernilai RM110 juta pada 2012 dan rumah di Beverly Hills, California bernilai AS$17.5 juta secara tunai, seperti yang dilaporkan New York Times.
Kehidupan mewah Rosmah dan Najib disiarkan di beberapa media tempatan dan antarabangsa kebelakangan ini, dan turut disiarkan dalam satu artikel New York Times edisi Februari berkaitan kekayaan ahli perniagaan Low Taek Jho.
Memaparkan invois dan dokumen lain sebagai bukti pembelian barang kemas yang dibeli Rosmah, laporan itu menuntut respons daripada Pejabat Perdana Menteri dan menerima jawapan berbunyi: "Tiada sebarang duit yang dihabiskan untuk berjalan atau membeli barang kemas, atau simpanan dalam peti besi yang didakwa, yang di luar kebiasaan bagi seorang yang berada pada posisi perdana menteri, dengan tanggungjawab dan harta legasi keluarganya."
Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membidas kehidupan mewah Najib dan Rosmah dalam blognya.
"Ada banyak perkara tentang kelakuan peribadinya (Najib) yang saya rasakan tidak betul.
"Namun, saya bersedia untuk melupakannya, termasuklah gaya hidup mewah beliau dan isterinya," kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaru di blognya semalam. – 21 April, 2015.
1 comments:
luckyong77.com
Post a Comment