Planet Zuhrah dan Musytari Bertemu Jua
Bagai pinang dibelah dua, begitulah mungkin yang dapat dikatakan mengenai pasangan dua buah planet terang, Zuhrah dan Musytari, yang kini sedang mendominasi pandangan kita di langit barat, sebaik sahaja azan Maghrib bergema.
Setelah beberapa bulan menanti, ‘pertemuan’ dua planet yang masing-masingnya unik dalam cara tersendiri, sampai ke kemuncak.
Pada petang nanti, 30 Jun 2015, apabila kita pandang ke barat, akan didapati kedua planet ini ‘terpisah’ pada jarak yang sama dengan diameter bulan.
Malah, jika diluruskan lengan anda di hadapan, dan ‘meletakkan’ hujung jari telunjuk berhampiran dengan kedua planet ini, ia akan kelihatan memenuhi kawasan ‘separuh’ sahaja dari lebar jari anda!
Simulasi di atas menunjukkan betapa rapatnya Zuhrah dan Musytari nanti, hingga boleh dimuatkan dalam hujung jari kita je! ©falakonline.net
Begitulah dekatnya fenomena yang dipanggil conjunction (atau konjungsi) kali ini.
Menerusi laman sosial FB FalakOnline sejak beberapa hari lepas, telah didapati ramai yang berjaya dan mengenali Zuhrah dan Musytari dengan mudah. Malah saya kagum dengan kemampuan dan semangat merakam gambar menerusi telefon bimbit.
Bak kata orang, “tak kisahlah senget ke, kelabu ke, gelap ke, gambar tu …asalkan dapat simpan untuk kenang-kenangan pun ok dah” !
Apa itu Conjunction?
Planet bergerak mengikut kelajuan masing-masing di angkasa lepas. Ada yang laju, seperti Zuhrah, dan ada yang bergerak lambat seperti Musytari.
Menerusi pandangan kita dari Bumi, pergerakan planet-planet ini akan sentiasa berubah-ubah dari malam ke malam, apabila kita bandingkannya dengan kedudukan bintang-bintang lain di langit.
Itulah antara cara hendak membezakan planet dengan bintang.
Ada ketikanya, 2 buah objek sistem suria, samada pasangan bulan dengan planet, atau planet dengan planet, akan berada pada satu sudut pandangan yang sama, seolah-olah nampak dekat.
Sebagai contoh cuba lihat ‘simulasi’ di bawah. Andaikata 2 buah objek di bawah ini melambangkan 2 buah planet tersebut. Dari pandangan kita di Bumi, kita akan nampaknya ‘duduk’ sebelah-menyebelah. Macam dekat je…
Tetapi apabila kita mula lihat dari atas, umpamanya kita ‘keluar’ dari bumi dan berada di angkasa lepas, kita akan dapati rupanya 2 objek tersebut berada jauh jaraknya antara satu sama lain.
Itulah yang sedang kita lihat antara Zuhrah dan Musytari. Ketika ini, Zuhrah berada hampir dengan kita manakala Musytari nun jauh ke belakang.
Kedudukan sebenar Musytari, Zuhrah dan Bumi pada ketika ini. Simulasi Sky Safari Pro.
Oleh itu, jangan sebar cerita kononnya kedua planet ini akan berlanggar lah, itu lah, ini lah. Kena belajar bab orbit planet dahulu, okay! đŸ˜‰
Sumber: falakonline.net
0 comments:
Post a Comment