STOCKHOLM: Anak lelaki pasangan Malaysia di Sweden yang didakwa mendera anak mereka berkata rotan yang digunakan terhadap adik beradiknya bertujuan memastikan mereka berdisiplin seperti hamba.
“Ia seperti mereka mengawal kami dengan benda itu. Kami tidak mahu dikenakan hukuman dengan benda itu,” kata Ammar , 12, dalam satu temubual yang direkodkan awal januari lalu.
Video temubual itu disiarkan ketika prosiding di Mahkamah Daerah Solna di sini, pada hari Jumaat.
“Mereka fikir mereka seperti tuan dan kami hamba,” katanya.
Mendengar keterangan itu, ibunya Shalwati Nurshal dilihat memuncungkan bibirnya dan menyilang tangan.
Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem Awalluddin ditahan pada 18 Disember tahun lalu selepas Ammar memberitahu kakitangan di sekolahnya bahawa dia dipukul.
Aduannya itu menyebabkan mereka melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Polis wanita yang menemubual Ammar bertanya mengenai alat yang digunakan oleh ibunya itu, Ammar berkata ia dipanggil ‘rotan’ dalam bahasa Melayu.
Katanya beliau tidak tahu jika istilah rotan terdapat dalam bahasa Inggeris.
Anggota polis turut bertanya jika rotan itu mempunyai kegunaan lain seperti penyangkut baju yang digunakan untuk memukul walaupun ia adalah alat untuk menggantung pakaian.
“Ia digunakan untuk memukul sesuatu,” tegas Ammar .
“Saya fikir ia digunakan untuk mendidik. Di Malaysia, beliau (Shalwati) menggunakannya apabila mengajar al-Quran. Apabila saya membuat banyak kesilapan, dia akan memukul saya atau memukul-mukul lantai,” katanya.
Apabila ditanya oleh polis bagaimana Ammar tahu adik-beradiknya turut dipukul, Ammar berkata adik beliau akan ‘berkongsi kesakitan mereka’ tetapi mengakui kakaknya, Aishah lebih berdiam diri.
Perbicaraan bersambung hari Isnin.
Sementara itu perbicaraan hari Khamis sebelumnya.
Anak lelaki sulung pasangan Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Nor Shal, Ammar terus mengejutkan mahkamah dengan beberapa pengakuan dipukul oleh pasangan itu pada hari ketiga perbicaraan, Khamis.
Dalam sebuah video yang ditayangkan oleh pendakwaraya, Anna Arnell, Ammar yang ditemubual oleh pegawai penyiasat dilihat tidak memerlukan banyak soalan untuk terus ‘bercerita’.
Ammar mendakwa kakak sulungnya Aishah, 14, selalu dipukul kerana mempunyai tabiat suka mencuri coklat dari bilik ibu bapa mereka yang boleh dikatakan berlaku pada setiap bulan.
Dalam satu lagi insiden, Ammar mengaku dipukul menggunakan tali pinggang kulit milik Azizul oleh ibunya setelah dia tidak berhenti mengeluh dan mengomel apabila diminta mencuci bilik air.
“Rasa seperti ada darah keluar dari kaki saya. Saya juga rasa seperti ada air panah mengalir ke hujung kaki. Tali pinggang itu dibuat dari kulit. Ia milik ayah saya dan ia berwarna coklat,” ujarnya.
Peguam Shalwati, Kristofer Stahre berkata, kenyataan Ammar sangat tidak konsisten dengan kenyataan daripada saksi-saksi lain dan boleh menjadi satu kelebihan untuk pihak pembelaan.
Ammar turut menceritakan satu kejadian ketika dia berusia lapan tahun di mana dia telah dicubit berhampiran kemaluannya oleh Shalwati.
Ammar bagaimanapun gagal mengingati punca dia dihukum sedemikian namun yakin ibunya tidak akan mengulangi hukuman itu.
Dalam pada itu, Ammar yang kini berusia 12 tahun turut memberitahu bahawa dia pernah terdengar ibunya mencadangkan kepada Azizul untuk membiarkan dia sahaja yang memukul anak-anak bagi mendisiplikan mereka.
Alasan Shalwati ketika itu ialah kerana Azizul memukul anak-anak mereka terlalu kuat sehingga mereka menangis dengan lebih kuat namun ia berbeza sekiranya Shalwati yang memukul mereka.
Ammar berkata perbualan itu didengarinya ketika melintasi bilik ibu bapanya.
Anak kedua pasangan itu bagaimanapun masih menunjukkan penyesalan apabila bertanya bilakah ibu dan bapanya akan dibebaskan pada permulaan video tersebut.
“Ia adalah satu masa yang panjang. Sudah empat minggu berlalu dan rasa janggal tidak melihat mereka sekian lama. Saya mahu ibu bapa saya berada di rumah dan kami akan baik-baik sahaja bersama-sama,” tambahnya.
Azizul dan Shalwati telah ditahan sejak Disember tahun lalu kerana dipercayai mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudara di Kelantan.
Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan ini.
Anak sulung pasangan tersebut, Aishah, 14, dan Ammar kini bersekolah di SMK Padang Kala sementara Adam, 11 dan Arif pula menuntut di SK Padang Kala, Kota Bharu.
Perbicaraan tersebut dijangka akan memakan masa sehingga 10 hari di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm.
Baca juga perbicaraan-perbicaraan sebelumnya
1 comments:
Post a Comment