Tips Kurangkan Sakit Gigi Tanpa Telan Ubat
Berikut adalah beberapa cara yang boleh diambil untuk mengurangkan rasa sakit gigi sekiranya ia menyerang:
Kumur dengan air garam
Campurkan satu sudu garam ke dalam secawan air suam dan gunakannya untuk berkumur. Gerakkkan air garam tadi ke bahagian yang sakit beberapa kali. Selepas lebih kurang 30 saat, ludahkan air garam tadi keluar. Ulang semula beberapa kali sehingga kesakitan berkurangan.
Sekiranya tiada apa-apa kesan, boleh cuba pula cara lain.
Tuam dengan ais
Bahagian yang sakit juga boleh dituam dengan ais yang dibalut di dalam kain. Ais tadi akan ditekan di bahagian pipi yang sakit beberapa ketika untuk memberikan rasa kebas kepada saraf yang sakit.
Gigit bunga cengkih pada tempat yang sakit
Ini merupakan salah satu petua tradisi yang agak popular di kalangan masyarakat kita. Caranya adalah dengan mengambil beberapa batang cengkih dan kemudiannya gigit cengkih tersebut di sekitar bahagian yang sakit.
Apabila digigit, cengkih tadi akan mengeluarkan minyak patinya yang mempunyai suatu bahan yang dinamakan eugenol, sejenis penahan sakit yang terhasil secara semulajadi. Ia akan membuatkan bahagian yang sakit itu sedikit kebas dan menghilangkan kesakitan yang menyucuk.
Selain dari cara menggigit bunga cengkih, minyak pati cengkih juga boleh digunakan dengan menitiskannya di bahagian yang sakit. Namun begitu, penggunaannya perlu diperhatikan kerana kuantiti minyak yang terlampau banyak akan membuatkan gusi dan tekak mengalami keradangan pula.
Kunyah daun jambu batu
Cara ini walaupun kedengaran agak janggal, namun dikatakan agak berkesan. Ini kerana daun jambu batu tadi akan memberikan rasa kebas pada tempat yang sakit.
Daun jambu batu juga boleh direbus dan dicampurkan dengan sedikit garam. Ianya dibiarkan suam dan kemudiannya digunakan untuk berkumur.
Pes Garam dan Lada Hitam
Campuran garam dan lada hitam yang kemudiannya digaulkan dengan air untuk menghasilkan pes, dikatakan boleh juga diletak pada tempat yang sakit untuk mengurangkan rasa sakit.
Minyak Pati Vanilla
Selain dari minyak pati cengkih, minyak pati vanilla juga dikatakan mempunyai kesan yang sama dengan menumpulkan kesakitan pada tempat yang dititis.
Ini mungkin sekali disebabkan oleh penggunaan eugenol hasil dari ekstrak bunga cengkih yang digunakan secara meluas dalam penghasilan ekstrak vanilla.
Walau apa pun cara yang digunakan untuk mengurangkan kesakitan, perlu diingat bahawa masalah gigi perlu dirawat dengan cara yang betul oleh doktor gigi. Semua petua ini hanya boleh mengurangkan rasa sakit, tetapi ia tidak menjamin yang kesakitan itu akan terus hilang selamanya. Ianya mungkin kembali pada bila-bila masa dan mungkin akan lebih menyeksakan daripada sebelumnya.
Sekiranya anda lebih sanggup menanggung kesakitan daripada berjumpa doktor gigi, anda mungkin sekali seorang yang mengalami odontophobia.
Sumber: www.diaridunia.com/
1 comments:
Post a Comment