Nadiya Nisaa Hilang Dan Dituduh Gila Di Jakarta!
14 Jan - Sepuluh hari di Jakarta adalah satu pengalaman yang cukup menyeksakan buat Nadiya Nisaa kerana dirinya diuji dengan dugaan yang maha dashyat apabila harapan untuk memulakan kehidupan baru bersama suami di Jakarta bertukar duka apabila suaminya curang, anak perempuan kesayangannya pula hilang di kompleks membeli belah malah dia juga dituduh kurang siuman kerana tiada sesiapa yang mempercayai kata-katanya.
Semua dugaan dan insiden yang dilaluinya cukup membuatkan Nadiya panik dan sekali lagi pelakon berbakat ini berjaya menterjemahkan perasaan panik dan kalut tersebut menerusi supertelemovie terbaru lakonannya, "Panik" yang merupakan bikinan pengarah tersohor Indonesia, Hanung Bramantyo.
Menjalani penggambaran sepenuhnya di Indonesia yang memakan masa selama 10 hari, pelakon filem "Cun" ini menyifatkan pengalamnnya berkerja di bawah arahan pengarah yang terkenal lewat filem "Ayat-Ayat Cinta", "Perahu Kertas" itu sebagai satu pengalaman yang menakjubkan dan sangat-sangat berharga sehingga sukar untuk diterjemahkan perasaannya itu kepada kata-kata.
"Hanung seorang yang pengarah muda yang sangat berbakat dan sangat-sangat sederhana dalam setiap perkara tetapi professional dan berdisiplin tinggi.
"Persamaan produksi Malaysia dan Indonesia adalah dari segi kru, tugas-tugas asas semuanya sama tapi apa yang berbezanya adalah mereka memiliki tahap disiplin yang tinggi dan sangat pantas bekerja. Bayangkan sahaja, kami cuma berehat untuk makan selama beberapa minit dan selepas makan terus menyelesaikan penggambaran dan kami hanya bersuai kenal dan bergelak ketawa sejurus selepas penggambaran selesai," ujar Nadiya yang ditemui pada sidang media supertelemovie tersebut di The Gardens, petang semalam.
Bercerita tentang cabaran yang dilaluinya dalam melakonkan watak Ida, wanita yang dikhianati suami dan kehilangan anak di negara asing, Nadiya mengakui menzahirkan perasaan panik dan dalam pada masa yang sama memvisualkan perasaan kalut itu sangat memenatkan.
"Sebelum menjalani penggambaran kami melalui proses 'script reading', yang memerlukan saya berlatih dengan skrip, kemudia Hanung membawa saya meninjau lokasi penggambaran "Panik" iaitu di sebuah pusat membeli belah bagi mendapat gambaran bagaimana setiap babak akan dilakonkan.
"Sebaik penggambaran bermula, cabaran sebenar pun bermula kerana barulah saya tahu untuk menzahirkan perasaan panik seorang ibu yang kehilangan anak di sebuah negara asing dan dalam pada masa yang sama kena terkejar-kejar dari satu kedai ke kedai yang lain demi mencari anak bukanlah sesuatu yang mudah dan ia sangat-sangat memenatkan baik dari segi fizikal dan emosi.
"Paling cukup meninggalkan kesan pada saya apabila dalam babak panik tersebut saya harus berlari dan bertanya orang awam namun bahasa pertuturan saya tidak difahami meskipun kalau difikirkan bahasa Malaysia dan Indonesia lebih kurang sama bukan? Bila saya cakap dalam bahasa Malaysia mereka cuma menggelengkan kepala dan ada juga yang senyum tersengih-sengih.
"Saya juga menyedari bahawa kebanyakan orang-orang di sana juga kurang memahami bahasa Inggeris dan ia turut menjadi penghalang dalam berkomunikasi dan itulah yang cuba disampaikan oleh pengarah menerusi karya ini, tentang bagaimana kita berhadapan dengan saat-saat panik di sebuah negara yang asing dan perbezaan bahasa menjadi pengahalang untuk kita mendapatkan bantuan."
Bakal ditayangkan pada 20 Mac depan menerusi saluran Astro First Eksklusif, "Panik" menampilkan barisan pelakon dari dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia, antaranya Zul Ariffin, Dony Alamsyah dan pelakon cilik Naomi Ivana. -
3 comments:
Ingat betul tadi... cite ni macam best je...
mengapakah di Astro First Exclusive? Memang tak dapat nak layan.. Orang kat sana tak faham ea bahasa Melayu Malaysia..? Hurm..
Eh bila ni hhihihi wahhh :D cant wait huhuhu
Post a Comment