Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



SURAT TERBUKA BUAT TUN MAHATHIR... BEREHATLAH TUN!!



REHATLAH TUN, PANDANGAN TUN BUKAN PANDANGAN MENENANGKAN TETAPI PANDANGAN MENGHANCURKAN!!!



Kami terima sebuah e-mel panjang lebar daripada salah seorang pembaca The Saviour. Jadi, kami copy-paste bulat-bulat tanpa sebarang tapisan atau suntingan tulisan pembaca yang menamakan dirinya sebagai AYOB TUAH kecuali sedikit pembetulan ejaan.

E-mel:

Ke hadapan Tun Mahathir, bekas Perdana Menteri Ke-4 Malaysia.

Tulisan Tun di blog Tun telah menghilangkan saki baki hormat saya kpd Tun. Tun tidak lagi menegur mahupun dalam mode game divertion spt yang banyak diperkatakan orang tapi lebih bersifat seperti mencabar undang2 yang membabitkan hasutan.

Apa yang sudah berlaku kepada seorang negarawan yang berpandangan jauh suatu waktu dahulu? Apakah disebabkan hasutan daripada kwn2 dan bekas-bekas financier yg hilang byk kepentingan termasuklah IPP dan projek2 kerajaan lain, menyebabkan Tun jadi sebegini rupa?

Tun berckp tentang derma RM2.6 bilion sebagai bullshit. Seingat2 saya perkataan 'shit' merupakan label penghormatan yang diberikan oleh Sasterawan Negara yang juga merupakan Profesor Emeritus USM, Shahnon Ahmad kepada Tun sndiri. Ia adalah perkataan taboo buat Tun. Perkataan yang menghiris-hiris penarafan dewa yang diberikan kepada Tun oleh golongan pengampu dan penjilat pada ketika Tun berkuasa dahulu. Perkataan yang dianggap sebagai merendah-rendahkan seorang pemimpin yang dikatakan amat mempengaruhi dunia oleh seorang penulis novel yang tidak lekang bercerita tentang nostalgia persekitaran pada zaman 50-an.

Kata Tun, mustahil ada pihak yang bermurah hati menderma sebanyak itu. Tapi Tun buat-buat lupa, masa Tun membantu negara-negara Islam termasuklah selatan Mindanao, adakah Tun korek duit tabung sendiri? Bukankah Tun juga memperolehi dan menggunakan sumbangan daripada beberapa buah negara termasuklah dari Arab Saudi dan Brunei untuk penghantaran bantuan kecemasan kepada umat Islam di Bosnia-Herzegovina, Kosovo, Palestin, selatan Thailand, Chechya dan sebagainya?

Mengapa keadaan yang sama tidak Tun gunakan dalam keadaan masakini? Zaman Tun, NED, OSI, NSI dan sebagainya tidak bermaharajalela di Malaysia. Zaman Tun, gerakan menumbangkan dan menghumbankan UMNO dan Barisan Nasional tidak sehebat mana selain modal yang digunakan pun hanyalah air liur. Anwar Ibrahim takut untuk menunjukkan wajah sebenarnya kerana bimbang kehilangan jawatan. Selepas hilang jawatan dan kedudukan pada tahun 1998, barulah Anwar Ibrahim menunjukkan siapa dia sebenarnya menerusi kedatangan Al-Gore yang menghitambirukan muka Tun secara berdepan-depan dalam ucapan yang terkenal memalukan itu? Selepas Anwar Ibrahim dipecat dan disingkirkan, barulah modal-modal besar dari Amerika Syarikat dan Jerman masuk ke negara ini secara terang-terangan.

Berapa banyak pula belanja yang telah dikeluarkan untuk menghitamkan watak Anwar Ibrahim sepanjang 1998 sehingga 2003? Adakah semua usaha tersebut diberikan secara percuma?

Benar, ia tidak mungkin keluar dari kocek peribadi Tun tetapi sudah tentu pengampu-pengampu projek kerajaan yang bernilai berbilion ringgit seperti Vincent Tan, Tiong Lay dan sebagainya amat bermurah hati untuk membantu. Yang Tun pertikaikan adalah mengapa akaun peribadi Najib dan Tun bandingkan dengan diri Tun yang tidak mampu dapatkan derma atau sumbangan daripada negara-negara Arab untuk mendirikan Universiti Islam Antarabangsa dan Pusat Islam Oxford.

Negara Arab mana yang berani menderma kepada Tun pada waktu itu? Kekaguman Arab kepada Malaysia hanya berlaku pada penghujung hayat Tun sebagai Perdana Menteri Malaysia, bukan antara tahun 81 sehingga 93. Negara Arab hanya pandang Tun dan Malaysia setelah kedatangan Allahyarham Yasser Arafat, pemimpin PLO Palestin ke Malaysia. Arab hanya menghormati Malaysia dan Tun hanya selepas kedatangan Aliya Izetbegovic, pemimpin Islam Bosnia. Kiblat Arab adalah Amerika Syarikat dan Eropah. Hanya selepas pemimpin-pemimpin baru Arab berkuasa dan melihat sendiri kemusnahan wilayah Arab menerusi perbuatan Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Arab Spring, barulah mereka ada otak dan cuba mencari jalan keluar agar tidak terus dicengkam oleh Amerika Syarikat. Mereka memerlukan sebuah negara yang baik dengan semua kuasa besar seperti China dan Russia untuk membantu mereka mengekalkan kuasa daripada dijatuhkan oleh rakyat sendiri.

Tun,

Tun mengulangi semula kisah 1MDB walaupun telah diterangkan berkali-kali oleh pengurusan dan CEO 1MDB. Tun berkali-kali bercakap tentang anak tiri Najib yang merupakan produser film. Tun berkali-kali bercakap tentang gaya hidup mewah Najib dan isterinya. Sekaligus mengingatkan saya kepada pembohongan berulang-ulang Anwar Ibrahim sehingga pembohongannya diterima sebagai satu kebenaran.

Tapi Tun lupa, projek perkampungan filem, perkampungan buku dan pelbagai projek perkampungan yang diwujudkan pada era Tun, berakhir tanpa nisan. Begitu juga dengan projek-projek mega yang akhirnya dikuasai oleh bukan Melayu, bukan Bumiputera. Melayu dan Bumiputera masih kekal berkolar biru. Kalau ada pun yang bernasib baik, mereka dilantik sebagai kepala GLC yang kemudian lupa diri dan lupa bahawa modal untuk menjutawankan mereka adalah dengan mengorbankan jutaan Melayu dan Bumiputera yang lain selain aset-aset Melayu dan Bumiputera seperti tanah. Ke mana pergi kesemua duit tersebut? Adakah ianya bersifat percuma juga seperti politik Tun sepertimana yang Tun dakwa?

Tun lupa bagaimana anak-anak Tun sendiri tidak hidup dengan menoreh getah atau mengerat padi. Pada kemuncak zaman reformasi, apabila kekayaan anak-anak Tun dipertikaikan dan punca kekayaan mereka, apa jawapan yang Tun berikan? Tun permainkan daya fikir rakyat Malaysia pada waktu itu dengan mengatakan, mereka berniaga dan tidak boleh makan gaji dengan kerajaan. Tetapi Tun tidak pernah menerangkan bagaimana perniagaan anak-anak Tun begitu berjaya dalam tempoh yang amat singkat dan kesemua perniagaan mereka pula berkaitan dengan projek kerajaan. Tun cuba membuatkan generasi saya melupakan skandal MISC yang diterajui oleh salah seorang anak lelaki Tun.

Najib juga sama seperti Tun. Sama-sama datang dari UMNO. Sama-sama berkuasa pada zaman masing-masing. Apa yang Tun racaukan sekarang, Tun tidak praktikkan pada zaman pentadbiran Tun. Tun hanya mahu Najib ikut acuan Tun tetapi ketika Tun memerintah dahulu, Tun pun tak ikut acuan yang diperkatakan sekarang sebaliknya menggunakan undang-undang sebagai perisai untuk terus berkuasa.

Saya tidak berminat untuk membela Najib daripada segala tuduhan Tun tetapi melihat kepada keadaan negara yang semakin kacau bilau dan dengan DAP yang bijak mengambil kesempatan memecah belahkan Melayu dan Bumiputera di negara ini bertitik tolak daripada permainan Tun, saya rasa jengkel yang amat sangat. Dengan tempoh berbaki masa 2 tahun, apa yang Tun dan juak-juak Tun lakukan sekarang adalah untuk memindahkan kuasa dari tangan Melayu dan Bumiputera kepada kelompok 16% penduduk rakyat negara ini.

Tak payahlah cerita tentang ketirisan wang negara kerana ketirisan lebih banyak berlaku pada zaman Tun. Golongan yang menentang Tun pada waktu itu masih hidup pada hari ini. Tulisan-tulisan dalam akhbar dan tabloid seperti Watan yang Tun haramkan dengan kuasa KDN, masih boleh dibaca dan disalin. Begitu juga dengan buku-buku politik yang tidak dibenarkan jualan atau dirampas, masih boleh diperolehi dengan mudah sama seperti buku-buku politik yang dibenarkan jualan atas nama mempertahankan kerajaan Tun.

Lebih baik Tun berehat daripada mengeluarkan pandangan. Tun memang hebat dan terbilang pada zaman Tun. Sama macam T-Rex terbilang dan terhebat pada zaman Jurasic. Sekarang adalah zaman haiwan-haiwan seperti singa, harimau dan jerung. T-Rex hanyalah fosil dan dipamerkan di muzium. Singa, harimau dan jerung masih lagi makhluk hidup dan merupakan apex rantaian makanan zaman kini.

Tak perlulah menggunakan nama Melayu dan negara lagi kerana apa Tun lakukan sekarang pun, lebih meranapkan negara dan Melayu berbanding yang Tun salakkan.

Saya hanyalah orang kecil tetapi saya adalah golongan yang cukup setia beratur pada awal pagi untuk memangkah mana-mana parti politik yang saya rasakan mampu menjaga negara ini, kalau tidak pun menjaga survival saya dan anak cucu saya pada masa hadapan. Tidak perlulah mengajar dan menyuruh kami berbuat itu ini hanya untuk memenuhi keegoan seorang bekas Perdana Menteri. Kami sudah cukup matang untuk membuat penilaian kami sendiri, sama ada untuk menyokong Najib atau menolak UMNO atau Barisan Nasional pada PRU akan datang. Kalau terjadi sesuatu yang buruk ke atas negara ini, orang seperti Tun dan keluarga, mahupun Najib dan keluarga atau golongan pemimpin lain, akan mudah melarikan dan menyelamatkan diri. Yang akan berhadapan dengan segala macam natijah dan kesan buruk adalah kami di bawah ini yang cuba dicorakkan oleh orang seperti Tun.

Justeru, berehatlah daripada terus mengeluarkan pandangan termasuklah gesaan untuk berdemonstrasi. Rehatlah yang serehat-rehatnya. Tun tidak perlu menyertai Anwar Ibrahim atau Lim Kit Siang untuk memporak-perandakan negara ini. Kalau betul Najib dan UMNO hendak diajar, biarkan kami yang mengajarnya, bukannya seorang negarawan yang bercakap dari bilik berhawa dingin dan di atas berkerusi empuk yang dikelilingi oleh taikun-taikun berperut gadang dan bernafsu besar selain tukang-tukang penyampai yang berlagak sebagai pencatur politik walaupun untuk minum teh bersama pembesar negara, mereka tidak ubah seperti ulat gonggok.

Pada zaman Tun, Tun telah menghasilkan budi kepada rakyat negara ini walaupun sebenarnya pada waktu itu, semua usaha Tun dipertikaikan sehingga timbul istilah KKN (Korupsi, Kronisme dan Nepotisme). Hanya selepas bertahun-tahun Tun tidak lagi sebagai Perdana Menteri, maka Tun dianggap sebagai Super Dewata Raya yang tiada cacat cela. Samalah seperti Allahyarham Nik Aziz dan Fadhil Noor, samalah seperti Burhanuddin Helmi, Pak Sako, bahkan Chin Peng dan seribu satu macam nama yang lain. Jadi, biarlah Najib turut menempa situasi yang sama kerana lama selepas dia tidak berkuasa nanti, Najib juga akan digambarkan sebagai Perdana Menteri yang banyak berbudi kepada Malaysia.

Tak perlulah menjadi pencatur otak rakyat Malaysia.

Terima Kasih.

Ayob Tuah
Jalan Kampung Haji Manan,
Kluang, Johor
10 Ogos 2015


Sumber: http://theflyingkick.blogspot.com


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ