Trafik Filipina Dan Indonesia Paling Teruk Di Dunia – Waze
PEMANDANGAN pusat bandar raya Manila, Filipina pada waktu puncak. – Gambar hiasan
TEL AVIV – Selama ini mungkin ramai anggap memandu kereta di Jakarta, Indonesia adalah paling ngeri hingga ada pelancong membuat jenaka sinis, sesiapa boleh memandu di situ maka dia boleh memandu di seluruh dunia.
Namun itu hanyalah persepsi kerana kajian terbaharu firma aplikasi pengurusan trafik terkenal antarabangsa, Waze berpusat di Israel baru-baru ini mendapati trafik ibu kota Filipina, Manila sebenarnya adalah paling teruk.
Bukan itu sahaja keseluruhan keadaan sistem lalu lintas Filipina itu sendiri adalah terburuk di dunia berdasarkan Indeks Kepuasan Pemandu Global yang diterbitkan Waze menerusi laman web firma ditubuhkan sejak 2006 itu.
Tinjauan itu menunjukkan secara purata, pemandu ambil masa selama 45 minit untuk bergerak antara dua tempat akibat kesesakan teruk trafik di Manila yang dihuni 12 juta penduduk dengan keluasan 638 kilometer persegi.
Kajian Waze tersebut melibatkan seramai 50 juta orang pengguna dari 167 buah bandar raya di 32 buah negara. Pemandu di Kuala Lumpur misalnya secara purata mengambil masa 33 minit untuk tiba ke sesuatu destinasi.
Kualiti jalan di Filipina juga antara yang paling rendah. Namun, tahap keselamatan trafik dan perkhidmatan bagi para pemandu di negara itu disenaraikan sebagai antara terbaik di dunia dengan meraih hampir 10 markah penuh.
Jakarta sebaliknya hanya menduduki tempat ke-11 untuk situasi trafik paling teruk di dunia iaitu disenaraikan selepas Manila, Bandung, Guatemala City, Yogyakarta, Caracas, Bogor, Bogota, Medellin, Denpasar dan Cali.
Itu cerita negara orang. Bagaimana pula dengan Malaysia sendiri? Indeks keluaran Waze itu menunjukkan ibu negaranya, Kuala Lumpur tidak termasuk sama ada dalam senarai teratas 15 terbaik atau pun yang terburuk.
Anehnya beberapa bandar di Malaysia muncul dalam senarai ‘Top 15‘ itu antaranya Kota Bharu, Kelantan untuk ke-12 terburuk dari segi indeks kepuasan pemandu dan ke-5 terburuk dari segi indeks keselamatan pemandu.
Tidak ketinggalan indeks perkhidmatan pemandu terburuk dengan Batu Pahat, Johor tempat ke-2; Larut Matang, Perak (ke-7); Kota Bharu (ke-9); Kuala Terengganu (ke-11); Kuching, Sarawak (ke-14) dan Bandar Melaka (ke-15).
CONTOH paparan lazim aplikasi Waze di kawasan Metro Manila. – Gambar hiasan
Namun ada juga berita gembira iaitu dari segi indeks kualiti jalan raya yang menyaksikan antara tempat terbaik di dunia ialah Larut Matang pada kedudukan ke-5 selain Kuching (ke-8) dan Kota Kinabalu, Sabah (ke-15).
Jika indeks ikut negara, Malaysia disenaraikan sebagai ke-14 paling teruk dari segi kepuasan pemandu berbanding jiran kita, Indonesia (ke-7 terburuk) dan Filipina (ke-9 terburuk). Pemenang indeks ini ialah El Salvador.
Manakala dari segi indeks keselamatan jalan raya, Malaysia berada di tangga ke-8 terburuk, indeks perkhidmatan pemandu (ke-4 terburuk), indeks kualiti jalan raya (ke-9 terbaik) dan indeks sosio ekonomi (ke-14 terbaik).
Secara keseluruhan, kajian Waze itu mendapati memandu di Belanda adalah pengalaman paling baik dan El Salvador pula yang paling ngeri. Malaysia berada hanya pada kedudukan senarai sederhana.
* Untuk senarai lengkap Indeks Kepuasan Pemandu Global Waze, silalah klik di sini sama ada mengikut negara dan juga bandar raya.
0 comments:
Post a Comment