Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



SEJARAH TEKNOLOGI MELAYU MEREMPUH BADAI





TEKNOLOGI MELAYU MEREMPUH BADAI

Sejarah telah mencatatkan bahawa kegiatan perdagangan yang ulung di rantau ini telah bermula sejak 200 tahun SM lagi iaitu di masa kegemilangan empayar Rom di Barat dan Dinasti Han di China.

Pada peringkat awalnya, kapal-kapal dagang Cina dan India tidak mampu menempuh badai lautan yang begitu hebat bagi mereka. Mereka hanya mengemudi kapal-kapal mereka di persisiran pantai mengelilingi benua-benua sehingga sampai ke destinasi. Mereka juga tidak berani menempuh Laut China Selatan yang sentiasa bergelora dan juga takut untuk merentasi Temasik dan Selat Melaka.

Sesetengah ahli sejarah berpendapat, mereka pada awalnya amat takut untuk melepasi Selat Melaka untuk terus ke India kerana khuatir diserang lanun-lanun Melayu yang amat banyak ketika itu. Jadi mereka hanya membataskan jalan perdagangan mereka di Vietnam, Thailand dan Segenting Kra sahaja.

Namun alasan yang lebih munasabah ialah mereka takut untuk menempuhi gelora di musim-musim monsun dan tambahan lagi mereka pada ketika itu masih tidak mempunyai teknologi perkapalan yang dapat mengatasi masalah tersebut.

Kedudukan ini mula berubah apabila para pedagang Melayu mula memasuki era perdagangan antarabangsa pada zaman kegemilangan empayar Funan sekitar abad ke 4 Masihi.

Para pedagang Melayu ini mempunyai sejenis kapal layar yang dipanggil Jong dan membawa muatan rempah ratus yang belum pernah dimiliki oleh bangsa-bangsa lain di dunia. Rempah tersebut adalah seperti buah pelaga, cengkih, bunga lawang dan buah pala.

Selain itu, orang Melayu juga memperkenalkan kapur barus dan kayu gaharu yang sangat tinggi nilainya. Disinilah teknologi maritim orang Melayu telah membawa kemakmuran terhadap bangsanya sehingga terdirinya empayar Srivijaya dan seterusnya empayar Melaka.

Pelayar-pelayar Melayu disebut oleh ahli-ahli sejarah sebagai 'skilled navigators' yang mampu merentas lautan tanpa menggunakan kompas dan peta. Mereka hanya menggunakan angin dan bintang sebagai panduan. Mereka membaca cuaca dengan meneliti bentuk awan dan warna langit, air dan alun serta riak ombak. Melalui pemerhatian terhadap burung dan alun laut, mereka dikatakan dapat mengetahui kedudukan sesebuah daratan dari jarak 30 batu dari laut!

Jong-jong Melayu pula diperbuat daripada kayu keras dan tidak menggunakan paku. Papan dan kayu diikat menggunakan penyambung kayu dan jika perlu, rotan dan akar yang tahan akan digunakan. Jong-jong ini dilengkapi dengan empat layar dan dua kemudi. Setiap jong juga boleh memuatkan barangan seberat 500 hingga 1000 tan melebihi keupayaan mana-mana kapal layar pada masa itu.




Menurut Tome Pires, dari segi efisiensi, jong Melayu adalah lebih baik daripada mana-mana kapal yang wujud pada abad ke 15. Keunikan jong Melayu yang membezakannya dengan kapal-kapal lain semenjak beberapa abad sebelum masihi sehingga 4 masihi adalah kebolehannya meredah angin dan justeru itu meneroka lautan yang luas dan dalam.

Setelah melihat kehebatan jong-jong Melayu ini selama berabad-abad berniaga, bangsa-bangsa pedagang lain seperti India, Cina, Arab sehingga Sepanyol dan Portugis mula meniru teknologi yang dipakai oleh orang Melayu.

Teknologi unik yang membolehkan orang Melayu meredah badai ini adalah layar yang berbentuk empat segi yang dipasang satu didepan dan satu di buritan jong. Layar ini dicondongkan ke bawah dan boleh pula dipusing-pusingkan ke kiri atau ke kanan.

Layar istimewa ini membolehkan jong Melayu meredah dan menentang badai dengan mudah dengan cara menghadapkannya di bahagian hadapan kepada tiupan angin secara menyerang. Layar empat segi di belakang dipusingkan untuk memerangkap angin tadi supaya ianya bertiup secara terlencong ke hadapan menolak layar-layar di tengah melawan badai. Justeru jong dapat bergerak kehadapan secara menyerong.

Dengan memanipulasikan layar empat segi secara menggilirkan pusingannya maka jong dapat berlayar terus menerkam menentang tupan angin dan badai mengikut laluan zig-zag. Dengan menggunakan layar ini para pelayar Melayu mempunyai banyak 'competitive advantage' untuk berdepan dengan pedagang lain. Mereka boleh ke China, India, Yaman, malahan mungkin Madagaskar dan Mesir pada bila-bila masa mereka suka tanpa menunggu tiupan angin yang sesuai.

Penggunaan teknologi ini bertahan di tangan orang Melayu sehingga abad ke 1 sebelum masihi dimana para pelayar Arab yang berdagang sekitar lautan Hindi mula menirunya. Pada abad ketiga selepas masihi pelayar Arab mula menggunakannya di lautan Mediterranian.

Lainnya kemudian ditiru oleh pelayar Portugis pada abad ke 15 masihi. Dengan menggunakan teknologi inilah kapal-kapal Portugis dapat berlayar merentas badai sehingga ke Melaka dan kemudian menemui New World di Amerika.

Satu lagi teknologi ciptaan Melayu ialah 'outrigger' yang menjadi pengimbang untuk menstabilkan perahu induk. Dengan perahu yang menggunakan 'outrigger' ini, orang Melayu berhijrah 3000 batu ke barat menduduki Pulau Madagaskar dan berbelas batu ke selatan menduduki pulau-pulau pasifik semenjak millenium sebelum masihi. Pendek kata sifat berani orang Melayu telah wujud sejak 5000 tahun sebelum masihi lagi!




Menurut catatan Fa Xian, iaitu seorang sami buddha dari China yang berjalan ke India menggunakan jalan daratan gunung dan balik semula ke China menggunakan jalan laut dengan menggunakan kapal Melayu. Beliau menyatakan bahawa orang-orang yang boleh menerkam badai adalah lebih hebat daripada orang yang mendaki puncak gunung.

Pada tahun 399 masihi, Fa Xian yang berumur 65 tahun berangkat dari Changan menuju ke utara India untuk bertapa dan menuntut ilmu. Beliau memilih jalan darat yang membawanya merempuh padang pasir, memanjat gunung Karakoram, meniti lerengan setinggi 8000 kaki dimana udaranya kurang oksigen dan menyusahkan usaha mengangkat kaki.

Selepas bertapa dan berguru di India selama 15 tahun, akhirnya beliau kembali ke China pada tahun 415 masihi. Beliau tidak lagi berani mengambil laluan yang sama dijalaninya kerana pengalamannya yang terlalu ngeri.

Dari utara India, beliau turun ke Sri Lanka menaiki kapal pedagang Melayu bersama 200 penumpang lain menuju kepulauan Melayu. Apa yang dialaminya adalah lebih mengerikan daripada masa perjalanannya ke India melalui daratan dahulu.

Kapal ini menurutnya tidak menyusuri pantai seperti kapal-kapal lain tetapi ia merentas lautan Hindi menuju ke Aceh dan seterusnya ke selat Melaka. Dua hari berlayar, Fa Xian menceritakan ribut besar telah melanda lautan. Ribut ini berterusan selama 13 hari menyebabkan berlakunya kerosakan besar kepada kapal.

Anak-anak kapal membaikinya di sebuah pulau dan mereka meneruskan perjalanan ke selat Melaka. Pengalaman Fa Xian di lautan Hindi selama 13 hari ini diikuti pula dengan dilanda taufan dari laut china selatan.

Lebih dahsyat lagi bahana taufan ini sehingga kapalnya sesat selama 70 hari di laut sebelum beliau sampai balik ke kampung halamannya. Riwayat Fa Xian ini membuktikan bahawa sejak zaman Srivijaya lagi para pelaut Melayu telah menemukan jalan pintas yang merbahaya kepada kapal-kapal bangsa lain. Jalan-jalan ini adalah jalan kurus yang merentas lautan dalam.

Hanya keberanian mereka sahaja yang membolehkan mereka menerokainya. Penggunaan jalan pintas ini membolehkan jong-jong mereka menjimatkan masa perjalanan dalam perdagangan antarabangsa di antara timur dengan barat. Justeru itu sebelum kewujudan Melaka lagi Srivijaya telah menjadi pusat entreport yang terulung selama enam abad.

Rumusannya, keberanian bangsa Melayu menghadapi badai inilah maka terhasilnya teknologi pelayaran yang membolehkan mereka berlayar jauh dan menerkam badai. Mereka melihat badai sebagai sebuah halangan yang mengancam cita-cita mereka dan harus ditempuhi.

Sekian. Wallah hu a’lam...


Kredit: lokalgenius.blogspot.my



0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ