Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



KELAHIRAN PAHLAWAN PAPAN KEKUNCI



Tulisan-tulisan saudara Mazidul Akmal Sidik ternyata menarik untuk dibaca,terutamanya ketika beliau menyentuh berkenaan isu-isu semasa.Berikut antara tulisan beliau yang terbaru. Selamat membaca



Keadaan amat jauh berbeza tatkala dunia belum lagi ditawarkan kemudahan telefon bimbit pintar.

Teng teng, permainan tradisional lelaki dan perempuan Melayu, tanpa modal. Hanya menagih kudrat dan ketelitian.

Di kampung, anak kecil berkumpul di halaman rumah bersama ramai rakan untuk bermain teng teng. Kanak-kanak tertawa, melompat sebelah kaki keriagan sambil diperhatikan oleh setiap mata.

"Mati! Mati!"

Teriak mereka sekiranya kaki pemain terpijak garisan dilakarkan di atas tanah. Pakaian berhabuk, wajah comot dan tubuh dibasahi peluh. Kekadang sebilangan pemain bertekak akibat tidak berpuas hati mengenai dakwaan perlanggaran peraturan, ditafsirkan mengikut hemat sendiri atau secara berkumpulan.

Pemain perempuan selalunya lebih dihormati. Jika lelaki bergaduh sesama lelaki, amat sukar mendengar carutan dilontarkan, bimbang didengari dek orang tua. Orang tua gemar melibas tali pinggang kulit ke badan untuk mengajar anak menjaga adab. Maki hamun dianggap taboo, khuatir dikerat lidah oleh ibu ayah sekiranya aduan dikemukakan oleh rakan berkredibiliti.

Ketika matahari hampir berlabuh di ufuk barat, anak kecil terjun ke parit atau sungai untuk membersihkan tubuh, biarpun tanpa sabun. Anak lelaki kemudian pantas pulang ke rumah untuk mengikut ayah solat di surau sebelum ke rumah tok guru untuk mengaji.

Itu antara bingkisan indah ditempuh kebanyakan daripada kita, golongan dewasa.

Kini, majoriti anak kecil tidak lagi perlu berkumpul di halaman rumah. Jauh sekali membasahkan tubuh dengan titisan peluh. Mereka berpeluang bermain bowling, golf malah berperang menggunakan senjata canggih di dalam bilik. Telefon pintar menjadi peneman setia, siang dan malam. Tatkala dipanggil makan, bunyi tembakan menyekat pendengaran. Sehari suntuk mengasingkan diri di dalam bilik, lebih meriah andai ditemankan oleh rakan bertandang.

Mereka jarang bercakap sesama sendiri, hanya reaksi wajah menjadi bahasa perantara. Ketika bersendirian, pintu bilik acapkali dikunci. Sesekali diterjah, dalam senyap rupanya anak berkomunikasi. Tidak secara lisan tetapi melalui penggunaan aplikasi.

WhatsApp, facebook, wechat.

Tidak boleh disangkal, di situlah terbuka ruang untuk mereka mempelajari penggunaan bahasa kesat. Dikongsikan dek rakan nakal tinggal jauh dan dekat. Ibu ayah pula tidak berpeluang menegur kerana anak senyap tetapi bercakap. Jika episod itu dibiarkan berterusan, mereka bakal bertukar menjadi bom jangka.

Tatkala meningkat remaja, memaki-hamun dan mencerca, perbuatan sebati dalam jiwa. Mereka mengecam dan memberontak tanpa suara. Justeru tidak ketara di telinga orang tua. Tidak berpuas hati dengan pandangan dikongsikan oleh individu lain di laman sosial, mereka bersuara lantang bersenjatakan gabungan aksara ditaip di papan kekunci. Perkataan kesat sekian lama bersarang di minda dizahirkan secara terbuka tanpa teguran. Ibu ayah mungkin tidak memantau kerana kekangan masa dan kurang keprihatinan.

Maka lahirlah keyboard warrior, pahlawan papan kekunci ke dunia realiti.

'Pahlawan' sentiasa berfikir, setiap perkataan ditulis dianggap bak bom jangka. Meletup di sini dan di sana. Ketika hati dan perasaan individu lain tercedera, mereka tertawa gembira. Taksub mengecam dan menghina, sehingga tidak menyedari batasan undang-undang dilanggar tanpa diduga. Pahlawan kemudian tersungkur pada saat pegawai polis mengetuk pintu rumah dan memanggil nama. Seksyen dalam Kanun Keseksaan kemudian menggari tangan mereka.

Jika diberikan pilihan, mungkin mereka memilih untuk berbicara di kamar mahkamah menggunakan telefon pintar.


Sumber: www.mazidulakmal.com


1 comments:

kekadang orang macam nie adalah orang selalu yang pikir hanya pendapat dan hujah mereka jer yang tepat..tiada manusia yang boleh betul 100%..hehehe..menabung libresse sini...

11 April 2014 at 11:04 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ