Hentikan Pencarian Harta Karun Pulau Nangka, Hanya Waris Mampu ‘Keluarkan’
Khalid menunjukkan sebahagian keris lama yang disimpannya berusia ratusan tahun.
MELAKA – Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad) meminta kerja-kerja pencarian harta karun di Pulau Nangka, dikaji semula memandangkan ia boleh memusnahkan ekosistem semulajadi kawasan bersejarah itu.
Pengerusinya, Khalid Hussin berkata, sekiranya benar-benar mahu mengeluarkan apa yang disifatkan sebagai harta karun itu, cara yang dilakukan seperti mengorek batu adalah tidak sesuai.
“Cukup-cukuplah, hentikan pencarian. Kita harap mereka hentikan dahulu, jangan musnahkan ekosistem yang terdapat di Pulau Nangka.
“Saya tidak mahu lebih banyak batu yang dikorek dan dialihkan. Kerana bagi saya, kesemua itu ada nilai yang amat tinggi,” katanya.
Menurutnya, Pesawad bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha dilakukan sekarang bagi menentukan kedudukan sebenar harta karun terbabit.
“Dengan syarat, berikan kami sedikit ruang kebebasan untuk melakukannya dengan cara kami sendiri. Sebenarnya, hanya waris sahaja yang boleh mengeluarkan harta karun itu dan sekiranya ia keluar, harta itu bukanlah hak milik individu atau golongan tertentu, tetapi untuk semua umat Islam di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Khalid yang sebelum ini pernah tampil dengan bukti salasilah keturunan Bendahara Tun Perak berkata, ahli Pesawad sendiri ramai merupakan waris.
“Sebenarnya, kita sudah mendapat petunjuk mengenai pintu dimaksud itu, kita sudah tahu. Tidak perlu menebuk batu. Sekiranya waris pasti dengan izin ALLAH akan terbuka pintu. Tetapi kalau tiada keizinan-Nya, kita perlu reda.
“Kami sedia membantu kerajaan negeri tanpa mengharap apa-apa pun. Kalau usaha kami berjaya, kami akan isytihar untuk kepentingan umat Islam dan kerajaan,” katanya.
Menurut Khalid, beliau berani bercakap mengenai perkara itu, atas dasar warisan.
“Kami sudah masuk pada 2012 lalu tetapi langsung tiada niat untuk mencari harta karun. Sekiranya diberi ruang, kami akan membantu mengenalpasti kedudukan harta karun dan tapak perkuburan di situ yang langsung tiada tanda.
“Kami memang ada bersangkutan dengan Pulau Nangka dan kami ada bukti,” katanya.-SH.
Baca juga di sini:
2 comments:
btl ke ada harta karun..huhu
Bermakna (kalau benar ada) harta tersebut ada penjaganya la kan?
Post a Comment