Rawatan Pelik - Pindah Zikir Melalui Alat Kelamin
Gambar hiasan |
AMPANG: Pindah zikir melalui alat kelamin. Itulah rawatan pelik cuba dilakukan seorang bomoh kepada seorang wanita yang didakwa kononnya terkena santau ketika pesakit terbabit mahu mengurut kaki dan badannya di sebuah spa di Taman Melawati di sini.
Bagaimanapun, wanita itu bernasib baik kerana tidak menuruti arahan bomoh terbabit supaya memegang alat kelamin lelaki itu, sebaliknya terus menghentikan rawatan aneh berkenaan sebelum menceritakannya kepada keluarganya.
Pun begitu, bomoh berusia 50-an terbabit sempat melumurkan tepung pada seluruh badan mangsa yang sebelum itu diarahkan berbogel dengan alasan ia sebahagian daripada kaedah rawatannya biarpun perbuatan itu dipercayai sekadar mahu melampiaskan nafsu peliknya.
Difahamkan, wanita terbabit yang berjawatan profesional pada mulanya ditemani seorang rakan ke sebuah pusat rawatan kecantikan di Taman Melawati untuk mendapatkan rawatan kaki dan urutan badan.
Bagaimanapun, dengan tidak semena-mena wanita berkenaan ditegur kakitangan spa terbabit yang mendakwa kononnya dia terkena santau dan mencadangkan supaya mendapatkan rawatan daripada seorang bomoh yang dikenali pekerja terbabit.
Menurut sumber polis, mangsa bersama rakannya yang berusia 29 tahun berkunjung ke spa berkenaan kira-kira jam 7 malam pada 30 Disember lalu untuk mendapatkan rawatan terapi.
“Bagaimanapun, mangsa diberitahu kononnya dia terkena santau oleh pekerja spa berkenaan yang kemudian memberitahu ada seorang lelaki boleh mengubati penyakit itu.
“Selepas bersetuju, mangsa diperkenalkan kepada lelaki terbabit sebelum dia diarahkan mandi menggunakan air limau nipis kononnya bagi membuang sial dalam badan,” katanya.
Sumber terbabit berkata, sejurus selesai upacara mandi limau itu, mangsa diminta masuk ke dalam sebuah bilik untuk menjalani rawatan selanjutnya.
“Mangsa meminta rakan menemaninya dalam bilik, namun tidak dibenarkan bomoh berkenaan kerana bimbang penyakitnya akan berjangkit.
“Akur dengan arahan itu, rakannya menunggu di luar selepas yakin mangsa mungkin terkena santau,” katanya.
Sejurus berada dalam bilik, mangsa diminta menanggalkan pakaian dan berbogel, namun dia enggan menuruti arahan bomoh terbabit.
Bagaimanapun, selepas diyakinkan bomoh itu kononnya dia terpaksa berbuat demikian untuk membuang bisa dalam badan, mangsa akhirnya akur dan berbogel sebelum seluruh badan termasuk anggota sulitnya dilumur tepung dan diusap bomoh terbabit sebagai satu cara rawatan.
Sumber terbabit berkata, selepas selesai rawatan itu, mangsa diminta memakai semula pakaiannya dan ketika itulah bomoh berkenaan secara tiba-tiba memeluk dan meminta wanita berkenaan memegang alat kelaminnya.
“Bomoh berkenaan mendakwa, itu rawatan terakhir dan mangsa perlu pegang alat kelaminnya kerana dia mahu berzikir dan memindahkan ayat berkenaan ke badan mangsa sebagai pendinding.
“Namun, mangsa enggan berbuat demikian, sebaliknya terus berlari keluar dari bilik berkenaan sebelum bertemu rakannya,” katanya.
Menurutnya, selepas membayar kos rawatan berjumlah RM700, mangsa bersama rakannya terus beredar dan wanita itu akhirnya menceritakan kejadian berkenaan kepada ahli keluarganya sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa, Selasa lalu.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan setakat ini kami sudah mengenal pasti bomoh terbabit.
“Kami turut menasihati wanita yang ingin mendapatkan rawatan perubatan supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya jika sangsi dengan rawatan yang mahu dilakukan,” katanya.
Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. -myMetro
0 comments:
Post a Comment