Pelakon Robin Williams Ditemui Mati, Disyaki Membunuh Diri
LOS ANGELES: Pelakon dan pelawak Robin Williams ditemui mati di rumahnya di California disyaki akibat membunuh diri, kata polis semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Sheriff Wilayah Marin, pemenang anugerah Oscar berusia 63 tahun itu ditemui mati sejurus sebelum tengah hari di rumahnya di Tiburon, California Utara.
"Pada masa ini, Divisyen Koroner Pejabat Sheriff mengesyaki kematiannya akibat asfiksia susulan cubaan membunuh diri," menurut kenyataan itu.
Pegawai seranta kepada pelakon "Good Will Hunting" ini berkata beliau sering mengalami kemurungan sebelum kematiannya.
"Robin Williams meninggal dunia pagi ini. Beliau telah bergelut dengan kemurungan sejak kebelakangan ini," Mara Buxbaum berkata dalam satu kenyataan.
"Ia satu kehilangan yang tragik dan mengejutkan. Pihak keluarga meminta agar tidak diganggu di kala mereka berduka di saat yang sukar ini."
Isterinya Susan Schneider memohon agar berjuta-juta peminat bintang veteran yang juga ayah kepada tiga anak ini menyanjungi kepintaran pelawak genius ini berlawak.
"Pagi ini, saya kehilangan suami dan rakan baik saya, manakala dunia kehilangan seorang artis yang disayangi dan seorang yang baik hati," kata Schneider, yang menjadi isteri ketiga aktor itu pada tahun 2011.
Antara penghibur Amerika yang disayangi dalam generasinya, nama Williams melonjak naik setelah muncul dalam sitkom televisyen "Mork & Mindy".
Beliau kemudian berlakon di dalam beberapa filem, antaranya "Good Morning Vietnam" pada tahun1987 di mana beliau memegang watak hos radio di pangkalan tentera Amerika Syarikat di Veitnam, "Dead Poets Society" (1989) sebagai guru bahasa Inggeris yang eksentrik, dan "Good Will Hunting" (1997) di mana beliau telah memenangi anugerah pelakon pembantu terbaik di Oscar. - Awani
1 comments:
legend punya pelakon gak ni
Post a Comment