Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Siapakah Yang Membina Masjid al-Aqsa?

Siapakah Yang Membina Masjid al-Aqsa



Kaum Zionis telah sampai kemuncak usaha mereka untuk merobohkan Masjid al-Aqsa. Masjid yang merupakan qiblat pertama umat islam, masjid ketiga suci umat Islam dan juga tempat Isra' dan Mi'raj Rasulullah saw kini berada di ambang bahaya. Bila-bila masa sahaja, bila-bila saat sahaja, bila-bila waktu sahaja, kaum Zionis akan merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina kuil (Haykal) mereka di atas runtuhan tersebut. Sayangnya majoriti umat islam masih naif dan jahil terhadap bahaya yang menantikan Masjid al-Aqsa ini.

Artikel ini ditulis demi meniti usaha yang kini hebat dilakukan oleh "Syeikh al-Aqsa", Raed Solah, pemimpin Gerakan Islam di bumi Palestin 1948 untuk menyedarkan umat Islam tentang bahaya-bahaya yang menantikan al-Aqsa. Kempen "al-Aqsa fi Khatar" yang dilancarkan oleh beliau telah dapat menyedarkan sebilangan daripada umat Islam tentang bencana yang bakal menimpa al-Aqsa dari makar kaum Zionis.

Siapakah yang membina Masjid al-Aqsa? Satu soalan yang menarik dan amat penting. Bagi kaum Yahudi, mereka beriman bahawa Daud a.s pernah bercita-cita untuk membina Masjid al-Aqsa yang mereka katakan sebagai Haykal atau kuil (dalam bahasa Hebrew (ibrani) dipanggil sebagai HaMikdash), tetapi telah dihalang oleh tuhan Yahweh. Tuhan Yahweh menghendakkan Sulayman a.s untuk mendapatkan kemuliaan tersebut, maka menurut tanggapan mereka, Sulaymanlah pembina Haykal atau kuil tersebut. Ini dapat dilihat dalam Old Testament yang sama diimani oleh orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian dalam buku Kings (1) 6:1 sehingga 38, atau pun lebih terperinci lagi dalam buku Kings (1) 6:14 yang berbunyi: "So Soloman built the temple and completed it".

Inilah juga yang diimani oleh penganut agama Kristian yang turut berpegang kepada Old Testament (Kitab Perjanjian Lama) atau Torah menurut panggilan orang Yahudi.

Bagaimanakah pula pendirian kaum Muslimin? Memang ada diceritakan dalam al-Quran tentang pembinaan bangunan yang kemudiannya diambil menjadi Masjid al-Aqsa oleh Sulayman dengan menggunakan tenaga para jin. Persoalannya adakah itu menunjukkan Islam juga mengiktiraf sejarah yang diriwayatkan dalam Old Testament? Jawapannya tidak. Sulayman as hanyalah membina semula bangunan masjid setelah bangunan asalnya telah roboh samada kerana berlalunya waktu atau pun bencana alam yang telah menimpa kawasan tersebut. Sebagai umat Islam, sudah tentulah alQuran dan Hadith yang sahih sahaja menjadi rujukan kita dalam persoalan ghaibiyat seperti ini.

Siapakah Yang Membina Masjid al-Aqsa



Dalil-dalil Berkaitan.

Berikut adalah dalil-dalil yang menceritakan tentang siapakah yang membina Masjid al-Aqsa dan bilakah ianya telah dibina.

1. Hadith al-Bukhari yang berbunyi:

Abu Dzar telah meriwayatkan, saya telah bertanya kepada Rasulullah saw "apakah masjid yang pertama dibina atas muka bumi ini?" Rasulullah saw menjawab: "Masjid al-Haram." Saya bertanya lagi:"Kemudiannya" Balas Rsulullah saw:"Masjid al-Aqsa". Saya bertanya lagi: "Berapakah jarak diantara keduanya (tempoh dibina kedua-duanya)?" Balas Rasulullah saw: "Empat puluh tahun, diamana sahaja kamu dapat bersolat pada keduanya, maka bersolatlah (disana), di sana ada kelebihan (untuk mereka yang bersolat di kedua-dua masjid tersebut)".

Jelas, dalam hadith di atas, ianaya menunjukkan bahawa masjid yang pertama dibina ialah Masjid al-Haram di Makkah dan kemudiannya dibina pula Masjid al-Aqsa selepas empat puluh tahun terbinanya Masjid al-Harram. Persoalannya disini siapakah yang telah membina Masjid al-Haram dan siapakah yang membina Masjid al-Aqsa?

Menurut kefahaman kebanyakan umat islam, Nabi Ibrahim lah yang telah membina Masjid al-Haram berdasarkan ayat 128 dalam surah al-Baqarah yang berbunyi:" Dan ketika Ibrahim mengangkat dasar al-Bait (al-Haram atau Ka'bah) dan Ismail.

Manakala Masjid al-Aqsa pula menurut kefahaman ramai orang, ianya dibina oleh Sulayman. Persoalannya, jarak antara Ibrahim a.s dengan Sulayman as adalah lebih kurang 750 tahun, dan bukannya 40 tahun seperti yang telah disebutkan oleh Hadith Abu Dzar yang sahih. Maka, siapakah yang telah membina Masjid al-Aqsa? berhubung persoalan ini, penulis telah menemukan dua pendapat paling kuat dalam menjelaskan siapakah yang telah membina Masjid al-Aqsa.

Pendapat pertama:Ibrahim as lah yang telah membina Masjid al-Aqsa. Menurut mereka yang berpendapat dengan pendapat ini, mereka mengatakan bahawa Ibrahim telah membina Masjid al-Aqsa 40 tahun selepas baginda selesai membina Masjid al-Haram. Pendapat ini telah dikemukakan oleh Dr Solah Abd Fatah al-Khalidi dalam bukunya "Haqaaiq Quraniyyah Hawla Masjid al-Aqsa wa Bayt al Maqdis" (Lihat: al-khalidi, Solah A Fatah (1993). Haqaaiq Quraniyyah Hawla Masjid al-Aqsa wa Bayt al Maqdis, London:Mansyurat Filistin al-Muslimah, hal.44-53). Pendapat ini telah disokong oleh Dr Ibrahim al-Ali (Lihat:Ali, Ibrahim (1995), al-Ardh al-Muqaddasah:Bayna al-Madhi wa al-Hadhir wa al-Mustaqbal, London:Mansyurat Filistin al-Muslimah, hal.80)

Persoalan yang timbul disini, tidak terdapat satu dalil pun, samada dalam al-Quran mahupun dari hadith-hadith sahih yang menunjukkan perkara tersebut. Oleh kerana persoalan ini merupakan persoalan fakta sejarah, maka ianya memerlukan kepada dalil yang kukuh, dan pendapat ini hanyalah membawa andaian tanpa merujuk kepada mana-mana dalil yang sahih.

Malah penafsiran bahawa Ibrahimlah manusia yang pertama membina Masjid al-Haram berdasarkan ayat 126 surah al-Baqarah juga adalah tidak kuat, Ini kerana berdasarkan ayat 37 dalam surah Ibrahim, jelas Allah swt telah merakamkan kata-kata Ibrahim:”Tuhan kami, aku telah tinggalkan keturunanku (ismail) di wadi yang tiada tumbuhan, disisi RUMAHMU yang mulia".

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa tapak Masjid al-Haram itu telah dimuliakan dan sememangnya telah wujud sebelum Ibrahim menaikkan binaan Masjid al-Haram (buat kali keduanya) lagi. Ini kerana, Ibrahim telah menaikkan binaan itu (seperti yang trelah disebutkan dalam al-Baqarah ayat 126) bersama Ismail ketika Ismail telah besar dan bukannya sewaktu beliau ditinggalkan di bumi Makkah. Al-Qurtubi di dalam buku tafsirnya, “al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran” juga telah menyatakan perkara yang sama. Menurut beliau, Masjid al-Haram telah dibina sebelum taufan Nuh, dan kemudiannya musnah bahana taufan yang amat dahsyat itu.(Lihat: al Qurtubi (mati 671 H) (1372H) al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran, Kaherah:Dar al-Sya’ab, diriwayatkan secara panjang oleh Ibn Abbas secara marfu’ dalam Sahih al-Bukhari mengenai keadaan Ibrahim meninggalkan isterinya Hajar anaknya Ismail di tapak Masjid al-Haram yang beliau akan diperintah untuk menaikkan bangunan untuk masjid tersebut apabila Ismail telah besar.

Pendapat ini juga telah disokong oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam bukunya Fath al-Baari syarah Sahih al-Bukhari. Beliau telah meriwayatkan hadith yang bertaraf Hassan daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As yang telah mengatakan: “Para anbiya’ (nabi-nabi) telah menunaikan haji di al-Bait (Masjid al-haram), dan manusia tidak mengetahui di manakah tempat tersebut sehinggalah Ibrahim membinanya semula dan menunjukkan keadaan mereka kedudukan tempat tersebut”. Ibn Hajar juga telah menguatkan pendapatnya dengan riwayat yang sama daripada al-Bayhaqi di dalam al-Dalaail. (Lihat:al-‘Asqalani, Ibn Hajar (mati 773H) (1379H), Fath al-Baari, Beirut:Daar al-Ma’rifah, j. 6,hal. 302).

Persoalan yang timbul, maka siapakah pembina Masjid al-Aqsa, ataupun siapakah pula pembina Masjid al-Haram jika bukan Ibrahim as? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu melihat pula kepada pandangan kedua mengenai siapakah pembina Masjid al-Aqsa dahulu.

Pendapat kedua; yang mungkin tidak begitu popular suatu waktu dahulu, tetapi kini menjadi pilihan ramai dalam kalangan pengkaji sejarah Islam dan juga dalam kalangan para ulama mengatakan Masjid al-Aqsa telah dibina oleh Nabi Adam as. Binaan yang telah dibina oleh Adam as ini kemudiannya telah musnah akibat taufan d zaman Nuh dan hanya dibina kembali oleh Ibrahim.
Dalil mereka :

a. Hadith panjang dalam al-Bukhari riwayat Ibn Abbas yang menunjukkan bahawa Ibrahim as bukanlah membina Ka’bah seperti yang didakwa tetapi membina semula bangunan masjid di tapak masjid al-Haram yang telah musnah akibat taufan Nuh a.s.

b. Hadith-hadith bertaraf Hassan yang diriwayatkan oleh Ibn Hajar dan al-Bayhaqi seperti yang telah disebutkan sebelum ini yang menunjukkan bahawa Masjid al-Haram pernah wujud, dibina oleh Adam a.s, menjadi tempat para anbiya’ mengerjakan haji dan akhirnya musnah oleh taufan Nuh as (ibn Hajar, ibid.)

c. Hadith riwayat Abd Razzaq dalam Musannaf beliau, yang telah mengatakan bahawa Adam adalah manusia pertama yang telah membina Ka’bah. (Ibn Hajar, ibid.)

d. Hadith dari riwayat Abdul Wahab bin Munabbih yang menyatakan perkara yang sama juga. (Ibn Hajar, ibid.)

e. Hadith mengenai zamzam yang panjang dalam al-Sunan al-Kubra oleh al-Nasaai, di mana dalam hadis tersebut malaikat telah memberitahu Hajar tentang air zam zam dan tapak tersebut merupakan Masjid al-Haram telah mengatakan:”Janganlah kamu takut kamu akan kehilangan, di sinilah Baitullah, ANAK ini dan bapanya akan membina (semula)”. Apabila malaikat mengatakan sedemikian, ini menunjukkan Masjid a-Haram ataupun Bait al-Haram sememangnya telah wujud sebelum Ibrahim membinanya buat kali kedua. (Lihat:al-Nasaai (mati 303H) (1991M), al-Sunan al-Kubra, Beirut: Dar al-Marifah, cetakan pertama, j. 5, hal. 100) Hadith yang sama juga diriwayatkan oleh Abdul Razak di dalam Musannaf (Abdul Razaq, al-Musannaf, j.5 hal. 106).

f. Persoalan yang timbul kini, siapakah pula yang membina Masjid al-Aqsa? Jika dilihat kepada hadith Abu Dzar, ternyata Masjid al-Aqsa dibina 40 tahun selepas Masjid al-Harram. Berhubung dengan persoalan ini, ibn Hajar telah membawakan beberapa andaian, tetapi di akhirnya beliau telah memilih pendapat Ibn Hisyam di dalam bukunya alTijaan (dan juga pendapat ulama-ulama lain seperti al-Bayhaqi, Abdul Razzaq, Wahab ibnMunabbih dan lain-lain) yang mengatakan Adamlah yang telah membina Masjid al-Aqsa kerana tempoh waktu 40 tahun pembinaan al-Aqsa selepas Masjid al-Haram adalah lebih dekat dengan Adam a.s berbanding dengan orang-orang lain. (Lihat:Ibn Hajar,Fath al-Baari, j. 6, hal. 409)

Kesimpulannya, Masjid al-Aqsa telah dibina oleh Nabi Adam as atau pun anak-anak nya beribu tahun sebelum Sulayman membinanya semula buat kali kedua. (Lihat:Syurab, Muhammad Hassan (1994M), Baytul Maqdis Wa al-Masjid al-Aqsa:Dirasat Tarikhiyyah Muwattahaqah, Damsyik: Dar al-Qalam, hal. 301)

2. Hadith-hadith riwayat al-Nasaai daripada Abdullah bin Amru bin ‘Aas dengan sanad yang pelbagai telah menyatakan bahawa Sulayman bin Daud adalah orang yang pertama membina Masjid al-Aqsa. Antara petikan dari Hadith tersebut, Sulayman a.s setelah selesai membina Masjid al-Aqsa, telah berdoa kepada Allah tiga perkara, antaranya ialah barangsiapa yang bersolat di Masjid tersebut akan diampunkan dari dosa-dosanya yang lalu.

Hadith-hadith ini walaupun sahih, tetapi dari segi makna, ianya bertentangan dengan hadith Abu Dzar yang lebih sahih. Oleh yang demikian, kebanyakan ulama mentafsirkannya sebagai pemberitahuan bahawa Sulayman telah menaikkan semula binaan Masjid al-Aqsa dan bukannya membinanya buat kali pertama.

3. Hadith-hadith riwayat al-Bayhaqi, al-Hakim, dan lain-lain ulama hadith di dalam kitab-kitab mereka yang mengatakan Daud a.s merupakan orang yang pertama membina Masjid al-Aqsa.
Hadith-hadith ini, seperti mana yang telah diterangkan oleh Muhammad Hassan Syurab, samada bersifat dha’if, maudhu’, munkar dan lemah dari segenap sudut serta bersumberkan Israeliyyat dan secara jelas bertentangan dengan hadith Abu Dzar yang jauh lebih sahih. (Lihat: Syurab, op.cit., hal. 301-303)

Kesimpulan.

Kebanyakan hujah-hujah mereka yang mengatakan bahawa Nabi Sulayman merupakan orang yang awal membina Masjid al-Aqsa adalah tidak kuat dan tidak bersandarkan dalil-dalil yang kuat. Manakala hadith-hadith yang menceritakan bahawa Nabi Daud membinanya pula merupakan hadith-hadith yang lemah. Satu-satunya hadith yang paling sahih dan kuat di dalam menceritakan tentang pembinaan Masjid al-Aqsa adalah hadith Abu Dzar riwayat al-Bukhari. Berdasarkan hadith ini dan juga hadith-hadith lain yang mentafsirkannya, dapat kita simpulkan bahawa orang yang pertama membina Masjid al-Aqsa adalah nabi Adam a.s.

-MMM-

sumber : Dr Maszlee Malik,


1 comments:

mohon keizinan copy+paste+share

20 August 2014 at 12:02 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ