Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Hukum Mengelak Kehamilan Setelah Berjimak





Mengelak Kehamilan Setelah Berjimak

Soalan:

Saya telah ditanyai dengan persoalan apakah hukumnya seorang wanita yang meminum minuman bergas yang dicampur dengan panadol untuk mengelakkan kehamilan setelah melakukan perhubungan dengan suaminya?

'Izzah, Gombak


Jawapan:

Berbagai kaedah telah ditemui oleh para ahli tentang cara menjarak kehamilan, atau mengatur kehamilan. Bahkan para ulama juga telah menyetujui diantara kaedah-kaedah dan penemuan moden tentang pengaturan jarak kehamilan tersebut. Jika usaha menghindarkan kehamilan yang puan lakukan kerana demi menjaga kemaslahatan kesihatan anda ataupun untuk menjaga kesihatan bayi yang masih kecil, maka usaha tersebut tidaklah berdosa. Tapi jika menghindarkan kehamilan lantaran takut miskin dan ingin sentiasa nampak cantik dan ramping maka pekerjaan ini tidak termasuk sunnah Rasulullah SAW.

Setelah melakukan jimak kedudukan sperma dalam rahim belum berbentuk apa-apa, ertinya belum terjadi pembentukan organ janin, jadi jika kita meminum ramuan tersebut menyebabkan sperma itu tidak berfungsi tidaklah bererti kita telah membunuh janin, kerana ketika itu ia belum terbentuk kehidupan.




Mencegah Kehamilan


Soalan:

Apakah hukum seseorang wanita menggunakan 'IUCD' (sejenis alat yang dimasukkan ke dalam sistem peranakan wanita bagi mencegah kehamilan) diatas sebab-sebab kesihatan yang memerlukan jarak kehamilan dilakukan dan apabila wanita itu meninggal dunia. Adakah alat tersebut wajib dikeluarkan dari tubuh badan beliau?

Aniza, Bukit Kayu Hitam


Jawapan:

Pemandulan ialah satu cara untuk mencegah kehamilan kepada perempuan selama-lamanya atau sementara waktu. Jika untuk selama-lamanya tidak ada perselisihan di kalangan ulamak dari segi pengharmannya, kerana ia menghapuskan keturunan yang diperintahkan oleh syarak menjaganya ataupun memperbanyakkannya. Menurut Ibnu Hajar, "haram menggunakan sesuatu yang boleh menghapuskan kandungan selama-lamanya sebagaimana yang ditegaskan oleh kebanyakan ulamak, inilah yang zahirnya".

Pemandulan selama-lamanya berlaku dengan cara memotong saluran mani dan mengikatnya bagi lelaki dan dengan cara membuang saluran telur dan rahim atau memotong dua saluran falopian dan mengikatnya bagi perempuan. Sedangkan pemandulan sementara pula hukumnya adalah harus atau boleh kerana dikiaskan dengan 'azal (maksudnya suami memancarkan maninya di luar rahim isterinya untuk mengelakkan dari mengandung).

Al Bujairimi menjelaskan "Adapun melambatkan atau menjarakkan kehamilan buat sementara waktu dengan tidak menghentikannya sama sekali maka hukumnya tidaklah haram, menurut pendapat yang zahir, malah jika dengan sebab sesuatu keuzuran seperti faktor kesihata, untuk mendidik anak tidaklah makruh hukumnya melewatkan masa mengandung. Jika tidak ada alasan yang kuat maka hukumnya makruh".

Jadi jika usaha yang anda lakukan untuk menjarakkan kelahiran anak hanya bersifat sementara waktu dan dilakukan dengan sebab-sebab keuzuran atau faktir kesihatan dan lain-lain yang dapat dierima dari segi syarak, maka dibolehkan menjarakkan kehamilan. Seandainya dalam masa memakai alat menjarangkan kehamilan itu wanita tersebut meninggal dunia, maka tidak perlulah menyakiti si mayat dengan bersusah payah mengeluarkan sesuatu yang hukumnya harus atau boleh. Dengan memegang syarat bahawa tujuan pemasangan alat tersebut hanya bersifat sementara bukan sebaliknya dengan tujuan untuk selama-lamanya yang menyebabkan pemakaian alat tersebut menjadi haram.
Wallahu A'lam.




0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ