Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



10 Sunnah Rasulullah SAW Yang Sering Diabaikan




SUNNAH adalah segala sesuatu yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW berkaitan percakapan, perbuatan mahupun senyap diamnya (persetujuan) oleh Nabi Muhammad SAW.

Ia juga bererti sesuatu yang pelakunya mendapat ganjaran pahala dan tidak berdosa bagi yang meninggalkannya.

Di antara perbuatan sunah yang jarang dilakukan kaum muslimin adalah sebagai berikut.

1). Mendahulukan kaki kanan ketika memakai selipar.

DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Jika kamu memakai sandal/selipar, maka dahulukanlah kaki kanan dan jika melepaskannya dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya, maka hendaklah memakai kedua-duanya atau tidak memakai kedua-duanya sama sekali. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dapatlah difahamkan memakai kasut/sepatu juga atau lain-lainnya hendaklah dimulakan dengan yang sebelah kanan, kerana ada keberkatannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “
Apabila seseorang daripada kamu makan, maka hendaklah ia makan dengan tangan kanannya, hendaklah ia minum dengan tangan kanannya, hendaklah ia mengambil dengan tangan kanannya dan hendaklah ia memberi dengan tangan kanannya." (riwayat al-Hasan bin Sufiyan)

Daripada keterangan hadis-hadis yang lain, Nabi SAW telah mengamal dan membuktikan disiplin lebih luas iaitu meliputi kaki kanan, lambung kanan dan sebelah kanan. Nabi SAW memulakan langkahnya dengan kaki kanan dan melangkah kaki kiri apabila memasuki tandas dan melangkah kaki kiri apabila keluarnya.

Baginda mendahulukan kaki tangan sebelah kanan apabila bersuci untuk wuduk dan menyisir rambut atau memakai kasut dan seumpamanya. Solat juga diakhiri dengan memulakan salam ke sebelah kanan. Displin didahulukan kanan adalah lambang gerak-geri para mukmin dalam semua aktiviti harian mereka yang mulia.

2). Menjaga dan memelihara wuduk.

DIRIWAYATKAN daripada Thauban r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “
Istiqamahlah (konsistenlah) kamu semua (dalam menjalankan perintah Allah) dan kamu tidak akan pernah dapat menghitung pahala yang akan Allah berikan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik perbuatan adalah solat, dan tidak ada yang selalu memelihara wuduknya kecuali seorang mukmin." (riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)


3). Bersiwak (menggosok gigi dengan kayu siwak).

DIRIWAYATKAN daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Siwak dapat membersihkan mulut dan saranan untuk mendapatkan reda Allah." (riwayat Ahmad dan an-Nasa’i)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

Andai kata tidak memberatkan umatku necaya aku memerintahkan mereka untuk bersiwak setiap kali hendak solat. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Bersiwak disunahkan setiap saat, lebih-lebih lagi ketika hendak berwuduk, bersolat, membaca al-Quran, ketika mulut berbau, pagi ataupun petang, ketika bangun daripada tidur dan hendak memasuki rumah. Bersiwak merupakan perbuatan sunnah yang hampir tidak pernah dilakukan oleh kebanyakan orang kecuali yang mendapat rahmat daripada Allah SWT dan mendapatkan pahala yang sangat besar dan mulia.

4). Solat istikharah.

DIRIWAYATKAN daripada Jabir r.a. bahawa ia berkata:
Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita tatacara solat istikharah untuk segala urusan, sebagaimana Baginda mengajarkan surah-surah al-Quran kepada kami. (riwayat Bukhari)
Oleh itu, lakukanlah solat ini dan berdoalah dengan doa yang sudah lazim diketahui dalam solat istikharah.


5). Berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung.

DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Zaid r.a. bahawa Rasulullah SAW berkumur-kumur dan menghisap/menghirup air ke hidung secara bersamaan daripada satu ceduk air dan itu dilakukan sebanyak tiga kali (ketika berwuduk). (riwayat Bukhari dan Muslim)


6). Berwuduk sebelum tidur dan tidur dengan posisi miring ke kanan.

DIRIWAYATKAN daripada Al-Barra’ bin ‘Azib r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Jika kamu hendak tidur, maka berwuduklah seperti hendak solat, kemudian tidurlah dengan posisi miring ke kanan dan bacalah: “Ya Allah, aku pasrahkan jiwa ragaku kepada-Mu, aku serahkan semua urusanku kepada-Mu, aku lindungkan punggungku kepada-Mu, kerana sayang sekali gus takut kepada-Mu, tiada tempat berlindung mencari keselamatan daripada (murka-Mu) kecuali kepada-Mu, aku beriman dengan kitab yang Engkau turunkan dan dengan nabi yang Engkau utus." Jika kamu meninggal, maka kamu meninggal dalam keadaan fitrah. Dan usahakanlah doa ini sebagai akhir perkataan kamu. (riwayat Bukhari dan Muslim)


7). Sujud syukur ketika mendapat nikmat atau terhindar daripada bencana.

SUJUD ini hanya sekali dan tidak terikat oleh waktu. Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a. ia berkata:
“Jika Rasulullah SAW mendapatkan sesuatu yang menyenangkan atau disampaikan khabar gembira, maka Baginda langsung sujud dalam rasa bersyukur kepada Allah." (riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).


8). Berlumba-lumba untuk mengumandangkan azan, bersegera menuju solat, serta berusaha untuk mendapat saf pertama.

DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Andai kata umat manusia mengetahui pahala di sebalik azan dan berdiri pada saf pertama kemudian mereka tidak mendapatkan bahagian kecuali harus mengadakan undian terlebih dahulu nescaya mereka membuat undian itu. Andai kata mereka mengetahui pahala bergegas menuju masjid untuk melakukan solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba melakukannya.

Andai kata mereka mengetahui pahala solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, nescaya mereka datang meskipun dengan merangkak. (riwayat Bukhari dan Muslim)


9). Berdoa ketika memakai pakaian baharu.

DIRIWAYATKAN daripada Abu Said al-Khudri r.a. ia berkata: “
Rasulullah SAW jika mengenakan pakaian baharu, maka Baginda menamakan pakaian itu dengan namanya, baju, serban, selendang ataupun jubah, kemudian Baginda membaca: “Ya Allah, hanya milik-Mu semua pujian itu, Engkau telah memberiku pakaian, maka aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuannya dibuat dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuannya dibuat." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).


10). Mengucap salam kepada semua orang Islam.

DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Amru r.a. ia menceritakan:
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa ciri keislaman seseorang yang paling baik? Rasulullah SAW menjawab: Kamu memberikan makanan (kepada orang yang memerlukan) dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan orang yang tidak kamu kenal. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa ia menuturkan:
Rasulullah SAW berjalan melalui kumpulan kanak-kanak, lalu Baginda mengucapkan salam kepada mereka semua. (riwayat Muslim)

Ibnu Rajab menuturkan:
“Orang yang beramal sesuai ajaran Rasulullah SAW, meskipun amal itu sangat kecil, maka itu akan lebih baik daripada orang yang beramal tidak sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW walaupun dia sangat bersungguh-sungguh.

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang mengikuti sunnah Rasul-Mu dan mengikuti jejaknya. Ya Allah, kumpulkan kami dan kedua orang tua kami dan kaum muslimin semuanya ke dalam syurga-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin Ya Rabbal Alamin. -Utusan


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ