Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



KANAK-KANAK EMPAT TAHUN TERSEPIT DI BESI KATIL



MELAKA – Seorang budak lelaki berusia empat tahun berdepan detik mencemaskan selepas kepalanya tersepit selama 25 minit pada besi katil dua tingkat di rumahnya di Lorong Solok Tambak, Balai Panjang di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2.50 petang itu, mangsa, Muhammad Amirul Syahir Amir Hamzah dikatakan sedang bermain bersama abangnya, Muhammad Amirul Syafiq, 6, di atas katil berkenaan.

Menurut ibunya, Rafidah Anuar, 33, dia hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar suara Amirul Syahir meminta tolong.

“Saya yang berada di dapur terkejut apabila dia menjerit ‘mama, mama’. Saya kemudiannya berlari ke arah bilik dan terperanjat apabila melihat kepalanya tersepit pada besi katil tersebut manakala dia pula dalam keadaan berdiri.

“Pada mulanya saya cuba meregangkan besi katil berkenaan namun tidak berjaya sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Jelas Rafidah, katil besi dua tingkat itu tidak bertilam selepas dia membuang tilam tersebut kira-kira lima bulan lalu.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 3.03 petang dan tiba di rumah mangsa kira-kira 14 minit kemudian.

“Semasa kami tiba, kanak-kanak terbabit berada dalam keadaan cemas dan menangis. Bagaimanapun kami hanya mengambil masa kurang daripada 10 minit untuk mengeluarkan kepalanya menggunakan mesin pemotong khas,” katanya.

Ibrahim memberitahu, kanak-kanak terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. - kosmo






0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ