Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Pengajaran Sebuah Kisah Di Dalam Al-Kahfi


Satu hari, Dr Ala’ Hilat berkongsi akan satu kisah menarik.

Kisah itu kisah biasa. Aku pun awal-awal mendengar maudu’nya, rasa kurang berminat. Kisah seorang lelaki soleh yang biasanya orang panggil dengan panggilan Khidir, dengan Nabi Allah Musa. Ya, mungkin ramai akan menarik muka terlebih dahulu. “Ala, dah tahu.” Sebab aku juga begitu.

Tetapi Dr Ala’ Hilat berkata:

“Al-Quran bukan buku sejarah. Al-Quran bukan buku fizik mahupun kimia. Al-Quran adalah Kitab Hidayah. Petunjuk buat yang memerhati dan membuka hati. Maka kisah Khidir dan Musa bukanlah kisah tarikhi(sejarah), tetapi adalah petunjuk, penenang hati daripada Allah SWT.”

Ketika itu aku diam dan mula memandang wajah guru kesayanganku itu.

Menanti apakah yang menarik yang akan disampaikan olehnya. Sebab Dr Ala’ memang terkenal dengan manusia yang mampu menggugah jiwa manusia yang lain.

Sepintas kisah Khidir, menandakan bukan itu perhatian utamanya

Dr Ala’ tidak panjang menceritakan kisah Khidir dan Musa. Dia sekadar mengeluarkan point penting. Katanya ada enam point penting, tetapi dikeluarkan tiga point terlebih dahulu. Dr Ala’ kata, tiga point yang hendak dikeluarkan ini adalah perjalanan Khidir dan Musa.

1 – Khidir membocorkan perahu milik seorang miskin, yang digunakan oleh mereka berdua untuk merentas sungai.

“Lalu berjalanlah keduanya(Khidir dan Musa) sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, kemudian dia(Khidir) membocorkannya.” Surah Al-Kahfi ayat 71.

2 – Khidir membunuh seorang anak kecil.

“Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya.” Surah Al-Kahfi 74.

3 – Khidir menegakkan sebuah dinding yang hampir roboh.

“kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka dia(Khidir) menegakkan dinding itu.” Surah Al-Kahfi ayat 77.

Dan Dr Ala’ memberitahu betapa Musa AS, dalam setiap perlakuan itu, menimbulkan pertanyaan. Sedangkan, perjanjian yang dipersetujui mereka di awal perjalanan adalah, Musa tidak akan bertanya apa-apa.

Kemudian Dr Ala’ menceritakan juga hikmah-hikmah mengapa Khidir melakukan semua itu. Dan semua itu terdapat di dalam Al-Quran pada ayat 79-82 Surah Al-Kahfi. Dibocorkan perahu, kerana hendak menyelamatkan perahu itu daripada raja zalim yang suka merampas perahu-perahu yang baik. Dibunuh anak itu, kerana anak itu akan membesar dan menyesatkan kedua ibu bapanya. Dibina semula dinding, kerana di situ terdapat harta untuk dua anak yatim yang tinggal di negeri itu. Dibina semula untuk melindungi harta mereka, agar nanti kala mereka dewasa, mereka akan mendapatkannya.

Laju sahaja Dr Ala’ menceritakan semua itu.

Seakan-akan, bukan itu maudu’ utamanya.

Dan sampai setakat ini, aku masih tidak nampak, apa yang menariknya?

Tiga point yang ditinggal.

Pada titik inilah, Dr Ala’ bertanya kepada kelas:

“Apakah tujuan utama Allah SWT apabila Dia menceritakan kita kisah ini?”

Seorang pelajar menjawab – “Kebijaksanaan Khidir?”

Dr Ala’ menggeleng. “Tetapi bagus kamu utarakan jawapan itu.”

Seorang pelajar menjawab – “Bagaimana Allah memberikan pengajaran kepada Musa?”

Dr Ala’ menggeleng. “Musa telah mati.”

Kelas diam. Aku diam juga. Sebab aku tidak pasti hendak menjawab apa.

“Apakah benar Khidir itu bijaksana? Atau sebenarnya dia tidak mempunyai ilmu langsung?” Dr Ala’ menimbulkan persoalan. Memecahkan kesunyian. Aku terkejut, begitu juga seluruh isi kelas. Dr Ala’ nak kata Khidir bukan bijaksana? Tak berilmu?

Aku lihat senyuman Dr Ala’ ketika itu, dan aku yakin dia yakin kata-katanya benar.

“Tahukah apa yang pertama sekali Allah sebut apabila memperkenalkan Khidir ini?”

Kami diam tidak menjawab. Dr Ala’ pun membacakan satu potong ayat. Ayat pertama ketika Allah memperkenalkan Khidir kepada pembaca Al-Quran.

“Lalu mereka bertemu dengan  seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami.” Surah Al-Kahfi ayat 65.

“Khidir sebenarnya, bukan bijaksana. Sebab ilmu Khidir bukanlah ilmu yang dicarinya sendiri. Bukan berdasarkan pengalaman. Bukan berdasarkan pemikiran. Khidir tidak berfikir. Dia hanya ‘bergerak’ berdasarkan apa yang telah ‘ditetap’kan. Sebab ilmu Khidir hakikatnya adalah ilmu Allah SWT secara langsung. Sebab itu Allah menyebut – dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami. Ilmu itu adalah yang kita kenali sebagai Ilmu Ladunni. Ilmu yang datang terus daripada Allah SWT. Atau pendek kata, Ilmu Allah itu sendiri. Yang tak terjangkau dek manusia.”

Ketika ini mata aku terbuka. Itu point pertama, dari tiga point yang belum disebut.

“Maka, segala keputusan Khidir di dalam peristiwa ini, bukanlah keputusan dia. Bukan terhasil dari pemikirannya. Bahkan sebenarnya, itu bukan keputusan seorang Khidir pun. Tetapi hakikatnya adalah keputusan Allah SWT. Lihat sendiri apa kata Khidir di akhir perjalanannya dengan Musa.”

Dan Dr Ala’ membaca: “dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri.” Surah Al-Kahfi ayat 82.

“Apa yang Khidir lakukan itu, hakikatnya bukan tindakan dia. Khidir hanyalah ibarat robot yang diprogramkan Allah SWT untuk melakukan itu dan ini. Sebab itu, apakah kamu pernah mendengar riwayat sohih akan kewujudan manusia seperti Khidir ini di zaman-zaman lain? Dia hanya wujud untuk Musa dalam perjalanan ini, dan tidak diketahui wujud baik sebelum itu mahupun selepas itu.”

Sekali lagi aku macam tersentak. Itu point kedua dari tiga. Dada berdegup kencang. Rasa teruja. Rasa macam Allah SWT telah membukakan satu lagi ilmu yang luas untuk diri ini.

“Dan dengan kisah Khidir, Allah hendak mendidik kita untuk bersabar dengan keputusan-keputusanNya. Sebab itu, isu perjalanan Khidir dengan Musa, hakikatnya adalah isu BERSABAR DENGAN KEPUTUSAN ALLAH SWT. Tidakkah kamu melihat, apakah perjanjian utama mereka di dalam perjalanan ini?”

"Musa berkata kepada lelaki itu(Khidir): Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu? Dia menjawab: Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu? Musa berkata: Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai seorang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun. Dia(Khidir) berkata: Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apa pun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.” Ayat 66-70 Surah Al-Kahfi.

Dan lengkaplah tiga point yang ditinggalkan di awal cerita tadi.

Keputusan Allah, dan bersangka baik kepadaNya.

Dr Ala’ memberitahu bahawa, kisah Khidir dan Musa adalah untuk menunjukkan bagaimana Allah SWT dalam membuat keputusan.

“Apa-apa musibah yang melanda itu, hakikatnya baik untuk kita.” Itu point yang paling penting yang diberikan Dr Ala’ kepada kami.

Kisah Khidir adalah buktinya. Apabila semua yang dilakukan itu, hakikatnya mempunyai sebab. Tuan punya perahu, perahunya tidak lagi dirampas kerana bocor. Dan bocor itu boleh dibaiki dan dia masih boleh berniaga dengan perahunya lagi. Ibu bapa yang kehilangan anak, keimanan mereka terselamat, dan mereka takkan dicampak ke neraka Allah nanti. Dua anak yatim yang dibantu, memang akan terjaga hartanya sampai mereka dewasa nanti.

Ada perkara itu, Allah berikan yang pahit dahulu. Perahu bocor, anak mati. Ada perkara, Allah berikan terus-terus nampak baik. Bina dinding yang hampir roboh. Tetapi kesimpulannya, semua itu akan menghala kepada kebaikan.

“Pokoknya, kita perlu bersabar, dan bersangka baik dengan keputusan Allah SWT. Tidakkah kita belajar bahawa, manusia yang tidak mampu bersabar, adalah manusia yang rugi?”

Kami tersentak sekali lagi. Eh? Kita belajar daripada mana?

“Lihatlah Musa, bagaimana dengan ketidak sabarannya, dia terpaksa berhenti dari mengikuti Khidir, sedangkan kalau dia bersabar, mungkin lebih banyak lagi hikmah yang akan dibukakan kepadanya.” Dr Ala’ tersenyum. Kami akhirnya memahami.

“Orang-orang yang bersabar, dan sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT, mereka takkan terganggu dengan musibah-musibah yang melanda mereka. Kerana mereka tahu, Allah SWT hanya mahukan yang baik-baik sahaja.”

Penutup: “Aku ceritakan ini, agar kamu membuka fikiranmu.”

Dr Ala’ kemudian berkata:

“Ilmu Allah itu, memang takkan terjangka oleh kita. Apa kata kita letakkan sepenuhnya kepercayaan kita, kepada Allah SWT Yang Maha Mengetahui Segala-galanya itu?”

Itulah pointnya dinyatakan jenis ilmu Khidir. Ilmu Ladunni. Bukan Ilmu manusia. Tetapi Ilmu Ilahi. Tak sama ilmu manusia, dengan ilmu Ilahi.

“Musa telah tiada. Tetapi kisah itu kekal hingga ke hari ini. Sebab pengajaran di dalam kisah itu, hakikatnya untuk kita. Maka perhatikanlah. Aku ceritakan ini, agar kamu membuka fikiranmu. Kalau kita melihat ini sekadar tarikhi(sejarah), kamu takkan sampai kepada apa yang aku sampaikan kepada kamu hari ini.”

Aku rasa puas.

Indah sungguh Al-Quran. Indah sungguh ilmu Allah SWT. Cantik sungguh cara penceritaan di dalam Al-Quran. Dan besar sungguh pengajaran yang Allah mahu berikan.

Hanya dari satu cerita, yang orang selalunya menyangka biasa-biasa.

Semoga bermakna kepada kita semua.


Ps: Dr Ala' Hilat adalah pensyarah di Kuliah Syariah University of Yarmouk, Jordan. Merupakan seorang yang khusus(pakar) di dalam bidang Muqorantul Adyan(perbandingan agama). Juga antara sebilangan kecil orang-orang arab yang mengambil pengkhususan mendalami agama Yahudi sehingga ke akar umbinya. Dr Ala' Hilat juga pakar dalam bidang Ilmu An-Nafs. Umurnya baru awal 30-an. Hampir seluruh jenis mata pelajaran Aqidah(Aqidah, Muqoranatul Adyan, Firaq fi tarikhil islam), saya belajar dengan dia.

Sumber

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. - Al-Ankabut: 69


Syariat Tarikat Hakikat Makrifat

Masalah Syariat, Tariqat, Haqiqat dan Makrifat adalah bidang-bidang atau cabang ilmu yang sangat khusus dan amat berbeza disegi pendekatan dan sumber perantara ilmu itu.

Pertelingkahan antara Ulama Haqiqat dan Ulama Syariat telah berlaku sejak dulu lagi. Mereka sebenarnya “betul” dalam bidang masing-masing. Sebagaimana berlaku antara Nabi Musa dan Nabi Khaidir. Nabi Musa, walaupun seorang Nabi, beliau tidak mempunyai Makrifat. Jadi beliau menghukum sesuatu kejadian berdasarkan ilmu Syariat yang beliau tahu. Nabi Khaidir pula dikurniakan Allah ilmu Makrifat, jadi beliau menghukum sesuatu mengikut ilmunya. Jadi dalam perjalanan bersama-sama Nabi Musa, Nabi Khaidir telah membunuh seorang budak, membangun semula rumah yang telah hampir musnah dan mengapak kapal yang beliau tumpangi. Perbuatan ini amat bersalahan dengan Syariat Nabi Musa. Kerana tidak sabar, Nabi Musa menegur perbuatan Nabi Khidir. Dengan itu mereka terpaksa berpisah sebagaimana perjanjian yang telah dibuat sebelum perjalanan. Nabi Khaidir berbuat demikian kerana pada pandangan Makrifatnya, budak itu mesti dibunuh kerana ia bakal menjadi anak yang nakal, sedangkan ibu/bapanya orang yang solleh. Dibawah bangunan lama terdapat harta anak yatim yang belum dewasa. Dalam perjalanan dengan kapal, Nabi Khaidir merosakkan sedikit kapal yang ditumpanginya supaya tidak dirampas oleh Raja yang zalim di pelabuhan yang mereka akan singgah. Raja ini akan merampas kapal-kapal yang baik.

Dalam hal ini Nabi Musa betul dengan ilmunya dan Nabi Khaidir betul dengan ilmunya.

Seperti juga berlaku pada Halaj, seorang wali Allah. Ia dihukum bunuh kerana dikatakan mengaku dirinya Allah dengan berkata `Anal Haq’. Pada pandangan Feqah (ilmu syariat) beliau telah bersalah dan perlu dihukum bunuh. Setelah kepalanya dipancung, darah tersembur dan membentuk perkataan “La ila ha illa llah” dipermukaan tanah. Dalam hal ini, ahli Syariat yang menghukum tidak bersalah dan Halaj juga tidak bersalah. Halaj berkata demikian kerana terlalu ‘Zuk” atau telah fana didalam kewujudan Allah SWT.

Sumber hukum untuk masyarakat umum dalam Islam mestilah berlandaskan Syariat. Ini adalah untuk menjadikan hukum Islam bersistematik sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Laduni dan Kashaf sebenarnya bukan ilmu. Ia merupakan cara ilmu itu disampaikan. Laduni bermaksud Allah memasukkan terus maklumat berkenaan sesuatu perkara kedalam pengtahuan orang itu. Tidak melalui pendengaran atau penglihatan. Dengan perkataan lain tidak ada guru.

Khasaf pula bermaksud keupayaan seseorang itu melihat perkara-perkara yang ghaib pada mata kasar. Pandangan khasaf ialah pandangan menggunakan mata basir (mata batin atau mata ruhani). Kalau mata kasar menggunakan cahaya (cahaya matahari atau lampu) untuk melihat, mata basir menggunakan “nur” untuk melihat. Kekuatan mata basir berbeza-beza. Paling rendah boleh melihat dimensi jin (dan syaitan). Peringkat lebih tinggi boleh melihat dimensi malaikat (alam malakut), kemudian dimensi roh. Paling tinggi ialah dimensi ketuhaan (Alam Lahut).

Jadi ilmu-ilmu ini walaupun sumbernya Allah SWT, tetapi melalui cara yang berbeza. Sesuai dengan Ilmu Syariat yang bersifat zahir dan membicara perkara-perkara yang zahir semata-mata, maka cara penyampaiannya juga menggunakan peralatan zahir, seperti guru zahir, kitab-kitab yang bersumberkan Quran dan Hadith Rasulullah SAW.

Tariqat ialah jalan atau cara-cara untuk mempertingkatkan IMAN, TAQWA dan seterusnya mendapatkan keredhaan Allah SWT. Jadi, untuk mendapatkan keredhaan Allah, mestilah menggunkan jalan atau peraturan yang diredhai Allah. Apabila sesorang pengamal tariqat beramal bersungguh-sungguh dengan ikhlas dibawah panduan seorang guru yang murshid, darjat IMAN dan TQWAnya meningkat dari sehari-kesehari. Hasil dari peningkatan ini, “dirinya” yang di dalam diri zahir, atau ronya, menjadi bertambah kuat dan sehat. Mata basirnya semakin terang sehingga pada suatu masa, cukup kuat sehingga boleh melihat alam ghaib atau kashaf. Setelah kasyaf dan sudah melihat dimensi-dimensi yang dijelaskan tadi, IMANnya meningkat dari ILMU YAKIN kepada AINUL YAKIN. Kalau dahulu murid itu yakin adanya alam ghaib kerana percaya kepada ilmu syariat yang dipelajari. Tetapi sekarang ini telah melihat sendiri adanya alam ghaib tersebut. Naiklah darjat menjadi AINUL YAKIN (Ain bermakna mata).

Kemudian Allah membuka lagi lautan ilmu (maklumat) berkenaan dengan Rahsia Allah kepada murid ini melalui guru-guru ghaib yang terdiri daripada Wali-wali Allah atau ALLAH memberi terus melalui Laduni. IMAN murid tadi meningkat lagi sehingga HAQQUL YAKIN. Ia itu yakin sebenarnya-benar yakin. Inilah darjat yakin para Nabi-nabi.

Setelah mengtahui rahsia-rahsia kejadian alam ini, maka dikatakan murid tadi telah mendapat HAQIQAT. Ia itu mengtahui kejadian makhluk Allah disegi zahirnya dan gahibnya (batinya). Setelah mendapat HAQIQAT, seterunya murid tadi dengan kurniaNYA, mungkin akan ditambah lagi ILMUnya sehingga mengenal KHALIQ, Yang Maha Pencipta iatu ALLAH YANG MAHA PERKASA. Inillah dikatakan telah mendapat MAKRIFAT. Ia itu mengenal ALLAH sebagaimana ALLAH sendiri memberi tahu diriNYA.

Jadi sebagai kesimpulan, Tariqat itu masih berbetuk syariat kerana ia ilmu zahir. Hasil dari amalan tariqat, seseorang itu dikurniakan Haqiqat dan Makrifat.

Guru murshid ialah guru yang telah mendapat sekurang-kurangnya peringkat Haqiqat kalaupun tidak mendapat Makrifat.

Jadi kesimpulanya, kalau kita bukan ahlinya, tak payahlah jadi macam orang buta yang cuba menceritakan bentuk seekor gajah. Orang buta yang pegang belalai tentu mengatakan gajah itu seperti ular. Orang buta yang pegang kaki, kata gajah macam tiang, begitulah seterunya.

Berkenaan dengan bagaimana nak membezakan sama ada sumber ilham atau guru ghaib itu yang haq (wali-wali misalnya) atau batil (syaitan). Ini perkara senang. Guru yang murshid akan dapat membantu muridnya. Guru murshid melihat dengan mata bashir dan dapat mengenal siapa sebenarnya yang datang. Syaitan memang pandai berupa, tetapi mata bashir lebih tajam. Syaitan itu boleh dibunuh.

Kalau berbicara masalah Tariqat, tak payahlah tanya mana hadis atau nasnya. Lihatlah siapa yang mengajar dan siapa muridnya. Mana salsilahnya. Tariqat yang betul jelas. Tariqat yang salah pun jelas. Kalau amalan Tariqat tersebut bersalahan dengan Syariat, jangan ragu lagi. Pasti salah. Seperti sembahyang tanpa kelakuan atau sembahyang niat atau dipanggil juga sembahyang batin, tentu salah kerana sembahyang mesti ada ketiga, niat, berkata-kata dan kelakuan. Kalau tidak menjaga aurat, bercampur laki-laki dan perempuan juga salah.

Bahkan, semakin tinggi seseorang itu dalam perjalanannya menuju keredhaan Ilahi, semakin banyak dia bersembahyang. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Kalau semakin tidak sembahyang, sahlah syaitan atau ketua syaitan ia itu Iblislah gurunya.

Sebagai kesimpulan, kalau kita bermaksud untuk menjadi orang yang diredhai Allah SWT MESTI belajar dan amal Tariqat. Sesorang yang mengamal Tariqat telah tahu dengan yakin sama ada segala amalannya diterima atau tidak oleh Allah SWT sebelum ia meninggal dunia lagi. Ia masih boleh betulkan sebelum mengadap Ilahi. Bahkan mereka ini mungkin dilantik menjadi Wali-Wali Allah.

Orang syariat hanya mendapat tahu sama ada Allah redha atau tidak setelah mereka mati. Ini sudah terlambat kalau terdapat kesilapan dalam amalan sehingga tidak diterima Allah SWT.

Fikirkanlah……………… saudaraku

Sekian. Harap maaf kalau terkasar bahasa.

Syed Mohd al-Yahya al-Hussaini.


1 comments:

Assalamualaikum..alhamdulillah syukur kehadrat illahi saya trjumpa karangan saudara tanpa sengaja..karangan saudara laa jawapan kepada yg berlaku kepada saya selama ni..terima kasih atas ape yg saudara karang kan ini amat laa besar bagi saya tentang ilmu makrifat yg saya pelajari dari rahsia nya..alhamdulillah syukur dgn petunjuk yg allah beri kan..terima kasih saudara syed mohd al yahya dgn ilmu yg saudara tunjuk kan ini..as salam..

17 September 2016 at 21:06 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ