KISAH PEMIMPIN GILA BODEK DAN AMPU
Kisah Pemimpin Gila Bodek Dan Ampu
Apabila sekali-sekala kita terasa terlalu ingin dipuji dan apabila yang kita mahu dengar hanyalah kata-kata yang sedap-sedap sahaja, lebih-lebih lagi apabila kita mempunyai kedudukan yang tinggi dalam organisasi atau masyarakat, ditambah pula oleh orang disekeliling kita terdiri daripada kaki ampu dan ‘bodek’, maka renungilah sejenak kisah raja tanpa bajunya ini. Cerita pendek turun-temurun ini telah kita dengar sejak di bangku sekolah rendah lagi. Memang sudah lama, namun iktibarnya dapat kita manfaatkan sepanjang usia. Bukan sahaja untuk menilai dan memperbaiki diri kita, malah untuk menilai orang lain, suasana dan perkembangan semasa.
Kisahnya bermula dengan seorang raja yang suka berpakaian cantik. Baginda terlalu gilakan baju dan fesyen baru. Semua tukang jahit dalam negara pemerintahannya sudah dikerahkan untuk menjahit baju barunya. Sehelai demi sehelai. Apabila siap sahaja, raja terus memakainya dan muncul di khalayak ramai. Kembang-kuncup hatinya apabila mendengar pujian rakyat tentang kecantikan pakaiannya. Itulah saat yang paling bahagia dirasakan dalam hidupnya. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, itulah karenah raja tersebut. Dan setiap kali raja muncul dengan pakaian barunya, rakyat akan mengangguk-anggukkan kepala serta memuji-muji baju raja. Namun walaupun telah silih berganti fesyen, silih berganti baju, raja masih belum puas hati lagi. Raja masih merasakan bahawa ada lagi fesyen baru yang belum dicubanya.
Maka menteri-menterinya disekelilingnya pening kepala, apalagi yang boleh diusahakan untuk memenuhi kehendak raja. Kehendak raja mesti dijaga, egonya mesti dikipas terus-menerus. Dan untuk itu para menteri ‘kaki bodek’ sanggup berbuat apa sahaja. Suka hati raja, maka selamatlah kedudukan mereka. Atas desakan raja, maka para pun akhirnya sepakat untuk mewartakan satu iklan besar-besaran – satu hadiah yang cukup lumayan kepada siapa yang dapat menjahit satu pakaian fesyen terbaru untuk raja. Tukang-tukang jahit dari seluruh pelusuk negara pun berduyun-duyun ke istana membawa kertas cadangan, lengkap dengan lakaran dan sebut-harga masing-masing. Namun raja tidak perkenan kerana semua tukang jahit itu sudah dikenalinya. Kalau muka lama, tentu citarasanya juga sama dan daya kreativitinya masih di takuk lama. Akhirnya, semua tukang jahit itu pulang dengan kecewa. Tidak seorang pun diantara mereka yang diterima cadangannya. Raja terus gelisah. Siapakah tukang jahit yang boleh memenuhi citarasanya?
Berita tentang raja mencari tukang jahit yang istimewa tersebar ke serata pelusuk negara. Berita sensasi itu turut sampai ke telinga dua orang lelaki yang sangat bijak menipu. Apalagi, otak licik merekapun berputar untuk mencari helah. Mereka berdua pun sepakat untuk menipu raja. Dengan menyamar sebagai tukang jahit yang terkenal mereka pergi ke istana untuk menawarkan diri sebagai tukang jahit yang mampu menghasilkan pakaian yang sangat istimewa. Raja dan para menteri yang sudah lama ‘pening kepala’ itupun ditipu bulat-bulat dengan cerita-cerita gah daripada kedua tukang jahit palsu itu. Kononnya pakaian yang akan mereka persembahkan buat raja nanti sungguh istimewa tetapi sangat mahal harganya. Apalagi, demi mendengar cerita tentang pakaian istimewa itu, rajapun melonjak-lonjak kegembiraan dan memerintahkan agar baju yang dimaksudkan itu dibuat segera. Belanja untuk membeli benang, jarum dan pelbagai peralatan membuat pakaian pun dikeluarkan dari khazanah negara. Belanja yang dikeluarkan sangat besar. Dan raja terpaksa memberi satu bilik khas seperti mana yang diminta oleh kedua tukang jahit untuk menjahit pakaian istimewa itu.
Tidak lama selepas itu, kedua orang tukang jahit memaklumkan kepada raja bahawa pakaian istimewa baginda telahpun siap. Lalu pada hari yang ditetapkan itu para menteri mengiringi raja ke bilik khas tukang jahit itu untuk memakai pakaiannya dan dari situ raja dijadualkan berangkat ke halaman istana untuk berjalan di hadapan rakyat jelata yang telah sedia menunggu untuk melihat pakaian raja yang baru. Tanpa bertanggung-tangguh tukang jahit memakaikan pakaian istimewa raja setelah baginda membuka semua pakaian yang sedia ada. Sambil memakaikannya kedua mereka memuji betapa segak dan cantiknya raja dengan pakaian barunya. Raja sungguh gembira walaupun sebenarnya baginda sendiri tidak nampak akan baju serta seluarnya. Tetapi oleh kerana pujian kedua tukang jahit, raja yakin sungguh bahawa pakaiannya memang cantik, walaupun sebenarnya baginda sedang berbogel.
Apabila keluar, menteri terkejut melihat raja yang berbogel, tetapi oleh kerana raja begitu beria-ria memuji ‘bajunya’ maka para menteripun turut memuji. Jika pujian raja sejengkal, para menterinya pula menambah hingga jadi sehasta. Wah, raja bertambah suka!Keluar menuju halaman istana, rakyat terpaku, apa tidaknya raja mereka sedang berjalan tanpa seurat benangpun. Tetapi apabila melihat para menteri memuji pakaian raja, maka seluruh rakyat pun segera memuji. Malah lebih daripada pujian oleh para menteri. Pujian sehasta jadi sedepa. Masing-masing memuji dengan bersorak ria. Apalagi, raja pun terus berjalan dengan lagak sombong dan bangganya. Kali ini raja benar-benar puas hati. Tidak disangkanya baju dan seluarnya begitu istimewa.
Tiba-tiba, seorang budak kecil berteriak, “raja tak berpakaian! Raja berbogel.” Semua orang terkejut dengan keberanian dan kelantangan budak tersebut. Mereka terus tersentak. Minda yang tertutup tadi telah terbuka. Kejujuran budak itu telah mencairkan sifat memuji secara membabi buta mereka.Ya, raja memang berbogel. Raja tidak berpakaian. Apalagi mereka pun ketawa beramai sambil mengejek raja. Menteri-menteri pun terkejut. Benar, raja memang berbogel. Pakaian istimewa yang tidak kelihatan itu memang tidak ada lansung. Melihat keadaan itu raja pun tersedar. Barulah raja mengakui hakikatnya bagainda memang tidak berpakaian dan sedang berdiri di hadapan seluruh rakyatnya. Malunya tidak terkira. Lalu dengan pantas, baginda berlari lintang-pukang menuju ke dalam istana di tengah-tengah ejekan rakyatnya.
Itulah nasib pemimpin yang kaki ampu. Justeru mengharapkan pujian dan sanjungan, telah ramai para pemimpin yang kecundang. Pujian membutakan mereka daripada melihat kelemahan dan kekurangan diri. Mereka telah merasakan begitu ‘super’ sehingga terlanjur bertindak di luar kemampuan diri. Ada yang cuba menunjukan kekuatan dengan harta, sehingga lupa hutang sudah keliling pinggang. Mereka berbelanja besar, kerana disitulah dirasakannya mertabat dan derjat kepimpinannya.
Kredit: Genta Rasa
0 comments:
Post a Comment