SEPULUH SEBAB KENAPA BOLASEPAK MALAYSIA MUNDUR
1. Pemilihan pemain berdasarkan reputasi bukan berdasarkan performance semasa
Perkara ini menjadi amalan jurulatih Malaysia sejak sekian lama. Mungkin kerana pemain tersebut masih hebat di liga tempatan, mungkin kerana dia masih menjaringkan gol di liga tempatan, maka dia kelihatan hebat namanya masih menjadi sebutan.
Sedangkan kita lupa, masih ramai pemain pelapis dan pemain muda yang lebih gagah, lebih hebat tetapi tidak diberi peluang di peringkat sukan serantau dan antarabangsa akhirnya bakat mereka tidak dapat diteruskan.
Saya tidak faham kenapa ada pemain yang sudah 5 atau 10 tahun atau lebih berada dalam pasukan kebangsaan masih disenaraikan. Tidak adakah bakat baharu? Rooney England dan Beckham pernah diketepikan daripada skuad England kerana prestasi mereka merudum walaupun memiliki reputasi yang besar. Di Malaysia, jika anda pemain yang ada sedikit reputasi, anda masih disenaraikan walaupun pancit di tengah padang.
2. Jurulatih
Perhatikan jurulatih Lim Teong Kim yang melatih pemain Jerman dan baru-baru ini dia berjaya memberikan kejuaraan kepada pemain muda di Eropah. Kenapa tidak lantik Lim Teong Kim yang lebih berpengalaman di peringkat Eropah?
Jurulatih tempatan yang hanya berlegar-legar di liga tempatan dan setakat sukan serantau seperti SEA games, Piala Tiger akan hanya berada di takat itu pengalaman dan kemajuan mereka.
Dolah Salleh bukannya tidak bagus. Dollah Salleh sangat bagus untuk liga tempatan, tetapi kita memerlukan jurulatih yang lebih bagus untuk saingan antarabangsa. Dahulu kita ada Claude Le Roy, malangnya apabila dia melatih dengan tegas dan keras dia diberhentikan. Apabila Claude Le Roy melatih pasukan Afrika, pasukan itu pula layak masuk Piala Dunia!
3. Stamina
Jika saya melihat semula perlawanan UAE-Malaysia baru-baru ini, daripada kacamata TV kita boleh menyaksikan pemain Malaysia tidak memiliki stamina yang tinggi. Adakah mereka kurang stamina mengharungi 90 minit perlawanan? Semasa latihan kecergasan, berapa orang pemain Malaysia yang berjaya mengelilingi padang tanpa henti selama 90 minit? Jika ada pemain yang tidak mampu berlari selama 90 minit tanpa henti, dia tidak layak menyertai pasukan kebangsaan! Itulah amalan pemain pasukan China.
4. Pemain Malaysia Kurang Tinggi
Di Jepun sebelum pasukan bolasepak mereka menjadi bertaraf dunia, mereka telah menjalankan kajian sains untuk menghasilkan pemain-pemain yang tinggi dan berbadan sasa seperti pemain bola sepak di Eropah.
Akhirnya, mereka telah mencadangkan beberapa perkara seperti menggalakkan perkahwinan campur dengan orang Eropah, mengawal pemakanan (sains pemakanan) dan hanya memilih pemain yang tinggi dan berbadan sasa sahaja yang akan mewakili negara.
Jika ada pun pemain yang rendah, daripada 11 pemain di tengah padang barangkali hanya ada satu dan dua sahaja yang berbadan rendah. Selebihnya semua tinggi belaka.
Cuba bayangkan jika pasukan bola sepak Malaysia mempunyai 11 pemain berbadan tinggi dan sasa seperti Beckam di tengah padang!
5. Kebajikan pemain
Di Malaysia tiada isu kebajikan jika berkaitan jersey, makanan, padang bola dan stadium. Persoalannya, adakah mereka dibayar gaji tetap setiap bulan? Adakah potongan EPF mereka setiap bulan dibayar tetap? Saya sangat sangsi berkenaan hal ini kerana laporan akhbar sejak dahulu malah hingga sekarang, liga Malaysia masih dihantui isu ini.
6. Semangat Patriotik
Apakah makna semangat patriotik di tengah padang bola sepak? Adakah dengan hanya berdiri tegak ketika lagu Negaraku dimainkan? Bagaimana dengan semangat mengejar bola? Bagaimana dengan semangat mempertahankan serangan? Bagaimana dengan semangat menjaringkan gol? Bagaimana dengan penyokong?
Semasa Dollah Salleh menyarung jersi kebangsaan, beliau adalah pemain yang terkenal dengan skil menggelecek. Dalam zaman sekarang, kita perlukan jurulatih yang pernah menyerang dan menjaringkan gol. Bukan jurulatih yang pernah bermain sebagai pemain pertahanan atau pemain tengah.
7. Rasuah
Adakah gejala rasuah sudah selesai? Adakah gejala mengatur perlawanan sudah selesai? Adakah gejala pemain senior tidak sehaluan dengan pemain junior masih berlaku? Adakah gejala pemain senior hanya memberikan bola kepada pemain senior masih berlaku, tidak kepada pemain junior yang berpeluang? Semua isu-isu ini diperkatakan oleh mereka yang rapat dengan pasukan bolasepak di peringkat negeri dan kebangsaan. Sama ada ianya masih berlaku atau tidak hanya mereka di tengah padang boleh mengesahkannya. Kritikan ini supaya anda berhenti mengamalkannya jika ianya masih berlaku.
8. Pengurus Pasukan
Pasukan Malaysia memerlukan seorang Manager yang ada kemahuan untuk menang dan tidak mahu kalah. Kenapa tidak lantik TMJ? Jika ada pengurus pasukan yang boleh menendang tiang corner, itu adalah ciri-ciri Manager yang dicari-cari, yang ada kemahuan untuk menang. Pasukan Malaysia perlukan manager itu.
9. Cina
Pada era kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan tahun 70an dan 80an, pasukan negara dibarisi pemain berbangsa Melayu, India dan Cina. Sejak hujung tahun 1990an hingga sekarang, saya tidak nampak pemain Cina Malaysia bermain untuk pasukan kebangsaan mahupun pemain negeri? Kenapa?
Lim Teong Kim, Soh Chin Aun, Lee Kin Hong dan ramai lagi adalah contoh pemain berbangsa Cina yang memiliki kemahuan untuk menang.
10. Penaja
Kenapa Malaysia yang kaya dengan syarikat-syarikat besar tidak membantu pasukan kebangsaan? Anda boleh membeli pasukan Liga England, tetapi anda tidak mampu menaja pasukan kebangsaan berlatih di luar negara.
Daripada kita menaja pasukan formula one negara asing, lebih baik menaja pasukan bola sepak kebangsaan! Tolonglah taja pasukan kebangsaan kita bermain di Eropah, liga Amerika Syarikat, Liga Jepun dan Liga China. Dengan sokongan kewangan anda, ianya akan menjadi kenyataan.
0 comments:
Post a Comment