POLIS SIASAT KANAK-KANAK YANG DIRANTAI PADA TIANG PAPAN TANDA JALAN
BIDOR: Seorang nenek bertindak merantai cucunya pada papan tanda jalan berhadapan kediamannya kerana marah terhadap cucunya itu yang dikatakannya sangat nakal dan enggan membuat kerja sekolah.
Gambar yang telah dimuat naik di laman sosial Facebook menunjukkan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun telah dirantai pada pergelangan tangan di tiang tanda jalan telah menjadi viral di media sosial.
Tindakan tersebut dilakukan oleh neneknya di sebuah papan tanda jalan raya berhampiran kediamannya di Taman Maju Jaya, dekat sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, pihak Polis telah menjalankan siasatan berhubung tindakan wanita berkenaan setelah mendapat laporan.
Siasatan awal pihak Polis mendapati nenek kepada mangsa mengaku telah merantai cucunya di papan tanda tersebut.
Tambahnya lagi, pihak Polis turut melakukan lawatan ke rumah mangsa dan telah menemui nenek mangsa yang berumur 54 tahun.
“Mangsa telah dirantai di papan tersebut selama 5 minit sambil diperhatikannya.
“Ibu bapa mangsa tidak berada di Bidor kerana bekerja di Singapura sebagai tukang masak,” kata sumber.
Mangsa telah dijaga oleh neneknya sejak berumur 8 bulan lagi dan difahamkan Ibu bapa mangsa hanya pulang ke Bidor sekitar dua atau tiga bulan sekali.
Mangsa yang ditemui turut memberitahu tidak dipukul oleh neneknya dan mengakui bahawa neneknya marah kerana dia enggan membuat kerja rumah.
Tiada kesan kecederaan atau lebam ditemui pada badan mangsa dan kes masih di dalam siasatan.
0 comments:
Post a Comment