Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Sejarah Kemasukan Kristian Di Kepulauan Melayu (PT 1)




Agama Kristian berasal dari Palestine, di Timur Tengah. Agama Kristian mula tersebar luas di tiga buah benua iaitu Afrika, Eropah dan Asia. Di Afrika, Kristian menjadi agama rasmi negara Habsyah dalam abad ke 4. Daerah Asia terutamanya Asia selatan dan Asia Timur menerima Kristian agak terlewat sedikit. Perluasan besar Kristian berlaku di Eropah, kemudian ia menular ke bahagian-bahagian lain dunia.

Kedatangan Kristian ke daerah nusantara Melayu (Malaysia, Filipina dan Indonesia) sangat rapat hubungannya dengan gerakan perluasan daerah Portugal, Sepanyol dan Belanda. Pada tahun 1511, orang-orang Portugis telah menawan kota dan pelabuhan Melaka, dan menjadikannya sebagai pusat kegiatan mereka. Kemudian mereka menyelinap masuk ke Maluku, Tiongkok dan Jepun. Di mana sahaja mereka membuat kolonisasi yang tetap , mereka mengubah agama penduduk-penduduknya menjadi Kristian dan memperkenalkan bahasa Portugis.



Asas kemasukan Kristian ke kepulauan Melayu ini pun nyata sudah berbeza dengan Islam. Kristian masuk melalui penjajah yang dengan rakusnya menjajah negara orang lain, sedangkan Islam hanya masuk melalui pedagang2 Arab, India dan beberapa bangsa lagi dengan cara perdagangan. Mereka berdagang dan sambil-sambil itu mereka mendakwah agama Islam dengan cara yang baik, alhamdulillah.

Sementara orang-orang Portugis meluaskan daerahnya ke Timur, orang-orang Sepanyol pula meluaskan daerahnya ke arah Barat. Mereka menakluki daerah yang luas di benua Amerika dan dari Amerika kemudiannya ke Lautan Teduh. Filipina merupakan daerahnya yang paling utama di Lautan Teduh dan di sana mereka bertapak secara kekal sejak tahun 1565. Undang-undang Sepanyol dan undang-undang Portugis terhadap perkara agama, bahasa dan kebudayaan pada umumnya sama dengan Portugis. Malah sebenarnya sejak tahun 1580 hingga ke tahun 1640 setelah Portugal ditakluki oleh Philip II, Raja Sepanyol (1527 – 1598) yang juga telah memberikan namanya kepada Filipina, maka Sepanyol dan Portugis telah disatukan di bawah pemerintahan Sepanyol yang tunggal.




Philip II telah tercatat dalam sejarah sebagai seorang pembela kepercayaan Roman Katolik yang berani. Dia menganggap orang-orang Moor dan orang-orang Kristian Protestant sebagai musuhnya yang utama. Dia telah menentang Kristian Protestant terutama sekali di negeri Belanda yang di bawah pemerintahannya. Negara tersebut telah memberontak terhadapnya dengan berhasil sekali. , dan kejadian ini bukan sahaja penting ertinya bagi Eropah, kerana peperangan Hispano-Portugis menentang ‘Moor’ dan Protestant itu tidak terbatas di Eropah dan daerah Laut Tengah yang berjiran dengannya sahaja, tetapi juga telah dilanjutkan hingga ke Asia Tenggara.

Apabila orang-orang Sepanyol sampai di Mindanao di Filipina, setelah mengelilingi setengah bulatan dunia ini dari arah barat, mereka telah berhadapan dengan musuh tradisinya di bahagian paling timur, iaitu orang-orang Islam. Orang2 Islam ini mereka sebut juga sebagai orang2 ‘Moro’. Dalam abad ke 17, didapati bahawa orang2 Belanda bekerjasama dengan orang2 Islam / Moro ini dalam perjuangannya menentang Sepanyol, dan kekuasaan Sepanyol hampir menemui nasib yang sama dengan nasib orang2 Portugis di Asia Tenggara.




Pada tahun 1602, Syarikat Hindia-Timur yang terkenal dengan nama V.O.C (Verenigde Oostindische Compagnie) telah ditubuhkan. Syarikat ini bukan sahaja bertindak sebagai syarikat dagang tetapi juga menerima hak2 kekuasaan. Syarikat ini diberi izin untuk mengikat perjanjian dan persekutuan dengan pengiran2 dan lain2 raja yang berkuasa atas nama negara Belanda, dan juga untuk mendirikan perbentengan dan mengambil serta mengangkat pegawai2 pentadbir, hakim2 dan askar2 tetapi semuanya itu harus mengangkat sumpah taat setia kepada pemerintahan negara Belanda.

Dalam masa abad ke 17, kekuasaan orang2 Portugis di Asia Tenggara telah pecah, dan pemerintahan orang2 Sepanyol hanya terbatas kepada Filipina sahaja. Jatuhnya Melaka (1641) secara khusus telah menguntungkan kedudukan perdagangan di Betawi yang menjadi pusat kekuasaan Belanda di Asia. Akhirnya satu sahaja daerah yang menjadi milik orang2 Portugis dan dalam hal ini, kepulauan timur Portugis mempunyai kedudukan yang sama di Asia Tenggara seperti Makao di Asia Timur.

Kekuasaan Eropah di Asia Tenggara dalam abad ke 17 dan ke 18 tidak bertambah dari keadaannya dalam abad ke 16. Kemerosotan kekuatan Sepanyol juga secara umum telah mula dirasai di Filipina. Daerah jajahan Belanda terdiri dari beberapa pusat yang kuat, biasanya di pesisir dan dari pesisir daerah pengaruhnya mencapai masuk ke pedalaman atau di sepanjang jalan kapal. Dalam abad yang ke 18, pengaruh Belanda bertambah kuat lagi di Jawa, tetapi gambaran pada umumnya ialah bahawa daerah di bawah V.O.C itu masih dan tetap menjadi sebuah koloni perdagangan.




Pada kebanyakan tempat, terutama di Maluku, penggantian pemerintahan Portugis dengan pemerintahan Belanda melibatkan pula satu penggantian agama Kristian dari mazhab Roman Katolik menjadi mazhab Protestant. Akan tetapi sebuah pertubuhan dagang seperti V.O.C tidak begitu berminat untuk menukar agama di tempat2 miliknya dan daerah2 pengaruhnya seperti negara2 Portugal dan Sepanyol. Malah sebenarnya setelah kegiatan misi2 Roman Katolik menggelombang naik pada pertengahan abad ke 16 , maka kemerosotan telah berlaku dalam masa 25 tahun yang terakhir dalam abad itu , sehingga yang demikian tidaklah dapat dilihat sesuatu kemajuan agama Kristian yang nyata di daerah2 tersebut.

Pada akhir abad yang ke 18 dan permulaan abad ke 19, beberapa peristiwa telah berlaku seperti pembubaran V.O.C, masa peralihan yang singkat di bawah pemerintahan Inggeris, dan pembentukan Hindia-Timur Belanda di bawah pemerintahan Belanda. Daripada sebuah koloni dagang menjadi sebuah koloni pertanian, yang berpusat di Jawa. Daerah ini tidak meliputi Melaka, yang ditakluk oleh Inggeris pada 1824.

Masa permulaan 25 tahun dalam abad ke 19 merupakan satu masa pengawasan negara dan perencanaan negara secara tersusun. Raja William I (yang memerintah dari 1813-40) menjadi penganjur siasah tersebut. Dia meneruskan kegiatan2 gereja zaman V.O.C dalam ‘Gereja Protestant di Hindia Belanda’. Gereja ini telah didirikan tersendiri dari gereja protestant di negeri Belanda.




V.O.C telah mempengaruhi pihak2 gereja yang berkuasa dalam hal memilih kaum pendeta Protestant untuk bekerja di timur, dengan jalan membuat tuntutan2 istimewanya sendiri, tetapi sekurang2 nya pemilihan itu pada saat terakhirnya tetap merupakan perkara dalam lingkungan kuasa gereja. Pemilihan di negara Belanda telah ditugaskan kepada sebuah jawatankuasa yang diangkat oleh raja, dan di dalam jawatankuasa ini hanya satu atau dua orang2 terkemuka gereja yang menjadi anggota kerana kedudukannya itu.

Semua penganut Protestant di Hindia-Belanda harus menjadi anggota gereja Protestant di daerah itu, biar apa pun jua bangsa atau kepercayaannya. William I telah memberikan kepada gereja ini konstitusi yang menjunjung dasar bahawa sesuatu hal yang dilakukan di Hindia Belanda haruslah dengan pengetahuan dan campur tangan pemerintah. Majlis gereja Betawi kini secara rasmi telah diberi satu fungsi kepimpinan di dalam gereja, sebagai lanjutan keadaan yang telah berkembang di bawah V.O.C. Sampai lama dalam abad ke 19 , satu peraturan baru masih terus berlaku bahawa presiden dewan gereja itu mestilah seorang anggota dewan tertinggi dalam negeri iaitu Dewan Kepulauan Hindia Belanda. Pengangkatan oleh gereja tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan pemerintah.

Apabila tugas2 gereja di timur secara tegas diletakkan di bawah pengawasan pemerintah dalam abad ke 17, maka keadaan itu pada permulaannya telah menimbulkan protes daripada pihak gereja yang berkuasa di negeri Belanda dan juga di Betawi. Kemudian hal itu telah diterima tanpa sungutan , sebagai lanjutan keadaan dalam zaman V.O.C. Pada hakikatnya, pengawasan negara terhadap gereja pada masa itu malah diperkuatkan dari sebelumnya. Dalam zaman V.O.C gereja tidak dapat berkembang sedemikian rupa sehingga menarik perhatian, kerana kepentingan dagang biasanya mengatasi kepentingan gereja tetapi pada dasarnya perluasan daerah gereja telah diakui oleh pihak yang berkuasa.

Sampai di sini dahulu dalam bahagian pertama ini dan dalam bahagian kedua nanti insyaAllah akan diberikan penjelasan tentang kemasukan Kristian ke Tanah Melayu dan konsep-konsep asas iman mereka. Kesimpulannya, sejarah sendiri telah membuktikan bahawa kemasukan agama Kristian ke kepulauan melayu ini adalah melalui PENJAJAHAN , tidak seperti meluasnya Islam di daerah sini dengan melalui jalan PERDAGANGAN. Maka ini tertolak hujjah-hujjah dari Kristian yang mengatakan bahawa Islam tersebar dengan pedang, sedangkan yang kita dapat lihat agama kristian lah yang tersebar melalui peperangan dan penjajahan.

Ini berbeza dengan apa yang berlaku dalam zaman Nabi Muhammad S.a.w. Islam bukan semata2 tersebar melalui pedang, tetapi kita lihatlah permulaan dakwah Islam itu hanya dengan cara one to one, dan dengan cara yang amat berhikmah. Tetapi setelah Islam diserang, orang2 Islam diseksa dan dibunuh, barulah Allah perintahkan agar Nabi dan para sahabat bersiap sedia untuk berperang. Tetapi lihatlah, peperangan BUKAN dimulakan oleh Islam, malahan Islam terpaksa berperang kerana diserang terlebih dahulu. Bagi mereka yang mempunyai hati yang jernih dan terang, fikiran yang matang dan akal yang waras dapat menilai sendiri tentang perkara tersebut. Wallahu a’lam


Sambung Bahagian ke2 di sini




0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ