TAWAF DI KAABAH MENGAPA PERLU LAWAN JAM DAN KENAPA 7 KALI?
FALSAFAH DI SEBALIK TAWAF & ISTILAM
Habis cerita tentang Hajarulaswad dalam artikel yang lalu. Sekarang sudah jelas pada anda semua bahawa ia hanya seketul batu yang tiada keramat selain ia satu indikasi kehitaman imej buruk kita selaku orang Islam yang tidak fitrah dengan ketinggian dan kesejahteraan Islamnya.
Ia juga indikasi “batu jemala” isteri yang samaada menjunjung titah suami dan Allah di atas batu jemala mereka ataupun ingin terus nak jadi kepala batu. Inilah bicara satu indikasi ibarat kertas litmus di makmal, yang menampakkan kehadiran dosa atau rahmat Islam pada umatnya di alam ini.
Setelah kita melihat batu hitam itu tercemar dengan dosa. Kita jadikan itu titik mula pencarian hujjah kita. Kita harus mulakan ritual tawaf dari garisan Hajarulaswad itu sendiri bagi mencari punca mengapa batu yang asalnya putih tadi menjadi hitam. Tawaf 7 pusingan melawan arah jam itu satu ritual yang signifikan untuk menyusur dan mengundur masa sebanyak 7 kali pusingan.
MENGAPA PERLU LAWAN JAM? KENAPA 7 KALI?
Kaji semula sejarah ke belakang dari apa yang terjadi. Kaji semula punca kebejatan keluarga dan umat ini. Apakah asas kajian itu sehingga 7 pusingan? Periksa kembali setiap 7 ayat dalam Al-Fatihah (7 yang berulang). 7 ayat itu menjadi satu ikrar harian kita sebanyak 17 kali yang WAJIB dalam setiap solat fardhu yang kita lakukan. Di manakah silapnya? Apakah suruhan yang kita tidak laksanakan? Apakah perlanggaran yang kita lakukan? Sudahkah kita fahami benar benar struktur perlaksanaan setiap ayat dalam fatihah itu? Sila rujuk semula artikel SAINS FATIHAH 1-7 di http://prihatin.net.my/v3/category/sains-fatihah.
Hatta, dalam kejadian manusia dan pembentukan anak, nabi bersabda didiklah anak itu 100 tahun sebelum kelahiran mereka. Hakikatnya, tiada siapa yang setua 100 tahun yang masih subur untuk mengandung dan melahirkan anak. Tetapi 100 tahun sejarah terhampir itulah sebenarnya yang membentuk siapa kita pada hari ini. Sebelum ini kami telah rencanakan tentang itu (sila buat ulangkaji).
APA YANG ADA DI KAABAH YANG KITA HARUS KAJI 7 KELILING ITU
Inilah hakikat kiblat. Kaabah yang di dalamnya ada 3 tiang (sila rujuk sains Haji 3) adalah gambaran tunggak sembahan yang harus dibesarkan. Fatihah sendiri menyedarkan kita akan 3 unsur yang harus diagungkan ini sebagai pentajalian pengagungan kita kepada Allah. Pertama ialah ROB (pengatur) serta RUBUBIAH nya (aturan), kedua ialah MULKIAH(tempat) dan ketiganya UBUDIAH (pengabdi/hamba/pelaku).
Bila kita baca Fatihah, kita harus zikir dan semak sentiasa, sejauh mana kita berjaya menyempurnakan basmalah dan hamdalah kita sebagai pengagungan Rob dan Rububiah Allah. Bila kita baca MAALIKI YAUMIDDIN, kita harus check sejauh mana kita telah meletakkan Allah sebagai RAJA (malik) di MULKIAH (rumah/negara) kita. Apabila kita baca IYYAKA NAKBUD WIYYAKA NASTAIIN, kita harus check sejauhmana kita telah mengabdi kepada Allah? level 10% atau 100%? Ada tidak kemungkinan kecelaruan keluarga dan negara kita akibat kita memperkecilkan Allah, atau anak isteri kita memperkecilkan kita?
‘Habluminallah wahabluminannas”. Check juga semua perlakuan serta hasil dari kerjabuat kita dalam konteks 7 ayat fatihah yang lain. Jika kita belum dapat nikmat Islam seperti orang terdahulu, jika kita asyik saling dimurkai suami, isteri, anak, rakyat, pemimpin maka itu tanda kita sedang dimurkai Allah dan sebenarnya telah SESAT / BINGUNG. Puncanya ialah samada kita belum jumpa jalan yang tepat (SIROOT) atau tidak melaksanakan jalan itu dengan ISTIQOMAH (IHDINASSIROOTOL MUSTAKIM).
Dalam kontek keluarga, ROB ialah suami/ayah/Ibrahim, RUBUBIAH adalah aturan dan polisi keluarga, MULKIAH adalah rumah tangga itu sendiri dan UBUDIAH ialah isirumah. Di sini kita nampak jelas bahawa 3 unsur besar inilah yang menyelamatkan hidup kita di dalam keluarga berstatus syurga Darussalam, BAITI JANNATI. Ini hanya akan berlaku jika kita sanggup benar benar menjadi hamba (ABID) dan berserah diri (MUSLIM) kepada semua aturan Islam yang telah ditetapkan dengan penuh keyakinan dan bertawakkal.
Setelah 7 kali pusingan dilengkapkan lalu kita jumpai sebab musabab mengapakah batu Hajarulaswad itu bertukar menjadi hitam. Kita akan nampak kesilapan diri kita yang lari dari frame ketetapan Allah dalam 7 ayat berulang dalam FATIHAH itu sendiri. Seterusnya, apa nak dibuat?
ISTILAM
Antara tindakan Rasulullah s.a.w. sebaik saja memasukki Kaabah setelah berjaya menawan Mekah ialah membersihkan berhala di dalam Kaabah itu. Istilam ialah indikasi kita meninggalkan semua kesilapan yang telah kita kaji (flying kiss/bye bye). Ucapkan selamat tinggal kepada batu hitam itu dan TINGGALKANnya untuk bersaie pula. Untuk apa pula saie? Itu akan kami kupaskan dalam artikel berikutnya.
Hari ini kita lihat, ramai orang meratapi dinding Kaabah selepas mereka tawaf. Seolah-olah selepas mereka mengetahui punca dosa yang menghitamkan Hajarulaswad itu, mereka meratap dan menyesal TETAPI adakah itu caranya? Kami berikan contoh yang lebih local. Jika hari ini anda dapati anak lelaki anda mengambil pil khayal dan dadah-dadah berbahaya, jangan terus lempang anak itu sampai mati. Pusing semula sejarah hidup keluarga anda dan lihat sendiri dari frame al-fatihah itu apakah kewajipan seorang bapa yang telah anda nafikan? Apakah kewajipan seorang ibu yang telah dihentikan?
Antara sebabnya ialah kerana anda mungkin telah terjebak kepada gejala sembahan HARTA, TAHTA & WANITA. Contohnya anda mungkin terlampau sibuk mengejar harta untuk dibekalkan kepada anak itu. Harta itu juga untuk anda belikan apa sahaja yang anak sukai dengan percaya membabi buta. Anak minta duit beli syabu pun kita tak sedar. Bila kita sedar, ia dah terlambat. Anda juga mungkin sibuk mengejar pangkat, tidak kira suami isteri sibuk berkempen politik dan mengabaikan anak. Anda juga mungkin menyembah wanita dalam pelbagai cara. Ada yang sibuk melayan girlfriend diluar, atau berbini 4 sampai mengabaikan anak isteri terkatung-katung, tidak kurang ada yang takut bini dan berbagai lagi. Setelah anda tahu kesilapan itu, maka BERISTILAM lah. Anda dah nampak puncanya dan tinggalkanlah Kaabah untuk bersaie.
Jelas bukan? Diharap selepas ini, apabila kita mengerjakan umrah dan haji, dah tahulah kiranya apakah signifikan ritual ini.
Selepas ini perlu pula kita kenali apakah itu Saie? Apakah kaitan Saie dengan tawaf? Apakah kaitan Saie dengan ilmu? Jika ditanya oleh anak 4 tahun mengapa perlu bersaie, apakah jawapan kita?
Jika kita jawab, itu sebagai perlambangan kesungguhan Siti Hajar mencari air mungkin anak boleh senyap sekejap untuk berfikir. Nanti ditanya pula, kenapa mencari air itu sampai dijadikan ritual sepanjang zaman?
Tunggu artikel selepas ini nanti, InsyaAllah ada jawapan yang boleh kita beri.
SURAH 15. AL HIJR ;
86. Sesungguhnya Rob mu, Dia Yang Pencipta, Yang Mengetahui.
87. Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang berulang-ulang dan Al Quran yang agung.
SURAH 17. AL ISRAA'(PERJALANAN)
17:13. Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.
17:14. "Bacalah kitab kamu! Cukuplah dengan diri kamu sendiri pada hari ini sebagai penghisab terhadap dirimu."
17:15. Sesiapa yang mendapat petunjuk, dia hanyalah mendapat petunjuk untuk dirinya sendiri, dan sesiapa sesat, dia sesat hanyalah baginya sendiri; orang yang dibebankan tidak memikul beban orang lain. Kami tidak mengazab sehingga Kami membangkitkan seorang utusan.
SURAH 22 AL-HAJJ
22:29. Kemudian hendaklah mereka menghilangkan kecuaian mereka dan hendaklah mereka menepati nazar mereka, dan bertawaf di Rumah Tua.
22:30. Demikianlah, dan sesiapa memuliakan hal-hal Allah yang suci, maka ia yang lebih baik baginya di sisi Pemeliharanya. Dan dihalalkan bagi kamu adalah binatang ternak, kecuali apa yang dibacakan kepada kamu. Dan jauhilah kekotoran berhala-berhala, dan jauhilah ucapan dusta,
0 comments:
Post a Comment