Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



KESAN MENAMPAR MUKA KE ATAS ANAK-ANAK DAN MURID SEKOLAH



Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor


Menampar menurut takrifan Wikipedia adalah membuat pukulan ke bahagian muka dengan tapak tangan ataupun bahagian belakang tangan di mana jari-jari tangan dibuka sepenuhnya. Berbeza dengan perbuatan menumbuk yang menggunakan genggaman tangan.

Selain dari merotan, menampar merupakan salah satu kaedah menghukum yang sering digunakan samada oleh ibu-bapa ataupun mungkin guru-guru di sekolah dan asrama. Mungkin kejadian menampar lebih sering berlaku dan kebanyakannya disembunyikan oleh anak-anak dan murid-murid. Menampar sering menjadi pilihan utama untuk menghukum kerana mudah dilakukan dan mungkin si pelaku merasa lebih puas melepaskan geram ke bahagian kepala dengan niat untuk memberi pengajaran. Niat si pelaku mungkin baik, tetapi adakah menampar ini satu kaedah menghukum yang sesuai dan bertepatan dengan peraturan serta kehendak agama kita?

KESAN FIZIKAL DAN PSIKOLOGIKAL

Saya lebih suka untuk membincangkan apakah kesan menampar ke atas kanak-kanak, kerana bukan sahaja ianya kerap diamalkan tetapi disebabkan oleh potensi kesan samping yang boleh timbul akibat tamparan. Di dalam keadaan ini, si-penampar adalah seorang dewasa yang mampu melepaskan tamparan yang mempunyai kekuatan yang sangat besar terhadap anak yang masih kecil. Selama ini anda mungkin menganggap bahawa menampar itu adalah sesuatu yang tidak serius dan bukanlah satu isu yang besar, malah anda sendiri pun pernah ditampar pada satu ketika dahulu dan ramai dalam kalangan anda yang beranggapan bahawa disebabkan kena penampar inilah, anda pada hari ini lebih baik dan berjaya.

Mengapa tidak ada yang mahu berfikir bahawa jika tidak kerana kena tampar, mungkin anda akan menjadi orang yang lebih baik dari hari ini. Tahukah anda bahawa perbuatan menampar itu boleh memberi kecederaan yang serius terutama ke atas kanak-kanak. Dari sudut perubatan, kita mengetahui bahawa kanak-kanak mempunyai organ-organ yang masih berkembang dan menjalani proses kematangan. Organ-organ ini juga merupakan organ yang rapuh, mudah tercedera dan berpotensi mendatangkan kesan negatif jangkamasa panjang. Organ-organ di bahagian muka seperti mata, telinga, mulut, lidah, saraf tunjang di leher dan juga otak merupakan organ-organ penting yang berpotensi tercedera jika bahagian muka dan kepala dijadikan tempat membuat pukulan atau tamparan.


Kalau kita membaca mengenai kesan kecederaan muka dan kepala terutama ke atas kanak-kanak yang didera, kita akan dapati bahawa kebanyakan kecederaan tersebut adalah disebabkan oleh tindakan menampar ataupun menumbuk di bahagian muka. Orang yang menampar mungkin memakai cincin atau gelang dan kesan yang diakibatkan oleh tangan ini tentu sekali lebih serius. Apabila melakukan tamparan terutama di dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, kita tidak dapat mengawal dan menentukan dengan tepat bahagian muka yang akan terkena tamparan. Ini menyebabkan tamparan bahagian muka kadangkala boleh terkena leher, mata dan telinga.


Tamparan yang dilakukan berulangkali tentu sekali memberi kesan yang lebih serius. Tamparan yang kuat bahagian kepala boleh mencederakan tulang leher ("cervical spine") dan saraf tunjang kerana anjakan kepala yang mendadak dan cepat . Otot-otot leher kanak-kanak belum cukup kuat untuk mempertahankan diri dari pergerakan kepala yang seumpama itu. Anjakan cepat bahagian kepala ini juga boleh menggoncang otak dan ini boleh memecahkan salur darah,mengoyak selaput otak dan boleh berlaku pendarahan di dalam otak. Pada waktu yang sama jika kepala terhentak ke dinding atau apa-apa sahaja benda keras akibat momentum pergerakan kepala semasa ditampar, kecederaan yang berlaku boleh menjadi lebih serius dan mungkin boleh mengancam nyawa.

Tamparan juga boleh mencederakan mata dan telinga. Jika tamparan ditujukan tepat pada cuping telinga dan menutup lubang telinga, maka tekanan kuat akan disalurkan ke dalam rongga telinga dan sampai ke gegendang , gegendang telinga boleh pecah dan ini akan menyebabkan gangguan pendengaran yang mungkin kekal jika rawatan tidak diberikan dan bahagian dalam telinga dijangkiti kuman. Pesakit yang mengalami pecah gegendang telinga perlu menjalani rawatan susulan untuk memantau perkembangan dan pendengaran. (https://www.bcm.edu/healthcare/care-centers/otolaryngology/conditions/tympanic-membrane-perforation) .



Jangkitan dalam telinga dikenali sebagai otitis media akibat gegendang telinga yang pecah dan tidak dirawat dan dipantau. Mangsa boleh kehilangan pendengaran.






Sebenarnya banyak lagi kesan-kesan fizikal akibat tamparan seperti lebam, pecah bibir, lidah, kepatahan gigi dan lain-lain yang tidak perlu saya terangkan dengan terperinci (lihat video di bawah). Apa yang penting adalah menampar bukan sesuatu perbuatan yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi jika ianya digunakan sebagai kaedah untuk menghukum ke atas kanak-kanak. Kesan fizikal yang diakibatkan oleh perbuatan menampar ini mungkin hanya akan dikesan atau dialami beberapa ketika selepas perbuatan itu dilakukan. Di samping kesan fizikal yang dialami oleh kanak-kanak atau pelajar-pelajar yang ditampar ini, kesan psikologi merupakan salah satu akibat yang tidak kurang seriusnya. Menampar dikatakan salah satu kaedah yang boleh menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi jika ianya dilakukan di hadapan khalayak ramai. Kanak-kanak atau pelajar-pelajar yang ditampar akan merasa terhina dan seringkali menaruh perasaan dendam ke atas orang yang menampar. Tidak hairan jika kajian menunjukkan kesan psikologi dan ingatan akibat menerima tamparan ini boleh kekal lama di dalam ingatan seseorang. Tidak hairanlah mengapa kita sering terdengar atau terbaca testimoni ramai orang awam yang masih ingat peristiwa mereka ditampar dan guru yang menampar ketika zaman persekolahan. Jika mereka berjaya pada hari ini, mereka akan kaitkan kejayaan mereka itu dengan peristiwa ditampar ataupun dirotan.

MENAMPAR PADA PANDANGAN ISLAM

Saya menyeru kepada semua pihak samada ibu-bapa dan guru-guru supaya mengelakkan diri dari menggunakan tamparan muka sebagai kaedah menghukum , hatta, apa sahaja bentuk pukulan ke bahagian leher ke atas adalah sangat-sangat ditegah dari aspek perubatan. Malah di dalam Islam, Rasulullah pernah menegah memukul bahagian muka sebagai kaedah mendidik, baginda bersabda maksudnya “Apabila sesorang kamu hendak memukul saudaranya (dengan tujuan dibenarkan syara') hendaklah dia menjauhi dari memukul mukanya (Hadis sahih Bukhari dan Muslim) (rujukan)

Imam Nawawi pula berkata Ini adalah tegahan yang jelas terhadap memukul muka kerana:

1. Muka adalah anggota lembut serta menghimpunkan segala kebaikan.
2. Anggota yang ada padanya sangat bernilai
3. Anggota yang ada padanya ada anggota panca indera seperti mata
4. Pukulan boleh merosakkan anggota penting ini, mengurangkannya, menghodohkannya atau cacat.
5. Kerosakan akibat pukulan di muka tidak boleh disembunyikan kerana ia adalah anggota yang jelas.

Pengarang kitab Subulus Salam iaitu Imam Ash-Shan’ani ada menulis “Pengharaman pukulan dan tamparan di muka ini merangkumi semua keadaaan samaada untuk mendidik atau sebagainya."

KESIMPULAN

Kesimpulannya, apabila kita menghukum terutama ke atas anak-anak atau pelajar-pelajar, maka hukumlah dengan kaedah yang sesuai serta berhikmah dengan tujuan untuk mendidik dan penuh kasih sayang supaya ianya dapat menjadi pengajaran berguna dan bertujuan menjadikan mereka seorang insan yang lebih baik di masa hadapan. Memukul di bahagian muka dan kepala jelas bukan sahaja boleh membawa kemudaratan emosi dan fizikal kepada anak-anak, malah ianya juga dilarang oleh agama kita.

Video-video di bawah menunjukkan bagaimana kesan menampar ke atas orang dewasa. Mangsa boleh pengsan disebabkan gegaran otak ataupun "cerebral concussion" .










Kredit: dribnusina.blogspot.my


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ