Hukum Azan Berduet Di Sisi Ulama Empat Mazhab



Hukum Azan Berduet Di Sisi Ulama Empat Mazhab

Saya telah ditanya mengenai hukum azan berduet seperti yang dilakukan dalam video ini.


Setelah menyemak beberapa kitab-kitab ulama 4 mazhab, saya dapati pandangan yang tepat dan kuat ialah perbuatan ini dilarang. Saya nukilkan pandangan 4 mazhab berkenaan isu ini:

1. Mazhab Hanafi: al-Sarakhsi berkata:
إذا وقع في إقامته فمات أو أغمي عليه فأحب إلي أن يبتدئ الإقامة غيره من أولها لأن عمله قد انقطع بالموت ولا بناء على المنقطع

Maksudnya: Apabila muazzin jatuh ketika iqamahnya lalu mati atau pengsan saya lebih suka orang lain (yang menggantikannya) untuk memulakan semula iqamahnya dari awal kerana amalan muazzin awal telah terputus dengan kematian dan tidak boleh menyambung amalan yang terputus. (Rujuk: al-Mabsuth, jld. 1, hlm. 139)

2. Mazhab Maliki: Ibn Rusyd menyatakan:

لم يجز لمن أذن بعض أذانه أن يستخلف على بقيته...ووجب إذا قطع المؤذن الأذان من أجل رعافه ، أن يستأنف رجل آخر الأذان من أوله ، ولا يبني على أن أذان الراعف

Maksudnya: Tidak dibenarkan bagi muazzin yang azan separuh (kerana berdarah hidungnya secara tiba-tiba) untuk memanggil orang lain menggantikannya (bagi menyambung azannya) yang masih berbaki...dan apabila muazzin memberhentikan azannya kerana berdarah hidung maka wajib ke atas lelaki lain untuk memulakan semula azan (dari awal) dan dia tidak boleh menyambung di mana muazzin tadi berhenti. (Rujuk: al-Bayan wa al-Tahsil, jld. 2, hlm. 127)

- Ini menunjukkan seseorang perlu azan secara sempurna. Jika tidak orang perlu mulakan azan yang baru. Tidak boleh berduet.

3. Mazhab Syafie: Kata Ibn Hajar al-Haitami:

ومنه ما يقع من المؤذنين حال اشتراكهم في الأذان من تقطيع كلمات الأذان بحيث يذكر واحد بعض الكلمات وغيره باقيها وينبغي حرمة ذلك ؛ لأنه تعاط لعبادة فاسدة

Maksudnya: Dan (yang dilarang juga) apa yang berlaku dari beberapa muazzin ketika mereka berduet dalam azan dengan memotong-motong kalimah azan seperti seorang menyebut beberapa perkataan dalam azan dan orang lain menyebut bakinya. Seeloknya diharamkan perkara ini kerana ia bekerjasama dalam ibadah yang rosak. (Rujuk: Tuhfat al-Muhtaj, jld. 1, hlm. 470)

4. Mazhab Hanbali:

وليس للرجل أن يبني على أذان غيره لانها عبادة بدنية فلا تصح من شخصين كالصلاة.

Maksudnya: Tidak boleh bagi seorang lelaki untuk menyambung azan orang lain kerana azan adalah ibadah tubuh badan yang tidak boleh dilakukan oleh dua orang seperti solat. (Rujuk: al-Syarh al-Kabir, jld. 1, hlm. 407)

Pandangan ini juga disokong oleh ulama terkemuka hari ini iaitu:

1. Syeikh Wahbah al-Zuhaili dengan katanya:

فلو أذن مؤذن ببعضه، ثم أتمه غيره لم يصح، كما لايصح إذا تناوبه اثنان بحيث يأتي كل واحد بجملة غير التي يأتي بها الآخر؛ لأن الأذان عبادة بدنية، فلا يصح من شخصين يبني أحدهما على الآخر.

Maksudnya: Jika seorang muazzin melaungkan separuh azan kemudian orang lain menyambungnya sehingga sempurna azan itu tidak sah. Begitu juga tidak sah apabila dua muazzin berganti-ganti dalam azan seperti setiap seorang dari mereka melaungkan sepotong ayat (dari azan) yang tidak dilaungkan oleh muazzin yang seorang lagi (berduet) kerana azan adalah ibadah tubuh badan maka tidak sah dilakukan oleh dua orang yang mana salah seorang menyambung azan orang lain. (Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jld. 1, hlm. 699)

2. Pengarang kitab al-Fiqh ala al-Mazahib al'Arba'ah (Tambahan)

بقي من شرائط الأذان المتفق عليها أن يأتي به شخص واحد فلو أذن مؤذن ببعضه ثم أتمه غيره لم يصح كما لا يصح إذا تناوبه اثنان أو أكثر بحيث يأتي كلواحد بجملة غير التي يأتي بها الآخر وقد يسمي ذلك بعضهم بأذان الجوق أو الأذان السلطاني وهو جهل ومن فعله فقد أبطل سنة الأذان نعم إذا أتى به اثنان أو أكثر بحيث يعيد كل واحد ما نطق به الآخر بدون تحريف وبذلك يؤذن كل واحد منهم أذانا كاملا فإنه يصح وتحصل به سنة الأذان

Maksudnya: Yang masih tinggal dari syarat-syarat azan yang disepakati ialah azan dilaungkan oleh seorang individu. Jika seorang melaungkan separuh azan kemudian orang lain menyempurnakannya tidak sah sepertimana tidak sahnya dua orang atau lebih yang berganti-ganti seperti seorang melaungkan satu ayat (dari azan) yang tidak disebut oleh orang lain. Perbuatan ini dinamakan juga oleh sebahagian orng sebagai azan al-Jauq atau azan sultani. Ia adalah satu kejahilan. Sesiapa yang melakukannya telah membatalkan sunnah azan. Ya jika jika azan dilaungkan oleh dua orang tetapi keduanya mengulangi apa yang disebut oleh muazzin yang seorang lagi tanpa menyeleweng dengan (kata lain) setiap orang dari mereka melaungkan azan dengan sempurna maka ia sah dan melaksanakan sunnah azan. (Rujuk: al-Fiqh ala al-Mazahib al'Arba'ah, jld. 1, hlm. 461)

* Saya menganggap bahawa muazzin ini berniat baik untuk bekerjasama dalam perkara kebaikan tetapi mereka tersilap. Ibadah perlu terikat dengan disiplin. Tidak dinafikan azan mereka merdu cuma cara mereka salah. Harap dapat diperbetulkan selepas ini. Wallahua'lam.

Sumber: http://rozaimiramle.blogspot.my/

0 comments:

Post a Comment

THE GREAT BOMBARD SENJATA CANGGIH KERAJAAN ISLAM



THE GREAT BOMBARD SENJATA CANGGIH KERAJAAN ISLAM

Sejak beribu tahun dulu, manusia sering dikaitkan dengan perang, cuma ia berubah mengikut zaman, khususnya dari segi taktikal, persenjataan, jumlah korban dan puncanya.

The Great Bombard, senjata tercanggih Umat Islam pada abad ke 15. Ditakuti panglima tentera Salib kerana mampu hancurkan kapal perang musuh. Setiap kali berlaku perang tanpa mengira sebabnya, ia sentiasa membabitkan penciptaan senjata baru. Menyingkap sejarah perang Islam, sememangnya diakui tentera Muslimin adalah antara pasukan paling disegani sepanjang sejarah peperangan dunia. Usah dibangkitkan keberaniannya yang tiada tandingan kerana ganjaran mati syahid di medan perang sememang dinantikan tentera Islam. Ditambah pula dengan ketaatan menunaikan solat ketika perang, itu sudah cukup membuatkan musuh sering terpukau dan timbul rasa gerun.

Itulah senjata utama umat Islam ketika menegakkan agama Allah tetapi mereka juga terkenal dengan taktik dan strategi perang serta inovasi persenjataan yang dianggap canggih pada zamannya. Satu daripada penemuan menakjubkan yang membuktikan fakta itu ialah meriam raksasa dari zaman Turki Uthmaniah lebih dikenali dengan nama ‘The Great Bombard’ yang menggunakan ubat bedil seberat 1,600 kilogram sebagai pelurunya. Peluru The Great Bombard seberat 300 hingga 1,600 kilogram. Ilmuwan Islam menemuinya pada abad ke-12 bersama penemuan lain membuktikan perkembangan teknologi ketenteraan Islam pada zaman itu. ‘The Great Bombard’ ialah teknologi paling tersohor, hinggakan mendengar namanya saja membuatkan musuh ketakutan.



The Great Bombard diakui teknologi artileri paling maju dan paling kuat ketika itu yang digunakan oleh Kerajaan Turki Uthmaniah untuk merampas semula Kota Constantinople pada 1453 daripada tangan tentera Salib. Artileri legenda yang sangat berat itu yang juga terkenal dengan nama “The Great Turkish Bombard” dan ketika perang melawan kerajaan Britain pada 1807, ia terkenal dengan nama “Dardanella Gun” kerana perang berlaku di Selat Dardanell.

Bangsa Eropah menggelarnya dengan nama “Muhammad Gun” kerana ia membuatkan jeneral perang dan tenteranya sudah boleh membayangkan bagaimana kapal perang dan kubu pertahanan mereka akan hancur berkecai jika terkena tembakan meriam raksasa itu. Meriam The Great Turkish Bombard digunakan dalam perang oleh kerajaan Turki Uthmaniah. Senjata raksasa itu bukan setakat gah dari segi saiznya, tetapi nama besar yang dilabel memang setaraf dengan kemampuannya, sekali gus membuktikan perancangan membinanya yang dirancang oleh jurutera, Munir Ali pada 1450 memang berhasil. Mempunyai saiz panjang 518 sentimeter (sm) (kaliber 8,2) dan berat 18,6 tan, senjata itu mempunyai dua bahagian iaitu laras dan selongsong di belakangnya.

dengan berat dianggarkan antara 300 hingga 1,600 kilo, manakala bahagian selongsong pula mampu menampung tujuh bola granit raksasa (ubat bedil) atau 15 bola granit ukuran kecil pada satu-satu masa. Disebabkan saiznya yang terlalu besar, meriam itu hanya boleh melepaskan tembakan maksimum 15 kali sehari saja, namun kemampuan jarak tembakannya sangat luar biasa pada ketika itu dengan mencapai jarak 1,760 ela (satu batu atau 1.61 kilometer).

Difahamkan, setiap kali tembakan dilepaskan, ia memerlukan serbuk belerang yang cukup banyak bertujuan memberikan tenaga maksimum untuk meletup dan melepaskan tembakan. The Great Bombard dibuat daripada bahan logam terbaik iaitu campuran tembaga dengan timah putih dan gangsa. Tukang besi yang membina dan menempanya juga dipilih di kalangan yang terbaik pernah hidup pada zaman itu. Apa yang membuatkan meriam itu berbeza daripada meriam lain ialah ukiran seni yang mengandungi unsur kebudayaan Islam pada zaman itu.

Kekuatan dan kemampuan membolehkan ia cukup sesuai untuk diletakkan di mana-mana saja ruang pertahanan, di darat, di pantai atau di atas kapal perang ketika digunakan untuk menyerang kubu musuh atau pertempuran di laut. Kapal perang Turki yang membawa meriam itu cuma terdiri daripada kapal jenis galleon dan monitor, setaraf dengan keupayaannya membawa meriam besar dengan tentera yang ramai. Ketika ‘Pertempuran Dardanella’, meriam itu menenggelamkan enam kapal Sir John Ducksworth kerana keupayaan melepaskan tembakan melepasi selat kecil melalui strategi menyerang jarak jauh.

Pada 1866, Sultan Abdul Aziz memberikan satu daripada ‘The Great Bombard’ yang digunakan dalam Perang Dardanella kepada Ratu Victoria ketika kunjungan hormatnya ke Britain.

Kini, The Great Bombard atau Dardanella Gun itu boleh dilihat di Fort Nelson, Portsmouth, England dan menjadi sebahagian daripada koleksi paling berharga Angkatan Tentera Diraja Britain. Bahkan, pada zaman moden ini, namanya tetap dikenang dan cukup popular di kalangan penggemar permainan video RTS (Real Time Strategy) seperti Age of Empire dan Rise of the Nations. Ini kerana hanya pemain yang berkemampuan tinggi boleh mencapai tahap mampu memiliki senjata artileri paling ampuh pada abad ke 15 hingga 18 itu dan dianggap kejayaan terbesar jika memilikinya, setaraf dengan sejarah agungnya yang sentiasa digeruni lawan.

0 comments:

Post a Comment

SEJARAH AWAL PEMBINAAN KAABAH

[ Sirah ]
Tajuk : Kaabah ketika Nabi Ibrahim alaihi salam tiba di Mekah al Mukarramah.

Setelah runtuhnya binaan kaabah ketika banjir besar zaman Nabi Nuh alahi salam, tinggallah kesan kaabah (seperti timbunan tanah dalam replika dibawah) di tengah - tengah wadi ketika mana Nabi Ibrahim alaihi salam sampai di situ bersama isteri dan anaknya Ismail alahi salam.

Pada ketika itu belum ada seorang pun penghuni di kawasan lembah yang kering kontang itu.

Kabilah kabilah arab mengetahui bhw di atas timbunan tanah itu adalah asas tapak bangunan tempat Allah disembah, tetapi mereka tidak mengetahui bagaimana secara tepatnya bentuk binaan tersebut. Wadi itu kemudiannya dikenali sebagai Wadi Ibrahim.



[ Sirah ]
Tajuk : Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim alahi salam

Nabi Ibrahim alahi salam telah membina kaabah dengan arahan Allah swt.

Bentuk Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim alahi salam adalah seperti replika dbawah.

•Berbentuk segi empat
•Tidak beratap
•Dan mempunyai 2 pintu terbuka di timur dan barat kaabah yang selari dengan tanah (tidak tinggi)

•Nabi Ibrahim alahi salam juga membina atap lebihan di bahagian utara kaabah yg digunakan untuk kambing Nabi Ismail alahi salam berteduh.

Bahagian utara kaabah itulah kawasan yang dikenali sebagai Hijir Ismail sekarang.

Hijir حجر - bermaksud batu
Nama Hijir Ismail ni tiada asal. Bahkan Nabi Ismail tidak mengetahui dan tiada kena mengena dengan hijir ini.

Org arab menamakan hijir kerana dalam bahasa arab :
meletakkan batu sebagai sempadan disebut

*ونحجر* عليه حتى لا يطوف أحد من دونه / لأن قريشا *حجرته* حين قصرت بها النفقة

Kemudian Jibril alahi salam turun membawa hajarul aswad dan Nabi Ibrahim alahi salam meletakkan di tempatnya.




[ Sirah ]
Tajuk : Pembinaan Ka'abah di zaman Quraisy

Orang Quraisy telah nekad untuk memperbaharui pembinaan Ka'abah dan ia berlaku 5 tahun sebelum kenabian.

Mereka telah meletakkan syarat hanya harta/dana yang halal sahaja akan digunakan dalam projek pembinaan dan pembaharuan Ka'abah pada kali ini.

Oleh kerana harta/dana yang halal yang berjaya dikumpulkan tidak mencukupi, maka mereka tidak dapat melengkapkan pembinaan Ka'abah di bahagian utara tersebut. Oleh yang demikian, mereka membuat dinding melengkung yang kecil/rendah sebagai tanda ia sebahagian dari Ka'abah dan supaya orang tawaf di belakangnya. Tempat itulah dikenali sebagai Hijir Ismail sekarang.

Kemudian mereka juga membuat beberapa perubahan antaranya :

• membuat atap
• meninggikan lagi binaan Ka'abah
• membuat saluran air drp kayu di atas atap (hari ini dikenali sebagai pancur emas)
• menutup pintu di sebelah barat
• meninggikan pintu di sebelah timur sehingga mereka dapat memilih sesiapa yang diizinkan masuk atau dihalang masuk.

Nabi صلى الله عليه وسلم telah menyertai proses pembinaan Ka'abah ini dan turut serta dalam proses perletakan Hajarul Aswad.



Ada 4 lagi era perubahan dan pembaharuan Ka'abah :

- zaman Abdullah bin Zubair sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم (merangkap gabenor Mekah pada ketika itu)

- Zaman Hajjaj bin Yusof asSaqofi (orang kanan khalifah / permulaan khilafah Umawiyah)

- Zaman Pemerintahan Uthmaniyyah

- Zaman pemerintahan Keluarga Raja Saud

0 comments:

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ