Misteri Pembunuhan Salbiah Di Bukit Salbiah



Misteri Pembunuhan Wanita Dan Bukit Salbiah

Laluan di Bukit Salbiah yang kekal misteri dan menjadi buah mulut penduduk setempat.



GEORGETOWN - Nama Jalan Bukit Fettes sudah begitu biasa dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Kawasan berbukit yang juga dikenali dengan nama Bukit Salbiah itu juga laluan alternatif menghubungkan Tanjung Tokong ke Batu Ferringhi.

Menurut orang lama di sekitar kawasan berkenaan, Mohd Salleh Yahaya, 60, kisah misteri di kawasan jalan berbukit itu bermula sejak 1980-an lagi.

"Ia dikatakan adanya hubung kait dengan kisah penemuan mayat wanita yang bernama Salbiah.

"Sekitar 1960-an hingga 90-an, jalan di situ masih lagi sunyi kerana tiada pembinaan rumah pangsa dan sebagainya. Jadi orang tempatan memang tidak berani hendak lalu pada waktu malam," katanya.

Difahamkan, jalan itu dikenali sebagai Jalan Kolam Air kerana ada kawasan tadahan yang kini diselenggara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Sehingga kini pelbagai kisah pelik dapat didengar daripada pengguna laluan itu namun tidak dapat disahkan dan ia terus menjadi misteri.

Sementara itu, penduduk Teluk Bahang, Mohd Arif Rosdi, 32 berkata, dia sendiri tidak akan menggunakan jalan tersebut menjelang waktu malam.

Menurutnya, jalan berkenaan begitu jarang digunakan penduduk setempat berikutan masing-masing sudah mengetahui pelbagai kisah yang berlaku di situ.

"Ada satu selekoh kita akan perasan ada sesuatu yang bertenggek atas pokok tapi jika diperhatikan sebenarnya ia hanya tunggul kayu.

"Tidak pasti ada perkara mistik atau tidak, kami hanya ambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Katanya, sekarang keadaan sudah berubah disebabkan orang luar, terutama pelancong ramai menggunakan jalan tersebut.

"Jadi ia sudah agak sibuk pada waktu malam, terutama musim cuti persekolahan dan juga cuti umum.

"Tapi, bagi penduduk di Pulau Pinang, kami tidak akan guna jalan ini menjelang jam 9 malam," katanya.

Misteri Pembunuhan Wanita Dan Bukit Salbiah



Kisah penemuan mayat wanita yang bernama Salbiah


Kes ini cukup menggemparkan negara satu ketika dulu, ia berlaku pada 15 November 1980…ini kerana suspek kes itu adalah pegawai polis sendiri, Inspektor Saderi Abdul Samat yang ketika itu baru berusia 24 tahun.

Fail Jenayah: ’Pendakwaan buktikan tertuduh kaki perempuan...’
Oleh Ismail Mat


PERBICARAAN selama 20 hari di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendedahkan betapa pembunuhan Salbiah dirancang dengan teliti oleh Saderi dalam usahanya melindungi kecurangan kepada tunangnya, Rubiah. Andainya, mayat Salbiah tidak ditemui oleh sesiapa di lurah Jalan Lembah Permai itu, mungkin hari ini Saderi sudah menjadi seorang pegawai polis berkedudukan tinggi dalam kerjayanya. Namun, takdir Allah Maha menentukan segala-galanya. Ibarat pepatah Inggeris yang berbunyi, ‘Crime Doesn’t Pay’. Saderi akhirnya menerima pembalasan yang sewajarnya iaitu hukuman gantung terhadap pembunuhan yang dilakukannya. Sebagai pegawai penyiasat polis, dia sepatutnya membawa penjenayah ke muka pengadilan dan bukan melakukan jenayah.

Mangsa: Pekerja kilang AMD, Salbiah Yeop Abdul Rahman, 27.
Tertuduh: Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor (P) Saderi Abdul Samat, 24.
Pegawai Penyiasat: Inspektor Abdul Rani Abdullah.
Tuduhan: Membunuh Salbiah antara petang 14 November hingga jam 5 pagi pada 15 November 1980 di Mes Pegawai Polis Jalan Scotland. Didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Kesiksaan.
Hukuman: Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Hakim: Pesuruhjaya Kehakiman Mustapha Hussein.
Juri: Tujuh orang termasuk dua wanita.
Pendakwa: Timbalan Pendakwaraya Muhammad Shafee Abdullah.
Pembela : Peguambela K Kumaraendran dibantu S Sithambaram dan Teja Singh.
Saksi: 20 saksi pendakwa, dua saksi pembela.

PERBICARAAN pembunuhan pekerja kilang, Salbiah Yeop Abdul Rahman, 27, yang dilakukan kekasihnya, Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor (Percubaan) Saderi Abdul Samat, berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mustapha Hussein dan tujuh juri di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mulai 8 Jun 1982.


Misteri Pembunuhan Salbiah Di Bukit Salbiah


Dalam hujah pembukaan, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shafee Abdullah, memberitahu mahkamah, pihaknya akan membuktikan Saderi membunuh Salbiah sebelum dia membawa mayat mangsa dan membuangnya di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bunga.

Pendakwa juga yakin dapat membuktikan Saderi membunuh Salbiah dalam bilik tidurnya di Mes Pegawai Polis Jalan Scotland berikutan kesan darah dalam bilik itu dan tertuduh adalah orang terakhir bersama mangsa sebelum pembunuhan berlaku.

Pada perbicaraan itu, Saderi yang juga bekas pelajar Universiti Teknologi Malaysia pada 1977 dan 1978, menghadapi tuduhan membunuh Salbiah antara petang 14 November hingga jam 5 pagi 15 November 1980 di Mes Pegawai Polis Jalan Scotland, mengikut Seksyen 302 Kanun Kesiksaan, yang jika disabitkan membawa hukuman mati.

Ketika perbicaraan di mahkamah tinggi itu, Saderi yang tidak diwakili oleh peguam bela sepanjang perbicaraan awal di Mahkamah Majistret pada April 1981, kali ini diwakili peguam bela K Kumaraendran dibantu S Sithambaram dan Teja Singh, yang dilantik mahkamah bagi membelanya.

Muhammad Shafee berhujah, Saderi yang bakal berkahwin dengan tunangnya, Rubiah Tijan, yang ketika itu berada di Melaka, menyimpan Salbiah sebagai kekasih dan pasangan itu ‘tinggal’ bersama di kediaman pegawai polis terbabit.

“Pendakwaan akan membuktikan tertuduh adalah kaki perempuan yang menggunakan wanita untuk memenuhi kepuasan dirinya sebelum mengabaikan mereka. Saderi terdesak apabila Rubiah mengirimkan telegram menyatakan akan melawatnya,” hujahnya.

Prosiding perbicaraan bermula dengan seorang pembuat roti, Wan Teik Boon, 23, orang pertama menemui mayat Salbiah dipanggil memberi keterangan mengenai penemuan itu sebelum disusuli Pegawai Penyiasat, Inspektor Abdul Rani Abdullah.

Abdul Rani memberitahu mahkamah yang Saderi mula dipanggil untuk ‘temubual’ bagi membantu siasatan mulai jam 11.45 malam pada 24 November 1980 selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai hubungannya dengan Salbiah.

Pihak pembela membantah keterangan yang diberikan Saderi kepada Abdul Rani menyebabkan bicara dalam perbicaraan dijalankan. Kenyataan itu kemudian diterima sebagai keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung.

Hari kedua perbicaraan, Pemangku DSP Mohamad Fauzi Saari, yang bertanggungjawab merakam kenyataan beramaran Saderi dipanggil memberi keterangan. Permohonan pendakwa mengemukakan dokumen itu sebagai bahan bukti tidak dibantah pembela membolehkan ia diterima sebagai keterangan.

Berdasarkan kenyataan beramaran yang mendedahkan hubungan asmara Saderi dengan Salbiah itu, antara kandungannya Saderi berkata, dia terkejut apabila menemui mayat kekasihnya tergantung pada alang di bilik mandi penginapannya kerana tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku.

Menurut Saderi dalam kenyataan beramaran itu, selepas penemuan itu, dia menjadi panik dan tidak tentu arah selama setengah jam kerana bimbang kejadian dalam biliknya itu akan menjejaskan imej pasukan polis jika diketahui oleh masyarakat.

Dia juga bimbang kejadian itu akan diketahui tunangnya dan mengambil keputusan tidak memberitahu sesiapa mengenainya. Saderi turut menyatakan dia menggunakan sebilah gunting untuk memotong tali nylon yang menjerut leher Salbiah untuk menurunkan mayat kekasihnya itu.

Katanya, dia kemudian membawa mayat itu dan diletakkan di tempat duduk penumpang depan kereta yang dipinjam daripada rakannya, Inspektor Che Ibrahim Che Muda, dan memandu ke arah Pantai Jerejak sebelum menukar fikiran menuju Baru Feringgi melalui Green Lane, Jalan Air Tejun dan Tanjung Bungah.

Dia kemudiannya membuat keputusan membuang mangsa di lurah dekat Lembah Permai. Selepas memberhentikan kereta di situ, dia memikul mayat Salbiah turun dan meletakkannya di lurah terbabit. Apabila kembali ke biliknya, dia mendakwa menemui beg tangan Salbiah dan nota tulisan tangan berbunyi “Inilah pengorbanan saya untuk kebahagiaan Saderi” dan satu lagi berbunyi, “Tenangkan hati menghadapi dugaan”.

Tertuduh berkata, dia mengambil beg serta nota itu sebelum membuangnya dalam tong sampah di persimpangan Jalan Scotland dan Jalan York, sebab tidak mahu meninggalkan sebarang bukti mengenai kematian yang berlaku dalam mes polis berkenaan.

Dalam kenyataan itu juga, Saderi menyatakan dia mengejutkan rakannya, Inspektor Shamsuddin, kira-kira jam 4.55 pagi pada 15 November, sebelum kedua-duanya pergi ke Butterworth, menjemput teman wanita masing-masing datang ke mes terbabit.

Katanya, pada awal hubungan dengan Salbiah, dia tidak pergi ke rumah wanita itu di Gelugor, sebaliknya Salbiah menemuinya di Balai Polis Jelutong. Mulai Jun 1980, Saderi berpindah ke Mes Pegawai Polis Jalan Scotland. Dia yang semakin rapat dengan Salbiah, menjemput kekasihnya bermalam sambil melakukan hubungan seks di situ.

Saderi mengakui, walaupun Salbiah mahu dia menjadi suaminya, dia tidak dapat membuat keputusan kerana sudah mempunyai tunang. Menurut Saderi, kira-kira dua bulan sebelum kematian, Salbiah memberitahunya yang dia mengandung dan malu jika keadaan itu diketahui oleh rakan-rakan. Bagaimana pun, menurutnya Salbiah bersetuju menggugurkan kandungannya.

Dia berkata, kira-kira jam 11 malam pada 13 November 1980, Salbiah kelihatan sedih dan muram apabila mendapat tahu mengenai kunjungan Rubiah pada 15 November. Menurut Saderi, Salbiah kemudiannya membuat keputusan untuk pergi ke Ipoh kerana mendapat kerja baru di sana yang bermula 14 November. Saderi mendakwa, itulah kali terakhir dia melihat kekasihnya itu.

Menerusi kenyataan beramaran setebal sembilan muka surat itu juga, Saderi mengakui dia bertunang dengan Rubiah pada 25 Disember 1979 dan dijangka berkahwin dalam tempoh dua tahun. Katanya, dia yang bertugas di Cawangan Narkotik mulai Mei 1980, mengenali Salbiah menerusi Zaini Suparwi yang juga teman wanita Che Ibrahim.

Che Ibrahim yang mengenali Saderi sejak mereka menjalani latihan memasuki polis di Depoh Polis Kuala Lumpur pada 1979, dalam keterangannya di mahkamah itu juga menyatakan Saderi turut mempunyai teman wanita lain ketika mempunyai hubungan dengan Salbiah.

Katanya, dia mengetahui yang selama ini Saderi dan Salbiah mempunyai hubungan yang intim tetapi baru mengetahui mengenai tunang Saderi iaitu Rubiah selepas 17 November.

Segala kenyataan beramaran yang dirakamkan daripada Saderi itu mula menunjukkan pelbagai percanggahan apabila saksi-saksi lain dikemukakan oleh pihak pendakwa.

Abdul Rani dalam keterangannya, berkata pasukan polis tidak menjumpai tali plastik yang didakwa digunakan oleh Salbiah untuk menggantung diri dan dicampak oleh Saderi di sebelah mayatnya. Polis berusaha mencari tali itu dengan kehadiran Saderi menunjukkan lokasinya tetapi tidak ditemani.

Menurut Abdul Rani, Saderi juga membawa polis ke bilik kediamannya untuk menunjukkan lokasi mayat Salbiah dijumpai tergantung. Dia turut menunjukkan sebilah gunting yang digunanya untuk memotong tali yang menjerut leher Salbiah dan beberapa paku yang didakwa mungkin digunakan Salbiah.

Ahli Kimia, Hoong Seng Hong, dalam keterangannya pula menyatakan adalah mustahil untuk tubuh manusia seberat lebih 45 kilogram boleh tergantung pada paku yang patah pada alang dalam bilik air berkenaan.

Katanya, ujian yang dijalankan mendapati paku terbabit patah akibat ketukan biasa dan membengkok dan bukannya akibat menggantungkan objek seberat 45 kilogram.

Menurutnya, ujian yang dilakukan mendapati paku yang diketuk pada alang terbabit tidak berupaya menahan beban dan menjadi bengkok serta merta sebaik diletakkan beban seguni pasir seberat 45 kilogram.

Ujian itu membabitkan penggunaan tiga batang paku sepanjang lima sentimeter setiap satu dengan ketebalan 2.7 milimeter. Kayu pada alang itu juga keras dan memerlukan kekuatan untuk memakunya ketika dia memaku kira-kira dua sentimeter.

Muhammad Shafee bertanya: “Kalau seseorang mendakwa tubuh manusia seberat 45 kilogram atau lebih tergantung pada paku di alang itu, apa reaksi awak terhadap dakwaan itu?. Hoong menjawab: “Daripada ujian yang saya lakukan, ianya tidak boleh berlaku. Ia tidak mungkin.”




Misteri Pembunuhan Wanita Dan Bukit Salbiah



Akhir sekali perbicaraan, Saderi didapati bersalah dan mahkamah berpendapat teori bunuh diri itu hanya helah Saderi untuk mengelak daripada tuduhan membunuh tersebut.

Saderi akhirnya digantung sampai mati pada tahun 1984.

Menariknya kes ini, sampai ke sudah tiada saksi yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan tersebut, tali yang dikatakan menjerut leher Salbiah juga sampai ke sudah tidak ditemui

Mahkamah hanya menjatuhkan hukuman itu berdasarkan circumstantial evidence (bukti situasi) dan keterangan post mortem yang mengatakan Salbiah mati disebabkan “strangulation and not hanging.”

Berbalik kepada Fauzi, beliau mengatakan yang sampai saat akhir pun, Saderi masih tak mengaku membunuh Salbiah, dia tetap mengatakan yang Salbiah sendiri yang membunuh diri!

Itulah sebab sedikit mengenai kes pembunuhan Salbiah ini.


Perbicaraan selama 20 hari di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu mendedahkan betapa pembunuhan Salbiah dirancang dengan teliti oleh Saderi dalam usahanya melindungi kecurangan kepada tunangnya, Rubiah.

Andainya, mayat Salbiah tidak ditemui oleh sesiapa di lurah Jalan Lembah Permai itu, mungkin hari ini Saderi sudah menjadi seorang pegawai polis berkedudukan tinggi dalam kerjayanya.

Namun, takdir Allah Maha menentukan segala-galanya.

Ibarat pepatah Inggeris yang berbunyi, ‘Crime Doesn’t Pay’.



Sumber: SinarHarian





1 comments:

Post a Comment

Konflik Syria Petanda Akhir Zaman




KEMATIAN rakyat Syria mencecah 200,000 orang dalam tempoh lebih dua tahun kebangkitan rakyat ketika pemerintahan Presiden Bashar al-Assad dikatakan lebih dahsyat berbanding kematian yang dicatat di Palestin ketika negara itu ditawan Israel.

Kekejaman itu membuka mata banyak pihak sehinggakan tragedi Syria bermandi darah mendapat perhatian ramai termasuk negara berkuasa besar, Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan akan menyerang Syria berikutan dakwaan penggunaan senjata kimia.



Walaupun AS masih berdolak-dalik dengan serangan itu, pelbagai andaian mula timbul kerana terdapat dakwaan menyatakan Perang Dunia Ketiga akan meletus daripada apa yang sedang berlaku di bumi anbiya itu. Tidak kurang juga yang mengaitkan keadaan itu dengan petanda akhir zaman.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, NURULFATIHA MUAH dan jurufoto, AZMI ARYANTO bersama pendakwah yang juga pengkaji isu Syria, Ustaz Nazmi Karim.

Kejadian yang berlaku di Syria dikatakan antara petanda akhir zaman. Ada atau tidak nas yang boleh dikaitkan dengan andaian itu?

Petanda akhir zaman memang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Baginda berulang dua kali mengatakan bahawa akan berlaku peperangan besar yang apabila peperangan ini terjadi, perkhemahan orang Islam paling ramai adalah di sebuah tempat bernama Ghouta Dimashq yang bermaksud kebun besar yang mengelilingi bandar Damsyik di Syria.

Nabi kata, di kebun besar ini ada sebuah bandar dikatakan namanya Damsyik, sebaik-baik tempat tinggal umat Islam ketika itu. Ini tanda-tanda akhir zaman.

Kalau kita lihat di Syria sekarang ini, kawasan ini jadi tempat paling ramai mujahidin berhimpun. Tempat lain ada ramai juga, tetapi tempat ini yang disebut Rasulullah SAW.

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda; “Tidak akan terjadi hari Kiamat sehingga kaum Rom turun di kota Amaq (Lembah Antioch, Selatan Turki) dan di Dabiq (dekat Aleppo, Syria).

Kemudian datanglah suatu pasukan yang menghadang mereka dari Madinah, yang berasal dari penduduk pilihan bumi. Dan ketika mereka sudah berbaris-baris, maka berkatalah orang Rom, biarkanlah (jangan kalian halang) antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk Islam) untuk kami perangi. Maka kaum Muslimin berkata, Demi ALLAH, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Dan ketika mereka (Al-Mahdi serta para pengikutnya) telah sampai di Syam, keluarlah Dajjal.

Dan ketika mereka sudah bersiap-siap untuk berperang, mereka berbaris dengan rapi. Tiba-tiba, ketika waktu solat sudah masuk, turunlah Nabi Isa Ibn Maryam a.s.” (Riwayat Muslim dari Sayidina Abu Hurairah RA).

Wallahua'lam, berdasarkan hadis itu, jika benar Amerika Syarikat serang Syria, mereka akan masuk kawasan itu iaitu di pesisiran laut. Kalau betullah ia berlaku, maknanya tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (Nato) dan Rom ini akan masuk ikut ke pantai menyerang seluruh Syria.

Nabi kata, ALLAH akan menghantar tentera mujahidin dari bandar Damsyik akan bergerak menuju ke Dabiq dan berlaku peperangan nanti di sana. Jadi kebanyakan peperangan akhir zaman itu akan berlaku belah-belah negara Syria dan Syam.

Nazmi menunjukkan hadis Rasulullah yang menceritakan tentang keistimewaan negara Syam.


Kenapa tumpuan diberikan kepada negara di sebelah Syria?

Mungkin ada beberapa faktor. Dari segi kawasan, ia strategik dan kedudukan geografi Syria menyambung hubungan darat antara Syria dengan Eropah, Afrika dan Asia. Kedua, Nabi Isa AS akan turun di Syria berdasarkan hadis Rasulullah SAW.

Baginda bersabda Nabi Isa AS akan turun di Menara Putih sebelah timur Kota Damsyik. Jika dilihat pada gambarnya, ia bukan menara masjid, tetapi sebuah pasar lama di dalam sebuah kota lama.

Di sini ramai orang Kristian. Mereka juga sudah tahu perkara ini dan bersiap-siap untuk sambut Nabi Isa AS.

Sebab itu bumi Syria jadi tumpuan ramai termasuk orang berfahaman Syiah, Kristian, Yahudi, selain orang Islam sendiri. Turut menjadi tumpuan kerana Imam Mahdi akan menyambut turunnya Nabi Isa AS di Damsyik seperti yang pernah disebut dalam hadis Rasulullah bahawa Nabi Isa akan turun di Menara Putih itu ketika solat Subuh dan disambut oleh Imam Mahdi.

Apa yang berlaku sebelum Imam Mahdi muncul?

Sebelum turun Imam Mahdi, Nabi Muhammad SAW kata, akan berlaku pembunuhan tiga orang anak khalifah yang mana mereka berebut harta karun di Kaabah, Mekah. Saya tidak pasti apa yang direbutkan itu, tetapi ketiga-tiga mereka tidak berjaya. Maka berlakulah fitnah yang besar antara orang Islam sendiri, sehingga muncullah Imam Mahdi.

Imam Mahdi adalah keturunan Nabi Muhammad SAW dan namanya sama seperti nama nabi, Muhammad bin Abdullah. Beliau akan muncul di Makkah apabila fitnah kuat melanda dan dibai’ah antara bucu Kaabah dengan makam Nabi Ibrahim AS. Kemudian. Imam Mahdi akan mengetuai mujahidin bergerak ke Syria. Apabila sampai di Syria, masa itu Dajjal sudah keluar dan memang tujuan utamanya hendak melawan Dajjal. Apabila Nabi Isa AS turun, tugas utama baginda ialah untuk membunuh Dajjal.

Pada masa itu, Dajjal sudah mengelilingi dunia untuk merosakkan orang Islam dan mengkafirkan orang sehingga akhirnya Nabi Isa AS kejar Dajal sampai di satu tempat bernama Bab Luddin di Palestin. Di situlah akan dibunuhnya Dajjal. Dajjal apabila tengok Nabi Isa AS itu, dia jadi cair macam batu garam yang disirami air.

Keadaan yang berlaku di Syria ketika ini, seolah-olah mengikut skrip iaitu hadis Nabi?

Ya, memang betul mengikut skrip. Nabi sebut akan berlaku peperangan besar, sekarang ini berlaku perang di Syria. Ramai orang tak tahu sebabnya. Kebangkitan di Syria berlaku pada Mac 2011. Puncanya sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di sebuah bandar bernama Dar’a.

Kanak-kanak ini conteng dinding sekolah dengan perkataan 'Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam' bermaksud ‘rakyat hendak jatuhkan kerajaan’.

Mereka tulis perkataan itu bukan sebab diajar, tetapi masa itu berlakunya Arab Spring iaitu kebangkitan negara Arab di Tunisia, Yaman dan Mesir. Apabila kebangkitan itu, semua negara ini tulis slogan yang sama iaitu “Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam” ketika berdemonstrasi. Kanak-kanak ini tidak tahu apa-apa.

Polis datang ke sekolah dan mengarahkan sekolah ditutup. Kanak-kanak yang terlibat ditangkap, dipenjarakan dan diseksa. Antara seksaan yang dikenakan ialah dicabut kuku mereka.



Keluarga kanak-kanak ini datang ke balai minta anak-anak mereka dibebaskan, tetapi polis kata: “Lupakan anak engkau dan engkau buat yang lain. Ataupun engkau hantar bini engkau di balai polis, kami akan buat bini engkau mengandung lagi sekali”.

Ayat ini yang saya dengar sendiri daripada orang Syria bercerita ketika kes itu berlaku. Rentetan itu, orang kampung mula keluar berdemonstrasi aman dan itu merupakan kali pertama rakyat Syria buat demonstrasi aman minta anak dibebaskan. Sebelum ini, mereka memang tidak berani lawan kerajaan langsung kerana kerajaan memang amat zalim.

Entah bagaimana, mereka yang berdemonstrasi aman ini pula akhirnya ditembak anggota keselamatan. Ramai yang mati.

Peristiwa ini tersebar ke seluruh Syria. Kebetulan, masa itu di negara Arab yang lain sudah berlaku kebangkitan.

Rakyat Syria memang tidak fikir untuk lawan kerajaan, tetapi mereka hanya hendak kanak-kanak yang ditahan itu dibebaskan. Itu saja.

Apabila sudah jadi begitu, mereka pun tidak tahan, maka muncullah Tentera Pembebasan Syria (FSA) setelah enam bulan rakyat Syria ditangkap, diseksa dan dibunuh. FSA merupakan sukarelawan rakyat Syria yang hendak pertahankan maruah dan akidah mereka. Mereka yang mula pertahankan keluarga sendiri daripada kerajaan pimpinan Bashar al-Assad.

Persengketaan di Syria ada kaitan dengan Syiah - Sunni. Dan sebagaimana penerangan Ustaz tadi, ia juga dikaitkan dengan kemunculan Dajjal. Difahamkan, ada hadis menyebut bahawa Dajjal nanti akan diiringi oleh orang Yahudi dari Isfahan, Iran. Apa maksud hadis itu?

Nabi bersabda, “Dajjal akan diikuti oleh 70,000 orang Yahudi dari kota Isfahan, mereka memakai al-Tayalisah”. ini hadis riwayat Muslim. Al-Tayalisah ialah sejenis selendang yang dipakai orang Iran atau Parsi semasa hendak perang dan sembahyang.

Persoalannya kenapa Nabi kata Dajjal keluar di sebuah bandar di Iran, tidak di Israel atau Amerika, Rusia atau China?

Saya tidak pasti, tetapi jika kita lihat di Iran, ada Syiah di sana. Apabila berlaku kebangkitan rakyat di Syria, negara luar yang mula-mula campur tangan ialah Iran. Masa campur tangan itu, mereka bukan hendak sokong rakyat Syria, tetapi Iran hantar 10,000 tentera dengan penembak hendap.

Pada Mei 2012, saya bersama NGO Muslim Care hantar bantuan kali pertama ke Syria dan kami bertemu dengan seorang ulama Syria di Turki, Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni. Beliau berkata; “Kami dulu menyangka Syiah ini saudara kita, rupa-rupanya mereka adalah sebaliknya.

Bahkan, Syiah ini lebih ‘najis’ dan lebih dilaknat daripada Yahudi. Sebab bilangan orang Islam yang dibunuh di Palestin pun tak sama (masih kurang) banding dengan orang Islam yang dibunuh di Syria”. Di Syria yang mendapat sokongan Syiah Iraq, Iran dan Hizbullah dari Lubnan, lebih 200,000 rakyat Syria sudah dibunuh sejak kebangkitan itu. Berbanding di Palestin, hanya berpuluh ribu sahaja yang terbunuh sejak Israel tawan negara itu.

Melihat kepada perkara ini, kita pelik kenapa Syiah begini dan benarlah Nabi kata Dajal akan keluar dari Isfahan, Iran.

Bashar; Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikatakan berasal daripada keturunan Yahudi Isfahan yang dikaitkan sebagai tempat asal pengikut Dajjal. Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad juga berasal dari tempat itu. Bagaimana Ustaz melihat perkara ini?

Saya kurang pasti, tetapi datuk nenek Bashar memang dari Iran. Jadi hubungannya memang kuat. Satu lagi, di Syria, Bashar berfahaman Syiah Alawi atau Nusairi. Bercerita pasal Syiah, Syiah Alawi atau Nusairi sudah terkeluar daripada Syiah Imamiah yang diamalkan di Iran.

Jadi Syiah yang dipegang oleh Bashar ini, tidak diterima oleh Syiah pun, tetapi kenapa mereka yang menyokong Bashar pada masa ini? Mereka (Iran) kata benci dan tiada kena mengena dengan Syiah Alawi atau Nusairi, tetapi mereka tetap sokong Bashar bunuh rakyat Syria.

Jadi Syiah yang dipegang oleh Bashar ini, tidak diterima oleh Syiah pun, tetapi kenapa mereka yang menyokong Bashar pada masa ini? Mereka (Iran) kata benci dan tiada kena mengena dengan Syiah Alawi atau Nusairi, tetapi mereka tetap sokong Bashar bunuh rakyat Syria.

Ini bermakna, mereka sebenarnya bersatu menentang Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pembebasan Masjidil al-Aqsa di Palestin akan bermula daripada pembebasan Masjid Umawi di Damsyik. Benarkah begitu?

Yang saya dengar daripada ulama Palestin, Syeikh Raed Solah bahawa pembebasan Masjid al-Aqsa pada zaman Sultan Salahuddin al-Ayyubi adalah bersama tentera yang datang dari Syam iaitu Syria.

Insya-ALLAH dikatakan tentera juga dari tempat yang sama akan datang untuk membebaskan Masjid al-Aqsa. Cuma, kali ini bawah pimpinan Imam Mahdi.

Kubur Salahuddin di Syria, betul-betul di tepi Masjid Umawi. Puak Syiah paling benci dengan Salahuddin, antara sebabnya Salahuddin yang menjatuhkan kerajaan Syiah di Mesir, iaitu kerajaan Fatimiyyah.

Ada dakwaan mengatakan, sekiranya Amerika menyerang Syria, maka akan jadi Perang Dunia Ketiga. Apa pandangan ustaz?

Wallahua’lam. Saya rasa memang sudah dekat-dekat, tetapi saya tiada pengalaman dalam sejarah bab perang.

Namun, tidak mustahillah (akan berlaku Perang Dunia Ketiga) kerana melihat contoh apabila Amerika kata hendak serang Syria, sekutu Syria, Russia kata; “Kalau engkau nak serang Syria, aku serang Arab Saudi”.

Arab Saudi pula sekutu Amerika. Sekutu Syria, iaitu Iraq, Iran, Russia dan semua sekutu dengan Russia ialah geng komunis, manakala Eropah dan Amerika pula sekutu dengan Arab Saudi. Jadi bila berlaku peperangan nanti, Wallahua’lam...tak mustahil berlaku.

Apa istimewanya Syria sebagai sebuah negara Syam?

Nabi pernah sebut dalam hadis; “Ya ALLAH, berkatkan pada Syam kami. Ya ALLAH, berkatkan kepada Syam kami. Ya ALLAH, berkatilah negeri Yaman kami”.

Dalam hadis lain; Nabi Muhammad SAW bersabda; “Beruntunglah bagi penduduk Syam. Beruntunglah Syam. Beruntunglah Syam kerana Malaikat ar-Rahman yang sentiasa menghamparkan sayapnya ke atas ahli Syam.” (Riwayat Ahmad).

Nabi sebut lagi; “Sesungguhnya kota (perlindungan) kaum Muslimin ketika berlakunya al-malhamah (perang besar) ialah di suatu lembah subur di sudut kota yang dipanggil Dimasq (Damsyik).

Dan ia adalah sebaik-baik kota di negara Syam”. (Riwayat Abu Daud).

Syam terdiri daripada empat negara iaitu Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan. Para sahabat nabi pun ramai di negara itu. Di Syria, ada lebih 10,000 pusara sahabat Nabi. Antara sahabat Nabi yang meninggal di Syria ialah Bilal bin Rabah, Khalid al-Walid, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin Ummi Maktum dan Abu Darda.

Dari Abdullah bin Hawalah, dari Nabi SAW, baginda bersabda; Pada malam aku diisra’kan, aku melihat tiang-tiang putih seperti permata yang dibawa oleh para malaikat. Aku bertanya: “Apa yang kalian bawa?” Mereka menjawab: “Tiang-tiang al-Kitab.

Tugas kami untuk meletakkannya di Syam.” Dan ketika aku tidur, aku (bermimpi) melihat tiang-tiang al-Kitab muncul dari bawah. Kemudian aku mengira bahwasanya ALLAH yang Maha Perkasa lagi Maha Tinggi menjelma bagi penduduk bumi. Maka penglihatanku mengikutinya.

Ketika itu Dia adalah cahaya yang menerangi hadapanku hingga sampai ke Syam.” Kemudian Ibnu Hawalah berkata: “Wahai Rasulullah, wasiatilah aku!” Baginda bersabda: “Tinggallah di Syam.” (Riwayat at-Tabrani).

Dalam sebuah hadis lain, daripada Ibnu Hawalah, daripada Nabi SAW, baginda bersabda bahawa ada tiga tentera di akhir zaman nanti iaitu tentera Iraq, Yaman dan Syam. Lalu sahabat bertanya; “Pilih yang mana?”. Nabi berkata, hendaklah engkau bersama dengan tentera yang berada di Syam. Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tabrani.

Apa yang berlaku di Syria, ada kaitan dengan tanda-tanda akhir zaman. Apa nasihat Ustaz?

Nasihat saya, jangan kata yang lawan Bashar ini adalah pemberontak, tetapi mereka adalah rakyat yang hendak mempertahankan hak dan akidah mereka.

Banyak media kata rakyat Syria pemberontak. Kita wajib mempertahankan Syria. Isu Syria adalah isu umat Islam sedunia. Kadang kala, kita hanya mengambil berat isu Mesir tetapi kita ketepikan penyembelihan yang setiap hari berlaku di Syria.

Pesanan Ulama Palestin, Syeikh Raed Solah, selagi Damsyik tidak dibebaskan, jangan kamu mimpi Al-Aqsa akan dibebaskan. Bantulah mereka dengan dgn apa yang termampu dan jangan lupa doakan kemenangan untuk Islam.

0 comments:

Post a Comment

Polis Marin Hilang Ditemui Kebingungan Bersama Duit Daun Di dalam Kereta



Polis marin hilang ditemui kebingungan

Johor Bahru - 19 Ogos 2016: Anggota polis marin yang dilaporkan hilang dua hari lalu, ditemui kebingungan di kawasan Sungai Rambai Melaka, semalam, selepas menumpangkan seorang wanita dan anaknya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, Rahim @ Norizam Darisun, 47, dipercayai hilang ketika pulang dari Hospital Putra Batu Pahat ke Muar selepas menghantar isterinya.

"Kira-kira 6.30 pagi, Rahim balik seorang diri dari hospital Putra Batu Pahat ke Muar. Namun, dia tidak ke pejabat atau pulang ke rumahnya selepas itu.

"Pasukan Polis Marin Muar mencarinya dari laluan Batu Pahat ke Muar namun gagal. Telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, mangsa kemudian ditemui dalam keretanya di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Rambai Melaka kira-kira 12.10 tengah hari selepas mengesan isyarat telefonnya.

“Mangsa dikatakan kebingungan dan memberitahu ketika balik dari Hospital Putra Batu Pahat, menumpangkan seorang wanita dan seorang anak.







"Ketika turun dari kenderaan, wanita berkenaan memberi wang kepada mangsa ketika dijumpai, mangsa mendapati duit berkenaan adalah daun," kata Abdul Wahib.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan menerusi kenyataannya, dipercayai kejadian adalah mistik.

0 comments:

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ