Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Gempar!! JAIS Dikecam Kerana Tersilap ‘Tangkap Basah’?



Selepas serbuan kontroversi pengantin perempuan di kuil Hindu, Petaling Jaya bulan lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekali lagi dikecam kali ini kerana menahan empat individu yang didakwa melakukakan kesalahan khalwat.

Mangsa, Hanisha Abdul Rahman, 29, mendakwa ditahan dua penguatkuasa Jais pada 22 Jun lalu bersama pemandu, Muhammad Mukamil Nordin dan dua pekerjanya ketika mereka sedang sibuk berkemas untuk berpindah rumah.

Hanisha yang merupakan pemilik di butik kecantikan berkata, ketika kejadian Mukamil berada di luar rumah dan wanita itu bersama dua kakitangannya juga merupakan teman serumah berada dalam rumah di Salak Tinggi, Selangor.

"Saya terkejut kerana ditahan begitu saja tanpa diberitahu alasan kukuh, mereka datang terus kata yang kami ditahan kerana khalwat," katanya pada sidang media, Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Ibu tunggal itu berkata, dua penguatkuasa Jais berkenaan memberitahu hanya memantau selama 5 minit sebelum mereka datang membuat penahanan.

"Pada mulanya saya tanya berapa lama kamu pantau kami, pegawai Jais itu berkata sudah lama namun apabila saya tanya lagi di balai polis kemudian, mereka kata hanya lima minit," kata Hanisha.

Ini bukan kali pertama Jais dikaitkan dengan insiden serbuan apabila pada 1 Jun lalu jabatan agama itu turut mendapat kritikan orang ramai kerana menyerbu pengantin perempuan Zarinah Abdul Majid kerana kekeliruan status agamanya.

Hanisha berkata, mereka kemudiannya dibawa ke balai polis dan diarahkan datang ke pejabat Jais pada 23 Jun lalu.

"Di Jais kami diarah mengisi borang dan memberi nama penjamin. Kami juga diarahkan membawa wang sebanyak RM3,000 seorang ketika perbicaraan.

"Namun saya membantah, bagaimana mereka boleh minta kami membayar wang sedangkan kami tidak bersalah. Saya dalam rumah ketika itu dan Mukamil di luar," katanya.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili empat mangsa berkenaan berkata, tindakan Jais membuktikan penyalahgunaan kuasa dan anak guamnya tidak diberikan hak membela diri.

Beliau berkata, melalui surat perjanjian dan jaminan tertulis peringatan untuk mangsa membawa wang sebanyak RM3,000 pada tarikh perbicaraan.

"Saya berpendapat Jais menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan Enakmen Jenayah Syariah Selangor .
"Perbuatan Jais ini amat memalukan dan mencemarkan nama Islam kerana kita tidak diajar untuk membuka aib orang, kita sepatutnya melindungi," katanya.

Katanya, dalam Islam tidak wujud istilah khalwat dan ia hanya dicipta bagi menangani isu maksiat di kalangan masyarakat Islam.

"Tidak ada istilah khalwat sebenarnya yang ada hanyalah berzina dan ia memerlukan empat saksi bagi mengesahkan perbuatan itu, langsung tiada elemen khalwat sebenarnya dalam Islam," katanya.

Latheefa berkata, beliau mewakili anak guamnya menuntut Jais membatalkan tuduhan berkenaan dan sekiranya gagal, mangsa akan bertindak memfailkan saman.

Beliau berkata, anak guamnya juga sudah membuat laporan polis agar siasatan dilakukan ke atas dua penguatkuasa Jais itu.

"Laporan polis dibuat pada 30 Jun lalu di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya di mana anak guam saya menuntut siasatan dilakukan ke atas dua penguatkuasa Jais iaitu Alfian Ahmad dan Mohd Zulfadli Mohd Noor yang membuat tangkapan kira-kira jam 12 malam, Ahad lalu.

"Insiden ini melibatkan maruah seseorang yang berlaku di kawasan berdekatan dengan jiran, kita tuntut Jais membuat permohonan maaf dan membatalkan pertuduhan, jika enggan kita akan failkan saman," katanya.
Latheefa turut menggesa Jais merombak semula sistem pelaksanaan jabatan agama itu.

"Saya percaya terdapat banyak lagi kes seperti anak guam saya berlaku namun tidak dibangkitkan, ia sudah berlarutan agak lama.

"Ini merupakan kali pertama mangsa tampil dengan lantang untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa badan agama," katanya.

"Kenapa mereka tidak buat serbuan di hotel mewah? Sekiranya mereka lakukan, kemudian ia boleh diselesaikan kerana kuasa dan wang apabila ada yang terlibat merupakan orang berpengaruh," katanya. – 4 Julai, 2014.


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ