EMPAT PASANGAN DICEKUP CEMAR RAMADHAN DI BILIK HOTEL
ALOR SETAR – Memalukan, apabila seorang penjawat awam berusia 20-an dicekup tidak berbaju dan hanya berselimut bersama seorang wanita di sebuah bilik hotel di Jalan Lencong Barat, di sini, semalam.
Pasangannya yang juga penuntut sebuah universiti awam berusia 22 tahun pula memakai baju dan hanya bertuala ketika diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).
Keduanya memberi alasan ingin berbuka puasa bersama memandangkan sudah lama berkenalan dan sering berjumpa sebelum mendaftar di hotel itu.
Bagaimanapun, masing-masing mengaku tidak memiliki sebarang ikatan sah sebaliknya hanya sebagai kawan.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, pasangan berkenaan antara empat yang ditahan dalam ‘Ops Ramadan’ bermula jam 12 tengah malam hingga jam 4 pagi itu.
“Dua pasangan lagi, masing-masing berusia antara 18 hingga 20 tahun ditahan dalam sebuah bilik sama turut memberikan pelbagai alasan ketika ditahan,” katanya.
Menurutnya, operasi disertai kira-kira 25 anggota penguat kuasa Jaik itu turut disertai Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan, Syeikh Mohd Rasydan A Rahman.
“Dalam serbuan berasingan di sebuah hotel di Jalan Tambang Badak, di sini, seorang lelaki berperwatakan wanita berusia 22 tahun turut ditahan bersama seorang lelaki berusia 24 tahun.
“Mereka dipercayai sudah menginap di hotel berkenaan sejak Khamis lalu,” katanya.
Beliau berkata, Ramadan sepatutnya diisi dengan aktiviti berfaedah, bagaimanapun masih ada yang melakukan perbuatan tidak bermoral sedemikian.
“Mereka sanggup mencemarkan kemuliaan Ramadan dengan melakukan perbuatan sedemikian bersandarkan nafsu semata-mata.
“Ibu bapa dinasihatkan mengawasi anak masing-masing supaya tidak terbabit dalam kegiatan maksiat, terutama ketika Ramadan,” katanya.
Empat pasangan disyaki berkhalwat disiasat di bawah Sekyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.
Manakala, kes lelaki berperwatakan wanita disiasat mengikut Sekyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau setahun penjara.
-Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment