Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



EARTH 2.0 - PENEMUAN PLANET BARU HAMPIR SAMA DENGAN BUMI

Earth 2.0 - Penemuan eksoplanet Kepler-452b yang hampir sama dengan Bumi



 Lakaran artis menggambarkan saiz eksoplanet Kepler-452b, yang mana mempunyai saiz 60% lebih besar daripada Bumi. Credits: NASA/JPL-Caltech/T. Pyle


Ok, ok tajuk ini mungkin ‘menggemparkan’ ramai orang. Sebelum keluar sebarang spekulasi (orang kita ni suka baca tajuk je, isi tak baca!), jom kita hadam dahulu apakah yang telah diumumkan oleh ahli astronomi semalam.

NASA’s Kepler Mission Discovers Bigger, Older Cousin to Earth

Itulah tajuk yang terpampang di laman web NASA, selepas sidang media yang dilakukan lewat pagi tadi , 24 Julai 2015 (waktu Malaysia).

Menurut laporan tersebut, sebuah eksoplanet “bersaiz Bumi” telah ditemui oleh teropong angkasa Kepler. Menarik kali ini ialah,eksoplanet tersebut, yang dikenali dengan nama Kepler-452b, berada di dalam kawasan habitable zone di sekeliling sebuah bintang yang ‘hampir sama macam matahari”.

Habitable zone bermaksud kawasan orbit di kawasan bintang-bintang (termasuk matahari), yang mana suhunya sesuai sehinggalah membolehkan air wujud dalam bentuk cecair di permukaan sesebuah planet/eksoplanet.

Ok stop!!

Apo ko bondo eksoplanet? kan senang sebut planet je?

Eksoplanet (atau exoplanet) ialah istilah yang digunakan untuk membezakan planet yang mengelilingi bintang selain daripada matahari kita. Kalau kita sebut planet, maknanya ia berada di dalam sistem suria kita. Eksoplanet ialah planet di bintang lain di luar sistem suria kita.

Kepler-452b – apa cerita planetnya



Perbandingan saiz Kepler-452b dan Bumi. Sumber asal.


Baiklah, kita tengok dulu ciri-ciri planet Kepler-452b ini dahulu.

Saiz = Ia mempunyai saiz 60% LEBIH BESAR daripada Bumi. Kiranya macam body dia tu gempal sikit la. Selalunya planet sebegini digelar super-earth.

Orbit = Ia mengelilingi bintangnya dalam jangkawaktu 385 hari. Kiranya dah nak dekat macam Bumi kita ni (365 hari).

Jarak dari bintangnya = Hanya 5% lebih jauh berbanding jarak Bumi ke Matahari.

Jisim dan Komposisi = Belum dapat dipastikan. Ia mungkin jenis berbatu, mungkin ada air, mungkin bergas. Teknologi kini masih belum mampu nak kenalpasti komponen ini.

Nampak gayanya, kalau tengok faktor saiz dan orbitnya pun, dah boleh dikira ‘kembar bumi’ dah!


Kepler-452 – apa cerita bintangnya


Perbandingan saiz bintang Kepler-452 dan Matahari. Sumber asal.


Baiklah, sekarang kita lihat bintangnya pula.

Bintang yang dikelilingi oleh planet tersebut, dinamakan Kepler-452 merupakan sebuah bintang yang ‘hampir sama’ macam matahari kita.

Umur = Bintang Kepler-452 ialah 6 bilion tahun (berbanding matahari 4.5 bilion tahun)

Suhu = Suhunya lebih kurang sama seperti matahari

Kecerahan = Bintang ini menyinar 20% lebih terang daripada matahari.

Saiz = Bintang ini 10% LEBIH BESAR daripada matahari.

Nampak gayanya, untuk bintang Kepler-452 ini pun lebih kurang sama seperti matahari.

Menarik ni!

Kemudian, sambil menguyah roti canai teh tarik pagi tadi, saya melungsuri timeline twitter ahli-ahli astronomi dan saintis dan mendapat beberapa respon yang agak menarik seperti di bawah:





Ternyata di sini, walaupun penemuan Kepler-452b dianggap sungguh menarik di atas faktor-faktor yang saya nyatakan sebelum ini, masih banyak lagi persoalan yang belum dapat dijawab.

Berdasarkan tulisan Matthey R. Francis, pada tahun lepas, sebuah lagi eksoplanet, Kepler-186f, mempunyai saiz 11% sahaja lebih besar daripada Bumi, dan dia ni pun mengorbit dalam kawasan Habitable Zone . Maknanya, Kepler-186f ni sebenarnya LEBIH SERUPA dengan Bumi berbanding Kepler-452b.

Cuma masalahnya ialah, Kepler-186f ini mengorbit sebuah bintang kerdil merah (bintang tua nak mati dah), dan pada jarak yang sama (malah lebih dekat ) berbanding Utarid dengan matahari!

Maknanya, WALAUPUN Kepler-186f ini serupa macam bumi dari sudut saiz, namun faktor-faktor lain jauh berbeza dan sungguh asing. Ia mungkin tidak mempunyai atmosfera, ia juga mungkin mempunyai pusingan paksi yang sama masanya dengan pusingan orbit mengelilingi bintangnya, lalu meyebabkan separuh permukaannya selama-lamanya mengadap ke arah bintangnya, sementara separuh lagi selama-lama mengalami malam.

Begitu jugalah kes dengan eksoplanet Kepler-452b ni.

Walaupun saiz, jangka waktu orbit sama seperti bumi, dan berada dalam kawasan Habitable Zone, kita masih tidak tahu apakah yang sebenarnya berada di permukaannya.


Grafik menunjukkan eksoplanet-eksoplanet yang telah ditemui sebelum ini, dibandingkan dengan saiz Bumi.



Menurut Francis lagi, disebabkan eksoplanet ini 1.62 kali LEBIH BESAR daripada Bumi, maka ia mungkin jenis berbatu, dan memiliki tarikan graviti lebih kuat. Ini akan memberi kesan terhadap berapa TEBALNYA atmosferanya, serta jenis LAUTAN (jika ada la) yang ada di permukaannya.

Selain itu, Kepler-452b ini juga mungkin jenis planet bergas. Macam adik-beradik Neptune lah, tapi kecik sikit.. adik bongsu. Kalau bergas, maknanya tiada permukaan keras.

Hakikatnya, kita masih belum tahu kesemuanya!


Habitable Zone


Faktor Habitable Zone juga tidak menjamin sesebuah planet atau eksoplanet itu sama seperti Bumi.

Contoh paling jelas ialah planet Zuhrah kita ini. Ia sebenarnya berada dalam kawasan Habitable Zone di sekeliling matahari dan mempunyai sama saiz dan jisim seperti Bumi.

Namun, kalau kita tengok permukaannya pun langsung tak sama seperti Bumi. Ia planet paling panas, suhunya boleh mencairkan plumbum! Gas di udaranya ialah Karbon Dioksida. 100% dilitupi awan dan di sana hujan asid sulfurik!

Nampakkan? Zuhrah dan Bumi SAMA TAPI TAK SERUPA!

Poning den!

Namun, antara banyak-banyak calon, Kepler-452b inilah antara yang paling sesuai untuk dijadikan menantu atas pelbagai faktor yang dah dibincang tadi.

Perbandingan saiz dan skala sistem bintang Kepler-452, dibandingkan dengan sistem Kepler-186 dan sistem Matahari kita. Credits: NASA/JPL-CalTech/R. Hurt


Fakta Menarik


Data


Walau apa pun, penemuan Kepler-452b ini merupakan langkah penting dalam misi teropong angkasa Kepler. Saya melihat statistik penemuan Kepler hingga ke hari ini (artikel ini ditulis) dan mendapati banyak faktor menarik.

4696 = Jumlah calon objek yang berpotensi ialah sebuah eksoplanet (belum confirm)

1033 = Bilangan eksoplanet yang dah disahkan wujud

300 = Bilangan eksoplanet yang berada dalam kawasan Habitable Zone


Taburan data calon-calon eksoplanet sebanyak 4696 buah kesemua, pertambahnan sebanyak 521 sejak pengumuman penemuan terakhir bulan Jan 2015 lepas Credits: NASA/W. Stenzel


Jarak ke Kepler-452b


Jarak eksoplanet Kepler-452b ialah 1400 Tahun Cahaya daripada Bumi.

Jika terbang pada kelajuan kapal angkasa New Horizons (58,536 km sejam), kita akan sampai ke sana dalam masa 32 juta tahun sahaja.


Kesimpulan.


Misi Kepler merupakan antara kajian terulung di dalam pencarian planet-planet atau eksoplanet di luar sistem suria kita. Walaupun dengan kemamuan teknologi yang terhad, kita masih mampu menemui begitu banyak eksoplanet menggunakan pelbagai kaedah yang kreatif.

Kepler-452b ialah salah satu daripadanya. Ia mungkin tidaklah sekecil seperti Kepler-186f, tetapi disebabkan faktor-faktor lain seperti jarak, saiz dan bintang yang di-orbit-nya, menyebabkan penemuan ini ‘agak menarik’.

Apa yang pasti, kita jangan terus buat andaian bahawa ‘bumi ke-2′ sudah ditemui. Saya khuatir ramai di antara kita ini cepat buat rumusan berdasarkan tajuk-tajuk berita tanpa memahami berita sebenarnya! Masih banyak lagi perkara yang belum pasti mengenai Kepler-452b ini sebelum ia layak digelar demikian.

Jom belajar lagi! Learning is fun!

Hendaklah kamu semua mengusahakan ilmu pengetahuan itu sebelum dilenyapkan. Lenyapnya ilmu pengetahuan ialah dengan matinya orang-orang yang memberikan atau mengajarkannya. Seorang itu tidaklah dilahirkan langsung pandai, jadi ilmu pengetahuan itu pastilah harus dengan belajar. ( Ibnu Mas’ud r.a )

Wallahua’lam

Rujukan:

  • Exoplanets Searching for Earth 2.0
  • A New Planet That’s Almost — But Not Quite — Like Earth
  • NASA’s Kepler Mission Discovers Bigger, Older Cousin to Earth
  • A possible ‘super-earth’ located in the Habitable Zone
  • NASA finds closest Earth Twin Yet in haul of 500 alien planets
  • NASA Unveiling New Exoplanet Discovery from Kepler Telescope Today
  • How Kepler Finds Planets




Sumber: falakonline.net


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ