Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Amalan Menghidupkan Enjin Kereta Beberapa Minit Sebelum Bergerak Adalah Karut



Ramai pengguna kenderaan bermotor yang cenderung membiarkan enjin melahu dalam masa yang lama atas alasan kononnya untuk memastikan enjin cukup panas untuk mula bergerak. Sebenarnya, mitos tersebut terbukti KARUT - enjin pancitan bahan api hanya memerlukan masa selama 30 saat untuk menjadi cukup panas, manakala enjin berkarburetor dengan injap pencekik (choke) manual pula memerlukan 1-2 minit sahaja. Melahu lebih lama daripada itu dan anda hanya sekadar membazir bahan api tanpa sebarang manfaat lain.

Alasan kononnya mahu memastikan minyak enjin sampai ke semua bahagian enjin juga adalah karut kerana minyak enjin sebenarnya hanya memerlukan beberapa saat sahaja untuk sampai ke semua bahagian enjin. Tak percaya, cuba perhatikan berapa saat masa yang diperlukan untuk lampu amaran minyak enjin terpadam selepas enjin dihidupkan.

Di sesetengah negara seperti Hong Kong dan Singapura, melahu enjin terlalu lama merupakan satu kesalahan yang boleh mengakibatkan anda disaman.

Hanya kenderaan yang menggunakan enjin turbo sahaja yang memerlukan masa melahu yang lebih lama untuk memastikan pengecas turbo dilincirkan sepenuhnya sebelum mula bergerak, ataupun bagi memastikan pengecas turbo berhenti berputar sepenuhnya sebelum enjin boleh dimatikan, memandangkan pengecas turbo berputar sehingga 180,000 rpm. Masa melahu yang sesuai bagi kereta berenjin turbo ialah sekitar 5 minit, manakala bagi lori dan bas besar pula ialah sekitar 10-15 minit.

ANDA mungkin ada pengalaman melihat bapa anda panaskan enjin kereta setiap pagi sebelum dia keluar bekerja. Ada yang mengambil masa hingga 10-15 minit, siap masuk ke rumah untuk bersarapan dan baca surat khabar lagi.

Persoalannya, perlukah anda panaskan enjin kereta sebelum bergerak, terutama pada waktu pagi?

Inilah jawapannya…

Bermula era 1990-an dan ke atas, sistem pencucuhan kereta mula digantikan daripada karburetor kepada suntikan bahan api (fuel injection) elektronik, berupa sejenis peranti pintar kecil yang dimuatkan dalam enjin dan berfungsi mengarahkan injektor terbuka lama bagi menyuap lebih banyak bahan api ke dalam enjin ketika cuaca sejuk. Apabila enjin panas pula, injektor akan mengurangkan suapan bahan api. Ini bermakna sistem penggunaan bahan api bagi kereta moden hari ini lebih cekap dan menjimatkan.

Jadi, melainkan enjin kereta anda daripada jenis karburetor (itupun cuma perlu menunggu 1-2 minit), tempoh menunggu paling lama bagi enjin kereta moden ialah 30 saat! Ya, 30 saat sahaja.

Jika anda memanaskan enjin lebih lama daripada tempoh tersebut, anda sebenarnya sedang membazirkan minyak dan masa. Malah, turut mencemarkan alam sekitar dengan pelepasan gas berbahaya, iaitu karbon monoksida. Paling bahaya jika pemanasan dibuat dalam kawasan tertutup.

Kereta moden hari ini juga mula memaparkan indikator suhu berwarna biru pada panel meter. Sesetengah orang menasihatkan anda supaya menunggu sehingga indikator terpadam. Sebenarnya, tindakan itu tidak diperlukan pun. Ia tiada kena mengena dengan prestasi kereta anda sama ada sudah siap sedia untuk bergerak atau belum.

Jadi, boleh terus bergerak begitu saja?

Ya, anda boleh terus bergerak begitu saja. TETAPI, apa yang sepatutnya anda lakukan ialah mengelak memandu melebihi putaran enjin 3,000RPM.


Inilah dinamakan suhu operasi (operating temperature) yang memerlukan anda menunggu hingga indikator suhu (berwarna biru) terpadam. Buat pengetahuan anda, suhu operasi boleh dicapai dalam keadaan kereta bergerak di bawah 3,000RPM tanpa perlu membiarkan enjin dihidupkan lama dalam keadaan statik. Malah, suhu operasi lebih cepat dicapai ketika kereta bergerak.

Analoginya begini, bayangkan anda mahu berlari pecut. Anda boleh saja berlari laju tanpa memanaskan badan, tetapi tindakan itu hanya mendedahkan diri kepada kecederaan. Ini kerana tubuh anda memerlukan suhu operasi untuk bekerja pada tahap optimum.

Anda boleh berdiri setempat dan melakukan gerakan kecil yang tidak relevan (seperti yoga atau berzumba) untuk memanaskan badan, tetapi mengapa buang masa? Anda sebenarnya boleh terus berjoging atau berlari-lari anak untuk segera mencapai tahap suhu operasi.

Samalah juga dengan situasi memanaskan enjin kereta! Ingat, jangan lebih 30 saat dan mula memandu dengan perlahan. Anda bukannya sedang berlumba!

Sumber: pandulaju.com.my


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ