Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Azab seksaan Padang Mahsyar



Foto hiasan

PERJALANAN di alam barzakh pada peringkat awalnya huru-hara kerana kita mengharunginya sendirian, tidak seperti perjalanan di Padang Mahsyar dalam himpunan manusia yang sangat ramai, namun masing-masing bergantung kepada amalan dan keadaannya lebih menggerunkan.

Hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah menjelaskan, Rasulullah SAW menceritakan bagaimana Allah SWT akan mengakhiri alam ini dengan mematikan seluruh makhluk dan manusia tidak terkecuali malaikat termasuk Malaikat Izrail.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani ketika menyambung kuliah lalu dalam slot Mau'izati di IKIMfm menjelaskan Baginda Rasulullah SAW menceritakan ketika Malaikat Izrail mencabut nyawanya sendiri, malaikat itu bertempik dan meraung dengan bunyi yang amat kuat dan menggerunkan. Rasulullah SAW menyatakan, jika ada manusia dan jin yang hidup pada masa itu mendengar kesakitan Malaikat Izrail, mereka juga akan menemui ajal pada waktu itu juga.

Rasulullah SAW turut menceritakan, selepas berakhirnya seluruh kehidupan, Allah SWT akan membentangkan alam ini dan diratakan seperti kulit binatang yang disamak. Tiada lagi tempat yang rendah dan tinggi, tanah menjadi rata, itulah keadaan di Padang Mahsyar nanti.

Jasad dihidupkan kembali

Kemudian Allah SWT mengarahkan semua jasad kembali hidup, lalu bangunlah mereka di Padang Mahsyar bagaikan tumbuhnya sayur-sayuran. Setelah jasad sudah tumbuh dan kembali seperti sedia kala, maka Allah SWT berfirman, "Hiduplah Jibril dan Mikail" dan mengarahkan mereka menghimpunkan roh di suatu tempat. Rasulullah SAW menyebut, roh Muslimin kelihatan berkilauan sedangkan roh bukan Mukmin kelihatan gelap dan akan masuk ke dalam jasad masing-masing.

Selepas itu, roh akan dikumpul dan dilempar ke dalam sangkakala, kemudian Malaikat Israfil diperintahkan meniup tiupan kebangkitan. Maka keluarlah roh itu bagaikan lebah berterbangan memenuhi segenap ruang di antara langit dan bumi termasuklah roh yang ada bermula Nabi Adam sehingga berakhirnya kehidupan di bumi. Roh memasuki jasad melalui hidung dan menjalar ke dalam tubuh badan manusia bagaikan racun daripada sengatan binatang berbisa yang menyerap ke seluruh anggota. Saat dibangkitkan manusia, bumi mula merekah dan menolak jasad naik ke permukaan. Baginda SAW bersabda: "Aku adalah manusia pertama yang keluar di muka bumi ini. Sejurus selepas itu Rasulullah bertanya: Hari apakah ini wahai Jibril? Dijawab Jibril kepada Baginda SAW bahawa hari itu adalah hari pembalasan. Tangkas Baginda menyoal lagi: Di mana umatku wahai Jibril? Rasulullah sayang umat Ini membuktikan betapa sayangnya Baginda SAW kepada umatnya sehingga pada saat itupun Baginda masih lagi mengambil berat keadaan umatnya. Rasulullah SAW menjelaskan, setiap manusia yang bangkit tanpa ditutupi seurat benang dan dikhatankan. Mereka berdiri dalam suasana yang gelap dan hiruk-pikuk selama 70 tahun tanpa dipedulikan oleh sesiapa dan diadili dalam keadaan menangis sehingga kering air mata yang digantikan dengan air mata darah. Masing-masing dibanjiri oleh air peluh sendiri dan berteriak di antara satu sama lain meminta supaya segera diadili kerana tidak lagi sanggup untuk menanggung seksaan.

Mohon syafaat

Kemudian manusia bergerak mencari Nabi Adam dan memohon syafaat daripadanya, namun Baginda menjawab: "Hari ini adalah hari masing-masing, aku juga tidak mampu berbuat demikian." Lalu manusia mula memohon syafaat daripada nabi lain yang ditemui, namun semuanya tidak dapat membantu. Rasulullah SAW bersabda: "Akhirnya umat manusia mencari dan bertemu denganku, lalu aku pergi ke al-Fahsy iaitu suatu tempat di hadapan Arasy Allah SWT dan sujud sambil menangis memohon bantuan Allah supaya mengadili manusia. Selepas itu barulah Allah SWT mula mengadili manusia kerana kasih-Nya kepada Rasulullah SAW.



Sumber http://www.bharian.com.my


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ