Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Memahami Akta 355 Dan Cadangan Pindaannya




Ramai yang bercakap tentang Akta 355 tetapi ramai juga yang bercakap tanpa memahami isu sebenarnya tentang akta tersebut dan cadangan pindaan yang diusulkan di Parlimen oleh TG Hadi Awang, Presiden PAS, pada 26 Mei 2016.

Sebenarnya Akta 355 adalah satu akta yang sangat pendek dan sangat mudah difahami – ianya hanya ada tiga seksyen ringkas. Izinkan saya catatkan sedikit penerangan di bawah ini.

Akta 355 adalah akta untuk memberi bidang kuasa kepada Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah hukum syarak. Pertamanya kita telitikan teks penuh Akta 355.

Tajuk panjang & Mukadimah.

Suatu Akta untuk memberi bidang kuasa kepada Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang – undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah hukum syarak. 1hb April 1965

MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen dan dengan kuasa daripadanya, seperti berikut.

Seksyen 1. Tajuk ringkas dan pemakaian.

(1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.

(2) Akta ini hendaklah terpakai hanya bagi semua Negeri di Semenanjung Malaysia.

Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Seksyen 3. Pengesahan.

Segala kesalahan di bawah hukum Syarak yang sebelum mula berkuatkuasanya Akta ini berhubungan dengan Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia dan yang sebelum mula berkuatkuasanya Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan dan Perluasan) 1989 berhubungan dengan Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak telah dibicarakan oleh mana-mana Mahkamah yang disebut terdahulu hendaklah disifatkan telah dibicarakan dengan sah seolah-olah bidang kuasa yang berkenaan dengannya telah diberi kepada Mahkamah-Mahkamah tersebut oleh undang-undang Persekutuan.

Kenapa Perlunya Dipinda?

Memandangkan pindaan terakhir (1984) dibuat lebih 30 tahun lalu dan kadar hukumannya sudah tidak lagi memberi makna dan tidak lagi digeruni oleh pesalah yang hadapkan ke mahkamah syariah – maka cadangan pindaan ini sudah sampai masanya.

Sebenarnya, hukuman yang ada sekarang adalah pindaan kepada sebelum ini (1965) yang penjaranya hanya 6 bulan dan denda dihadkan kepada RM1,000.00.

Apa Kaitannya Dengan Orang Bukan Islam?

Akta 355 langsung tidak ada kena mengena dengan orang-orang bukan Islam kerana ianya adalah berhubung dengan Mahkamah Syariah. Rujuk Seksyen 2 (di atas):
Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis
mengapa mereka sekat banteras jenayah.





Maka kenapa orang-orang bukan Islam perlu risau tentang cadangan pindaan ini? Mereka sendiri tidak akan dihadapkan atau disabitkan dalam Mahkamah Syariah. Inilah suatu persoalan terhadap sikap mereka yang terlalu sangat mahu bantah.

Apakah Akta 355 Ini Undang-undang Hudud?

Tidak dan juga ya. Namun, cadangan ini bukanlah suatu Rang Undang-undang Hudud.

Kesalahan yang melibatkan hukuman Hudud antaranya adalah berkaitan kesalahan Zina, Qazaf, minum Arak, murtad, mencuri dan merompak.

Jawapan bahawa Akta 355 tidak ada kaitan dengan hudud kerana kesalahan mencuri dan merompak adalah di bawah Mahkamah Sivil bukan dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Jawapan, ya, bahawa Akta 355 ada kaitan dengan hudud kerana selama ini pun sebahagian kesalahan di atas sememangpun sudah ada di bawah Mahkamah Syariah berdasarkan enakmen jenayah Syariah di negeri-negeri. Cuma hukuman yang dikenakan tidak memenuhi kehendak syarak. Maka cadangan pindaan ini ialah untuk tujuan memartabatkan Mahkamah Syariah.

Majoriti Untuk Lulus Pindaan

Kelulusan untuk cadangan pindaan Akta 355 hanya memerlukan majoriti mudah. Jumlah ahli Parlimen sekarang ialah seramai 222, maka majoriti mudah ialah hanya 112 orang.


Sumber: akarimomar.wordpress.com


1 comments:

nice sharing

10 June 2016 at 17:26 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ