Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Kes Culik Remaja Perempuan, Benar Atau Rekaan

Gambar Hiasan



Kes Culik Remaja Perempuan, Benar Atau Rekaan


PANIK, takut dan bimbang. Itu antara perasaan ahli keluarga apabila mengetahui anak perempuan mereka hilang dalam sekelip mata.

Bermulah operasi mencari dan laporan polis dibuat supaya anak perempuan yang baru berusia belasan tahun ditemui dalam keadaan selamat.

Tidak kurang juga, usaha mencari melalui laman sosial dengan berkongsi gambar anak yang dipercayai diculik itu melalui Twitter, Facebook, WhatsApp atau apa sahaja kaedah yang boleh membantu.

Namun, sejauh mana kebenaran dakwaan seorang remaja perempuan itu mengatakan dirinya diculik. Mungkinkah ianya boleh menjadi satu cerita rekaan untuk mencapai keinginan mereka yang dikatakan mangsa ini.

Siti Nur Fatihah Mahadi



Insiden seperti ini bukan yang pertama kali dilaporkan kerana sebelum ini pada tahun 2012, Siti Nur Fatihah Mahadi mendakwa dirinya diculik ketika membeli kad prabayar telefon.

Namun, pelajar berusia 15 tahun itu mengakui telah lari ke rumah teman lelaki kerana mengalami tekanan emosi.

Kita lihat semula kejadian yang pernah mengemparkan negara apabila Nur Amirah Athirah Abdul Majid, 14, mendakwa dirinya diculik menggunakan van putih pada awal Januari lalu.

Nur Amirah


Kes ini mendapat perhatian apabila terdapat rakaman perbualan telefon Nur Amirah dengan kakak angkatnya yang mengambarkan dia diculik dua lelaki India dan dilarikan dengan sebuah van putih.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Nur Amirah berjaya ditemui bersama teman lelakinya berusia 19 tahun di hadapan sebuah stesen minyak di Kanchong Darat, Banting, Selangor.

Akibat menipu, Nur Amirah dihantar ke Tunas Bakti manakala teman lelakinya dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Melaka selama tiga tahun.

Terbaru, Nur Darleen Dazeera Azhar, 15 yang mendakwa dirinya dilarikan dua lelaki menaiki motosikal ketika sedang menunggu van di hadapan rumahnya, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, Selangor, semalam.

Nur Darleen Dazeera


Selepas tujuh jam dilarikan, pelajar tingkatan 3, Sekolah Menengah Bandar Tun Hussein Onn ini ditemui orang awam dan dihantar pulang dalam keadaan selamat.

Satu perkara yang dikesalkan apabila siasatan polis mendapati kejadian tersebut sengaja dirancang kerana ada pelbagai elemen yang mencurigakan.

Difahamkan, Nur Darleen mengenali suspek yang berusia 20-an dan seorang lagi rakannya. Namun, semuanya masih dalam siasatan selepas polis mengenal pasti seorang daripada dua suspek yang terbabit.

Daripada kedua-dua kes ini, dapat dilihat penglibatan individu yang dikenali mangsa. Adakah mereka ini perlukan perhatian atau kurang kasih sayang?

Kejadian seperti ini memberi kesan bukan sahaja kepada penjaga tetapi juga rakyat negara ini yang prihatin dengan insiden membabitkan pelajar sekolah terutamanya perempuan.

Rakyat negara ini pernah ‘ditipu’ dengan kes penculikan Nur Amirah dan sudah tentu tidak mahu kejadian tersebut berulang lagi dalam tempoh yang singkat ini.

Dimana silapnya hingga terjadi kejadian seperti ini? Mungkin penjaga perlu memainkan peranan yang lebih teliti selain disokong masyarakat setempat supaya insiden ‘diculik’ ini tidak berlaku lagi. – MYNEWSHUB.CC


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ