KENALI BAHAN RAMUAN HALAL ATAU TIDAK DALAM PRODUK KEK

RAMUAN HALAL DALAM KEK



INFO HALAL SEMASA


INFO UMUM ANTARA BAHAN RAMUAN KRITIKAL HALAL DALAM PRODUK KEK

ADA APA DENGAN KEK?

Apabila melihat roti dan kek yang gebu dan berkilat, ditambah dengan bau yang menyelerakan,
pantas tangan kita membelinya dan segera ingin menjamahnya.

Tahukah anda bahawa terdapat bahan ramuan kritikal yang digunakan bagi membantu keenakan roti dan kek tersebut?

Bahan ramuan tambahan ini menjadi kritikal dalam penentuan status halal kerana ia boleh diperolehi daripada sumber yang tidak halal atau diragui status halalnya.

RAMUAN HALAL DALAM KEK


Antaranya seperti:

1. Keju (cheese) & serbuk wei (whey protein):-

Keju merupakan bahan ramuan yang dihasilkan daripada susu. Dalam penghasilan keju, terdapat penggunaan sejenis enzim yang lazim digunakan dan dikenali sebagai rennet.

Enzim rennet boleh diperolehi dari lapisan perut anak lembu atau babi.

Selain itu, terdapat juga rennet daripada sumber tumbuhan dan sintesis mikroorganisma.

Serbuk wei pula adalah hasil sampingan daripada penghasilan keju. Dengan sifat-sifat mengikat air ia berfungsi menambah tekstur dan membantu memperlahankan kadar untuk produk menjadi basi.

Serbuk wei yang terhasil dari pembuatan keju yang menggunakan enzim rennet perlu dinilai dan diketahui status halalnya.

2. L-Cysteine:-

Merupakan sejenis asid amino tidak perlu (non-essential amino acid) dan merupakan bahan asas protein. Ia banyak digunakan untuk melembutkan roti dan kek dengan mengurangkan masa mengadun doh dan menjadikan doh tidak mudah melekat.

Sumber L-Cysteine boleh diperolehi daripada bulu haiwan terutamanya itik, tanduk lembu, hasil sampingan petroleum dan bahan sintetik.

Namun, kita perlu berhati-hati kerana pernah digemparkan dengan sumber L-Cysteine daripada rambut manusia. Sumber rambut manusia jauh lebih murah dan dikatakan mengandungi lapan peratus (8%) asid amino semula jadi cystein.

3. Gliserin/Gliserol:-

Gliserin (e) atau Gliserol boleh diperolehi sama ada sintetik, atau diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan (biasanya kacang soya) atau haiwan (biasanya lemak).

Ia juga boleh terdiri daripada campuran kedua-dua haiwan dan sayur-sayuran. Gliserin selalunya ditambah dalam ramuan ‘topping’ kek untuk mencegah aising dari menjadi keras.

Gliserin ditambah kepada resipi kek supaya kelembapan adunan bertahan lebih lama. Ia juga boleh bertindak sebagai pelembap, pelarut dan pemanis.

4. Arak / Minuman keras:-

Ianya ditambah ke dalam resipi adunan kek sebagai bahan perisa. Kajian USDA 2003 menunjukkan bahawa 5 hingga 85 peratus alkohol akan kekal dalam resipi bergantung kepada masa memasak.

5. Cake Flour Improver:-

Adalah bahan tambahan makanan yang digabungkan dengan tepung untuk meningkatkan fungsi adunan kek. Ia menjadikan doh lebih lembut dan cepat mengembang serta menghasilkan tekstur kek yang lebih sedap, halus dan lembut.

Ia boleh terdiri daripada pelbagai gabungan bahan pengemulsi (emulsifier) dan penstabil (stabilizer) termasuk monogliserida, digliserida dan gliserol yang cenderung diperolehi daripada sumber lemak haiwan.

6. Gelatin:-

Sumber gelatin dari kulit, tendon, ligamen, dan / atau tulang diperolehi daripada biasanya lembu atau babi.

Jika dari lembu, maka kaedah dan prosedur penyembelihannya perlulah bertepatan dengan hukum syarak bagi memastikan segala sumber yang bermanfaat dari lembu tersebut adalah halal.

Gelatin selalu digunakan sebagai penstabil (stabilizer) dan memberi tekstur kenyal (gelling and thickening agent).

Gelatin juga berfungsi sebagai bahan pengisi, pengemulsi (emulsifier), agen pengikat supaya adunan kek tidak lembik dan memperbaiki lagi tekstur dan kelembapan (moist) dalam produk.

Selain itu, gelatin turut biasa digunakan dalam ramuan untuk membuat hiasan bunga dan dekorasi kek yang lain.

Untuk pengetahuan anda juga, gelatin menjadi antara ramuan utama bagi produk “Mirror Glaze (Shiny) Cake” yang sedang ‘trending’ di pasaran masa kini.

Tahukah anda?

PENSIJILAN HALAL di Malaysia adalah bersifat SUKARELA.

Walau bagaimanapun, pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia adalah tertakluk dengan standard, peraturan berkaitan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Hal ini penting bagi memastikan produk yang memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia bukan sahaja di jamin HALAL malahan ianya Toyyiban iaitu suci, bersih, berkualiti dan selamat dimakan atau digunakan.

Jadilah pengguna yang bijak dengan meneliti bahan-bahan ramuan yang digunakan pada label bungkusan produk dan utamakanlah produk yang mempunyai Logo Halal Malaysia atau Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

Sumber FB Jakim

#YakiniHalalMalaysia
#SemakSebelumSebar


0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ