Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Sebab utama PENIAGA takut dengan GST



Siapa kata hanya pengguna terbeban dengan GST?’

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan pengguna sebaliknya akan menjadikan sistem percukaian negara lebih adil kepada pengguna.

Menurut Ahli Jawatankuasa Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr. Asan Ali Golam Hassan, ini kerana kerajaan akan dapat memantau margin keuntungan peniaga yang sebelum ini sukar dilakukan menerusi sistem percukaian semasa.

Beliau berkata, menerusi GST, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) boleh membuat pemantauan di setiap peringkat – pengilang, pemborong, peruncit hingga ke pengguna.

“Pada masa akan datang, semua peniaga yang mendaftar GST perlu menghantar invois ke Jabatan Kastam setiap bulan. Apa yang kita boleh buat? Kita boleh nilai, kita boleh tahu, kita boleh kira harga input dia berapa, harga output dia berapa.

“Dari mana dia beli input juga kita tahu. Kemana dia jual output juga kita tahu. Bila kita tahu harga input dan output, kita boleh mengira margin keuntungan.

“Jadi pada masa akan datang, kerajaan boleh mengawal margin keuntungan yang sekarang ini sukar untuk dibuat dalam sistem cukai sekarang ini,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Dr. Asan Ali berkata demikian ketika mengulas mengenai isu pelaksanaan GST yang dikatakan bakal membebankan pengguna.

Dalam pada itu katanya, pemantauan boleh dilaksanakan menerusi pengumpulan data oleh kerajaan yang perlu dihantar peniaga setiap bulan.

Tegasnya, ia berbeza dengan sistem cukai yang digunapakai sekarang, iaitu pemantauan hanya di peringkat pengilang yang mengenakan cukai barangan.

Katanya lagi, menerusi GST, peniaga perlu memikirkan jumlah cukai korporat yang perlu dibayar jika ingin menaikkan margin keuntungan sesuka hati.

Ia kerana, selain JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga akan memainkan peranan penting bagi memastikan setiap peniaga menjelaskan cukai korporat setiap tahun.

“Apa yang kita nampak pada masa akan datang, dua (LHDN dan JKDM) entiti ini mungkin akan bergabung menjadi satu dalam jangka masa panjang.

“Jadi apa faedahnya? Faedahnya ialah jika peniaga menaikkan margin keuntungan, bukan susah nak kesan untuk peniaga berdaftar naikkan margin keuntungan sebab setiap bulan dia hantar invois.

“Jika dia (peniaga) naikkan margin keuntungan, hujung tahun Lembaga Hasil akan boleh mengira berapa banyak cukai korporat yang dia perlu bayar,” jelasnya.

Tegasnya, peniaga perlu membayar lebih banyak cukai korporat seandainya mereka menaikkan margin keuntungan.

“Itu yang akan berlaku pada masa yang akan datang,” ujarnya.

Katanya, pelaksanaan GST adalah adil kepada semua pihak yang terlibat termasuk pengguna yang selama ini menanggung cukai barangan.

“Sekarang ini pekerja perlu membayar cukai pendapatan. Pengguna bayar cukai barangan, tetapi peniaga, bagaimana? Dalam sistem akan datang, GST adil kepada semua.”

“Peniaga perlu patuh dan bayar cukai korporat,” jelasnya.

Sebelum ini Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan, kerajaan tidak akan menangguhkan pelaksanaan GST yang akan berkuatkuasa mulai 1 April depan seperti yang telah diluluskan di Parlimen.

Ia berkata, pelaksanaan GST dilihat sebagai satu langkah konsolidasi fiskan yang amat penting untuk memastikan kemapanan ekonomi negara dan sebarang penangguhan pelaksanaan GST akan memberi impak negatif ke atas penarafan kredit Malaysia.- sumber Astro Awani


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ