Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



KDN Gesa Rakyat Malaysia Guna MyKad Dengan Ciri Keselamatan Terkini

KDN Gesa Rakyat Malaysia Guna MyKad Dengan Ciri Keselamatan Terkini




KUALA LUMPUR: Seramai 27 juta rakyat Malaysia digesa menggunakan MyKad baharu, yang memiliki dan dilengkapi ciri-ciri keselamatan terkini, untuk mengelakkan pemalsuan MyKad oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ciri keselamatan yang ada pada MyKad baharu itu telah dipertingkat untuk menyemak maklumat data seseorang individu itu.

Justeru itu, beliau berkata sindiket kad pengenalan palsu boleh dibanteras dengan lebih berkesan.

“Dalam perkara ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat ciri keselamatan kad pengenalan yang ada (yang baharu, ada dua gambar) sekarang ini boleh dikesan dengan pengimbas dengan segera tanpa perlu ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyemak maklumat data berkenaan.

“Ianya boleh disemak melalui pembacaan dari segi ‘bar code’. Dalam tempoh sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10, saya syorkan seluruh penduduk Malaysia memegang MyKad yang baharu ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Inovasi KDN 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, Selasa.

Pada Januari tahun lepas, JPN mengeluarkan MyKad baharu yang diperbuat daripada bahan polikarbonat dan menggunakan cip baharu yang lebih berdaya tahan, selain mempunyai “ghost image” yang menggunakan teknologi turisan laser pada permukaan kad bagi mengelakkan pemalsuan.

Ahmad Zahid juga berkata penguatkuasaan akan ditingkatkan membabitkan JPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan (Rela) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menangani isu pemalsuan kad pengenalan.

Ketika berucap pada majlis itu, Menteri itu berkata sambutan Hari Inovasi merupakan platform untuk mengiktiraf dan menghargai usaha jabatan, agensi dan bahagian yang berjaya menghasilkan produk inovasi yang dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk rakyat dan negara.

“Kita harus menyedari bahawa inovasi kini bukan hanya sekadar kunci kejayaan sesebuah organisasi malah mampu memberi satu titik permulaan, satu anjakan paradigma kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negara lantas mengukuhkan kedudukan negara tersebut di dalam ranking daya saing global.

“Tumpuan utama hendaklah diberikan kepada galakan inovasi secara berterusan bagi meningkatkan budaya inovasi dalam perkhidmatan awam. Pembudayaan inovasi inilah menjadi teras utama dalam melonjakkan transformasi Kementerian,” katanya.

Antara projek inovasi diperkenalkan di peringkat jabatan dan agensi yang memberi impak dan bermanfaat kepada perkhidmatan KDN ialah penjimatan penggunaan bahan api bagi kenderaan oleh PDRM, ‘Email Prisoner Letter’ oleh Jabatan Penjara dan MyKad Express oleh JPN.

Majlis itu julung kali diadakan di luar KDN iaitu di UPM, bertemakan ‘Inovasi Teras Transformasi 1KDN’ yang bermaksud seluruh warga KDN perlu bergerak seiring dalam menghasilkan ciptaan inovasi berimpak tinggi demi merealisasikan visi dan misi yang digagaskan bersama. – BERNAMA


6 comments:

Memang patut pun sebab sekarang ni mcm2 blh berlaku. Jual mykadlah... Mykad hilang, org lain dptla... Bahaya tu.

27 November 2013 at 13:53 comment-delete

Iye -____- Betul. Tapi yg paling qila benci kalau kawan guna ic and check result plkn lah, ni lah tu lah. haih.

27 November 2013 at 14:56 comment-delete

Saya belum tukar lagi. Lepas ni bolehlah tukar, lagipun Mykad saya tu dah uzur benar.

27 November 2013 at 15:17 comment-delete

Ida pun tak tukar lagi...asyik sibuk jer kesuntukkan masa

27 November 2013 at 18:38 comment-delete

Ops macam tu pulak

27 November 2013 at 18:42 comment-delete

Yeay. Baru je ditukar beberapa bulan lepas. :)

28 November 2013 at 14:15 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ