Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Komandan Polis Wanita Pertama

Komandan Polis Wanita Pertama


KUALA LUMPUR 16 Jan. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melakar sejarah apabila buat pertama kalinya seorang wanita dilantik sebagai Komandan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini, selepas 110 tahun institusi itu ditubuhkan.

Beliau ialah Senior Asisten Komisioner (SAC) Nahariah Hussein, 57, yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah D1 (Pentadbiran), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau menggantikan SAC Zulkifli Mohamad yang kini menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah (Perkhidmatan) Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Pelantikan Nahariah sebagai Komandan Pulapol yang ke-42 disaksikan Timbalan Pengarah (1) Jabatan Logistik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Zubaidah Md. Ismail dalam majlis yang diadakan di Dewan Pengaman Pulapol.

Nahariah yang ditemui berterima kasih kepada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui jawatan penting itu.

“Kepercayaan ini merupakan pengiktirafan kepada pegawai polis wanita kerana dapat bersama-sama seiring dengan pegawai lelaki untuk menjadi pegawai memerintah," katanya.

Beliau yang telah menyertai PDRM selama 38 tahun melihat tanggungjawab itu sebagai amat mencabar dan memerlukan tahap kepimpinan yang tinggi bagi memastikan anggota dan pegawai yang akan dihasilkan berkualiti, mempunyai integriti dan berdaya saing.

“Saya berharap akan mendapat kerjasama semua pihak bagi menjayakan penambahbaikan modul program latihan yang akan dijalankan kelak," katanya.

PDRM kini mempunyai kira-kira 11,663 anggota dan pegawai wanita. - Utusan





0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ