Bade Berhak Cari Kebahagiaan Untuk Dirinya




KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Erma Fatima, berharap perkahwinan kedua suaminya, Badaruddin Azmi atau Bade, dengan wanita dikenali sebagai Aida Abdul tidak dijadikan berita sensasi.

Erma yang dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp ketika berada di Sepanyol untuk penggambaran telefilem, Raya Di Spain Uols, berkata Bade berhak mencari kebahagiaan untuk dirinya sendiri disebabkan beliau terlalu sibuk dengan kerjaya.

“Saya sudah lama merestui jika suami berhasrat bernikah lagi sejak 20 tahun lalu.

“Saya mohon jangan sensasikan isu ini kerana suami juga berhak mendapatkan kebahagiaannya sendiri.

“Saya seorang yang kuat bekerja, sedangkan suami memerlukan isteri yang boleh menjaganya dengan baik. Saya harap tiada siapa yang menyalahkan Bade apabila beliau mengambil keputusan berkahwin lagi. Semuanya berlaku dengan restu,” katanya.

Erma berkata demikian ketika mengulas desas-desus perkahwinan kedua suaminya apabila foto pernikahan Bade tersebar, beberapa hari lalu.

Erma yang mendirikan rumah tangga dengan Bade pada 30 November 1990 pernah mengeluarkan kenyataan beliau sedia memberi restu sekiranya suaminya ingin berkahwin lagi.

Sementara itu, Bade mengesahkan sudah berkahwin buat kali kedua di negara jiran.

Tanpa mendedahkan tarikh sebenar perkahwinan itu berlangsung, beliau dan pasangannya diraikan pada majlis resepsi yang berlangsung di sebuah hotel di Cherating, Pahang, pada 27 Mei lalu, yang turut dihadiri pelakon popular, Datuk Rosyam Nor.

“Saya berterus terang kepada Erma ketika berniat untuk bernikah kali kedua. Saya tidak gentar melakukannya kerana apa yang saya lakukan tidak melanggar hukum syarak.

“Erma tiada masalah, tetapi saya tahu apa yang tersimpan di sudut hatinya. Biarpun memberi keizinan, pasti ada sedikit tersimpan rasa termasuk cemburu,” katanya.

Mengakui masih terlalu awal untuk bercerita mengenai pengalaman hidup berpoligami, sebagai suami Bade berkata dirinya akan sentiasa berusaha memberi kebahagiaan kepada kedua-dua isterinya.

“Cuma saya perlu adil kerana saya masih mempunyai keluarga yang dibina bersama isteri pertama,” katanya.

Mengakui Erma sebagai wanita yang kuat bekerja tetapi Bade menegaskan, pada masa sama beliau tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri. – Berita Harian


Baca juga di sini:

Wajah Isteri Kedua Bade, Suami Erma Fatima



1 comments:

alhamdulillah..payung emas utk erma fatima...

3 June 2014 at 12:38 comment-delete

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ