SAYA TIDAK PERNAH MENIPU – CHONG WEI



Kuala Lumpur – Datuk Lee Chong Wei terkejut selepas menerima surat memaklumkan gagal dalam ujian doping rawak kerana tidak pernah menipu sepanjang aksinya, katanya kepada bekas penulis sukan.

Lee memberitahu kegusaran dan kebimbangannya kepada bekas penulis sukan akhbar Malay Mail Satwant Singh Dhaliwal semasa ujian sampel B dan selepas keputusan tersebut.

“Saya sangat kecewa dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Saya tidak pernah menipu atau cuba menipu. Perkara ini seperti panahan kilat kepada saya, memusnahkan segala usaha keras saya.

“Saya seorang yang berpegang teguh kepada kerja keras dan usaha untuk mencapai kejayaan dan dakwaan sebegitu membuat saya kelu dan tergamam,” katanya kepada Dhaliwal.

Pemain nombor satu dunia itu mengakui sukar menerima keputusan tersebut.

“Lutut saya bergetar dan saya tidak boleh berdiri atau duduk selepas membaca surat memberitahu saya gagal dalam ujian doping.”

Lee melalui ujian doping rawak semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen pada 30 Ogos lalu.

Beliau terbang ke Norway untuk menyaksikan sampel B itu dibuka di Oslo pada 5 November.

Awal hari ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima pengesahan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang mengesahkan kewujudan kandungan dexamethasone.

Bagaimanapun, BAM, memetik peraturan BWF, enggan mendedahkan nama pemain badminton tersebut.

Lee berdepan penggantungan dua tahun jika didapati bersalah oleh panel BWF.

Dalam pada itu, beliau berkata isterinya Wong Mew Choo, yang juga bekas pemain badminton wanita negara menasihatkannyasupaya berehat dengan bercuti di luar negara bagi meredakan fikiran dan biar pihak berkuasa menyelesaikan isu tersebut.

“Menteri Belia dan Sukan mengambil tanggungjawab peribadi sepenuhnya dan saya bersyukur beliau membimbing saya dan menasihati bagaimana menangani isu ini,” kata Lee.

Lee mendedahkan dadah tersebut disuntik ke dalam badannya ada 18 Julai dan tidak mengetahui kesannya akan kekal sehingga Ogos.

“Saya melalui satu daripada ujian dalam pertandingan pada 15 Ogos dan saya bersih. Ia satu misteri mengapa bahan ini masih berada dalam badan saya pada 30 Ogos.

“Saya tidak pernah menipu dan juga bergantung kepada bahan-bahan yang diharamkan,” katanya.

Menurut Lee, segala ubat-ubatan, rekod rawatan dan makanan tambahan yang diambilnya dikawal rapi oleh pihak berkuasa perubatan.

Dhaliwal menulis jika Chong Lee digantung selama enam bulan bermakna pemain badminton negara itu akan kehilangan sebanyak 43,000 daripada 97,000 mata dalam ranking dan akan tergelincir ke kedudukan 15 hingga 18 menjelang Mac 2015.

Beliau juga menulis jika perkara tersebut tidak berpihak kepada Lee, misinya untuk beraksi di Road to Rio dalam usaha meraih emas Olimpik pertama Malaysia hanya tinggal angan-angan.


0 comments:

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ