Singapura Rasa Terancam Dengan Kerja-Kerja Pembangunan Di Selat Johor



PETALING JAYA: Proses menambak tanah bagi pelaksanaan projek mega berdekatan Laluan Kedua Johor mendapat perhatian negara jiran di seberang tambak negeri berkenaan.

Projek yang dinamakan Forest City melibatkan beberapa pulau berdekatan dengan keluasan 2,000 hektar, iaitu lebih besar daripada Pulau Tioman. Pelaksanaan projek ini dikatakan boleh memberi kesan kepada Singapura.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah menulis surat kepada pemimpin negara, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kesan projek berkenaan.

Susulan itu, nota turut dihantar kepada Kementerian Luar antara dua hingga tiga bulan lalu mengenai perkara tersebut.

Satu lagu surat diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar ketika beliau berada di Singapura untuk mesyuarat dua hala, baru-baru ini.

Singapura mula menyuarakan kebimbangannya, selepas The Star pada Mac lalu menyiarkan laporan mengenai projek yang dijalankan oleh Country Garden Holdings Co Ltd China dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor.

Projek ini melibatkan penebusgunaan tanah untuk membina rumah mewah di pulau-pulau buatan manusia di Pendas, selatan Johor.

Setakat ini, tidak ada laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) ke atas projek tersebut dikeluarkan. Bagaimanapun, penambakan pada keluasan kurang daripada 50 hektar tidak memerlukan EIA.

Dalam laporan The Star baru-baru ini, Presiden Serantau Country Garden Malaysia, Kayson Yuen berkata, syarikat itu membuat kajian mengenai projek mega ini lebih setahun sebelum membuat keputusan untuk melabur.

Nota pertama dari diplomatik Singapura meminta Malaysia menyediakan semua maklumat relevan, termasuk laporan EIA dan jangkaan siap projek.

Singapura kemudian meminta penjelasan dan penerangan melalui nota kedua berikutan jaminan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini mengatakan kerja penambakan itu tidak akan menjejaskan alam sekitar.

Menteri Besar memberi jaminan bahawa kerajaan negeri telah mengeluarkan notis kepada pemaju, Negara Taman Pacific View Sdn Bhd, untuk menyediakan pelan tindakan jika masalah mendapan berlaku disebabkan oleh kerja penambakan.

Sumber berkata, kebimbangan yang dibangkitkan oleh Singapura perlu diambil serius.

Jelas sumber tersebut, Singapura memilih untuk menimbulkan kebimbangan di peringkat kerajaan walaupun pembangunan tanah terletak di bawah bidang kuasa negeri untuk menunjukkan bahawa republik itu mengambil isu ini dengan serius.

“Ia menjadi isu negara apabila negara merentasi sempadan terlibat.

“Singapura boleh menggunakan semua saluran untuk membangkitkan perkara itu supaya Malaysia memandang serius isu ini,” kata sumber itu.

Terdapat juga kebimbangan bahawa Singapura boleh mengemukakan bantahan kepada Tribunal Undang-Undang Laut Antarabangsa (ITLOS) di Hamburg ke atas projek ini.

Sebelum ini, Malaysia pernah membuat bantahan ke ITLOS pada 2003 apabila Singapura mula melakukan penambakan tanah seluas 5,214 hektar di timur dan barat Selat Johor.

ITLOS kemudian mengarahkan kedua-dua negara untuk menjalankan kajian bersama dan mencadangkan langkah menanganinya dengan melakukan tebatan di Tuas dan Pulau Tekong.

ITLOS juga mengarahkan Singapura supaya tidak menjalankan penambakan yang boleh menyebabkan kerosakan atau kemudaratan kepada persekitaran marin di kawasan ini.


*****




APABILA Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan pada 16 April lalu agar Tambak Johor dirobohkan bagi membolehkan “Jambatan Persahabatan” dibina bagi menghubungkan Malaysia dengan Singapura, beliau bukan orang yang pertama berbuat demikian.


8 tahun yang lalu, pada awal November 2006, Sultan Johor (pada masa itu) telah mengejutkan orang ramai (ketika baginda merasmikan pelancaran Wilayah Pembangunan Iskandar) dengan titahnya “Robohkan juga Tambak Johor… Datuk nenek beta dah kena tipu dengan Mat Salleh..” Titah baginda itu dapat didengar dengan jelas di seluruh negara menerusi siaran langsung yang dipancarkan oleh pelbagai stesyen televisyen tempatan.


Khabarnya titah baginda itu disambut dengan tepukan bergemuruh oleh hadirin di upacara itu. Ia sekaligus membuktikan bahawa bila ada pihak tertentu menyatakan bahawa pembinaan “jembatan bengkok” (crooked bridge) yang dicadangkan oleh Tun Mahathir itu tidak disokong oleh orang Johor, kenyataan itu adalah satu pembohongan yang nyata.


Kembali kepada gesaan Tun Dr Mahathir tadi, sekiranya Jambaan Persahabatan itu dapat dibina nanti, apakah Tambak Johor masih lagi relevan? Mantan Perdana Menteri itu menyatakan bahawa Tambak Johor telah menyebabkan pelbagai masalah, terutamanya melibatkan isu alam sekitar dan kesesakan lalu lintas di Johor bahru.


“Jika kita sudah ada Jambatan baru, apakah kita masih perlukan sebuah tambak? Tambak ini menghalang air mengalir keluar dan ia juga sangat kotor. Ia menyebabkan laut menjadi sangat kotor dan terdapat kesesakan lalu lintas yang teruk di Johor Bahru,” katanya selepas menyampaikan satu syarahan umum di Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar, Perak pada 16 April lalu.


Cerita mengenai cadangan membina “Jambatan Persahabatan” timbul pada 7 April 2014 lalu, bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkannya dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

PROJEK JAMBATAN INDAH


Sewaktu negara ditadbir oleh Tun Dr Mahathir dulu, ada cadangan oleh kerajaan untuk membina Jambatan Indah (scenic bridge) bagi menggantikan Tambak Johor. Malangnya disebabkan projek jambatan itu tidak disetujui oleh Singapura (negara itu enggan meroboh bahagian Tambak Johor di bahagian sempadan negaranya), kerajaan Malaysia terpaksa mengubah rekabentuk jambatan itu menjadi Jambatan Bengkok (crooked bridge).


Kerja-kerja awal (menanam cerucuk jambatan) sempurna pada 10 Mac 2006. Malangnya, atas arahan Tun Abdullah Ahmad Badawi (yang menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003), projek Jambatan Bengkok itu telah dihentikan pada April 12, 2006.


Pada masa itu apabila ada orang bertanya kenapakah projek Jambatan Bengkok itu dibatalkan, antara sebab yang diberi adalah kononnya “orang Johor tak mahu projek jambatan itu diteruskan” – satu jawapan yang bukan sahaja tidak masuk akal, bahkan satu pendustaan kepada orang Johor.


Pada awal Ogos 2013 lalu, ketika bercakap dengan wakil media yang hadir di upacara pelancaran buku "Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia" (disunting oleh Bridget Welsh and James Chin) Tun Abdullah berkata “Sekiranya saya ikut kata Mahathir, Malaysia akan jadi bankrap” (If I listened to Mahathir, Malaysia would be bankrupt). Disebabkan pada masa itu defisit negara terlalu tinggi, dia terpaksa menghentikan beberapa projek mega Tun Mahathir.


TAMBAK JOHOR AKAN KEKAL

Mengikut Datuk Hasni Mohammad, pengerusi jawatankuasa kerja raya negeri Johor, Tambak Johor akan kekal dan tidak akan dirobohkan. Jambatan Persahabatan yang akan dibina itu tidak semestinya satu jambatan tradisi seperti Jambatan Kedua (Second Link) yang ada sekarang, sebaliknya ia mungkin satu terowong bawah laut (underwater tunnel).


Hasni menambah andainya jambatan baru itu dibina berhampiran Tambak Johor, ia akan membatu (complement) peranan Tambak Johor, bukan menggantikannya. “Oleh itu, Tambak Johor tidak akan dirobohkan”, tambahnya.


Pemerhati membuat spekulasi jambatan baru ini akan dibina berhampiran hab minyak dan gas di Pengerang, disebabkan potensi ekonominya yang besar. Ada juga yang mengatakan jambatan ini mungkin dibina untuk menghubungkan Puteri Harbour, yang lokasinya berhampiran dengan Nusajaya, dengan Singapura.


Tambak Johor, yang panjangnya hanyalah 1 kilometer, menghubungkan bandaraya Johor Bahru dengan Woodlands, bukan hanya memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya dan pejalan kaki, tetapi juga kepada keretapi dan paip air (membolehkan Singapura mendapatkan air dari Johor). Dibina pada tahun 1923, ia kini digunakan oleh tidak kurang dari 60,000 kenderaan setiap hari.


Berbeza dengan Jambatan Kedua, yang membolehkan kapal untuk terus berlalu di bawahnya. Kapal dari Pelabuhan Tanjung Pelepas yang ingin menuju ke Pasir Gudang terpaksa belayar keliling Singapura, yang bukan hanya mengambil masa tetapi menelan kos yang bertambah.


Tambak Johor (yang kini berusia hampir 9 dekad) telah sekian lama menyebabkan pencemaran air dan marin menjadi begitu teruk lagi, kerana kewujudannya menghalang air mengalir dari barat (Selat Melaka) ke timur (Laut Cina Selatan). Bila nanti seluruh kawasan pantai dari pusat Bandar Johor Bahru ke Danga Bay terus dibina dan dibangunkan ala Hong Kong, keadaan di sini pastinya menjadi lebih buruk lagi.


2 comments:

mmg betul fakta di atas tu tp sayang Malaysia masih takut utk buat keputusan sendiri kalau ada perkara membabitkan Singapura.sama ada pemimpim tertinggi negara ada 'makan dalam' atau mmg takut dgn Cina Singapura hanya dia saja yang boleh jawab

26 June 2014 at 12:37 comment-delete

ahhh..singapore nie memang insecure jer ngan apa2 yang malaysia buat...hehehe

Regards,
-Strider-

26 June 2014 at 17:05 comment-delete

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ