Nora Danish Kesal Dikecam Warga Johor




Gara-gara mengkritik kelemahan pihak pengurusan Hotel Legoland Resort Malaysia selepas kakak dan rakannya terperangkap dalam lif hotel tersebut selama satu jam, aktres jelita Nora Danish telah menerima kecaman daripada masyarakat di Johor.

Mengakui kesal apabila ada sesetengah orang yang salah faham dengan tindakannya itu, Nora menjelaskan dia tidak berniat untuk menyindir mana-mana pihak.

"Tujuan saya hanyalah untuk memberi pengajaran dan iktibar kepada pihak pengurusan supaya memandang berat isu tersebut kerana ia melibatkan nyawa seseorang.

"Lagipun Legoland merupakan pusat tumpuan pelancong, saya tidak mahu nama Legoland dipandang serong oleh pengunjung terutamanya pelancong luar. Bagaimanapun saya telah memuat naik kenyataan berhubung salah faham tersebut," ujarnya seperti dipetik daripada laporan Kosmo!.

Pada hari minggu lalu, Nora dan keluarga telah berkunjung ke pusat peranginan tersebut selepas dia selesai penggambaran teater "Bahayanya Wanita" di Singapura. Menurut Nora, semuanya berjalan lancer dan memandangkan hari sudah lewat malam, mereka membuat keputusan untuk bermalam di hotel tersebut.

"Setelah kami menempah bilik di tingkat tujuh, saya dan keluarga terus naik untuk meletakkan beg. Saya cuba untuk menghubungi kakak saya memandangkan hari telah lewat malam. Saya ingat mungkin dia bersama rakan saya Zarema berada di kafe di lobi hotel. Namun saya curiga apabila panggilan tidak dijawab dan kami terus bertanya kepada pihak hotel dan mereka berkata, mungkin kakak saya dan Zarema terperangkap dalam lif. Setelah melihat kamera litar tertutup, saya telah memastikan bahawa orang yang terperangkap di dalam lif tersebut merupakan kakak saya dan Zarema," katanya.

Jelas Nora lagi, dia berusaha untuk berhubung dengan beberapa kakitangan hotel tetapi terpaksa menunggu sehingga setengah jam disebabkan beberapa prosedur. Keadaan menjadi tegang selepas tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak pengurusan hotel walaupun sudah setengah jam.

"Keadaan menjadi lebih tegang apabila tiada sebarang tindakan diambil dan melalui rakaman litar tertutup, kakak dan Zarema sudah pun terduduk dan sesuatu yang tidak baik telah berlaku. Kami terpaksa campur tangan sehingga ibu kepada rakan saya telah menelefon bomba. Akhirnya mereka telah diselamatkan oleh pihak bomba, bukannya pihak pengurusan hotel," jelasnya lagi.

Nora turut bertanya lebih lanjut tentang kejadian tersebut dan pihak pengurusan memberitahu perkara tersebut kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

"Menjadi persoalan kepada saya, jika kejadian ini bukan kejadian yang pertama, mengapa pihak pengurusan enggan mengambil langkah untuk membaiki lif tersebut disebabkan ia amat berisiko mengundang maut kepada penggunanya? Saya amat kesal pada ketika itu dan terus mengambil keputusan untuk memuat naik gambar litar tertutup lif di hotel tersebut ke dalam laman social Instagram saya," ujar Nora lagi.

Sementara pihak pengurusan Hotel Legoland Resort Malaysia telah memohon maaf secara peribadi kepada Nora dan keluarganya selepas kejadian tersebut.

Menurut Pengurus Perhubungan Legoland Malaysia, Deviga Doreraja memberitahu, kejadian berlaku disebabkan masalah teknikal yang melibatkan lif terbabit yang dikatakan berhenti berfungsi di antara dua tingkat bangunan hotel itu.


Baca juga di sini:

Kami Telah Memohon Maaf Secara Peribadi Kepada Nora Danish - Hotel Legoland




1 comments:

tegur la elok2 nora..huhu

20 August 2014 at 11:41 comment-delete

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ