Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Sudah Berbulan Dr Mahathir Marah Kepada Najib!!




Kemarahan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah berlaku sejak 4 bulan lalu, kata mereka yang rapat dengannya dengan menambah, hanya menunggu masa sebelum ia akan diluahkan secara terbuka.

Namun apakah ia akan memberikan kesan kepada Najib sebagai presiden Umno atau kemampuannya untuk memerintah negara masih belum jelas, kata mereka, kerana kedudukan Najib terlalu kukuh dalam parti Melayu itu untuk dicabar sesiapa.

Sesetengah ahli politik Umno percaya kata-kata Dr Mahathir masih laku dan mampu mengubah pendirian penyokong dan ahli biasa parti itu.

Tetapi ramai yang bersetuju Najib perlu memberikan respon dengan bijak kepada Dr Mahathir. Kerana apa yang bermula dengan kemarahan kecil boleh bertukar menjadi masalah besar seperti berlaku kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga terpaksa meletakkan jawatan pada 2009.




Penaung bertukar menjadi penentang

Seorang pemimpin Umno Kedah mendakwa, Dr Mahathir sudah tidak berpuas hati dengan Najib sejak 4 bulan lalu.

“Ahli parti yang pergi berjumpa beliau sudah pasti akan mendengar kritikannya terhadap bagaimana Najib mengurus keadaan,” kata pemimpin Kedah itu yang tidak mahu dinamakan.

Sesetengah polisi yang tidak dipersetujui Dr Mahathir, 89 tahun, adalah cara bagaimana Petronas menguruskan sistem vendor mereka.

Menurut pemimpin Umno Kedah itu, Dr Mahathir merungut ramai vendor Melayu dipinggirkan kerana syarikat antarabangsa. Isu vendor Petronas sebelum ini diangkat Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), yang juga seperti Dr Mahathir, berkempen menentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Beliau juga merungut kuasa polis sudah diambil menjadikan mereka kurang efektif melawan penjenayah.”
Dalam tulisan di blognya semalam, Dr Mahathir mengkritik Najib kerana memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang buang daerah.

ISA membenarkan kerajaan menahan sesiapa sahaja termasuk penjenayah disyaki tanpa bicara.
Bagaimanapun pengkritik mengatakan ISA digunakan untuk menahan musuh politik Umno dan Barisan Nasional (BN).

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin mendedahkan Dr Mahathir selalunya akan cuba menyampaikan rungutan kepada Najib tentang ahli perniagaan antarabangsa yang tersekat kerana birokrasi.

“Pada awalnya, Tun akan berusaha berjumpa Najib tentang masalah-masalah ini.

“Tetapi selepas beberapa tahun beliau sedar orang yang beliau ingat akan mendengar nasihatnya rupa-rupanya tidak mendengar,” kata Kadir kepada The Malaysian Insider apabila dihubungi.

Beliau berkata, Dr Mahathir mempunyai harapan tinggi terhadap Najib dan mempertahankannya daripada musuh dalam Umno.

“Najib menjadi pilihan pertamanya (untuk mengambil alih) selepas Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Tetapi beliau memerlukan seseorang yang boleh berdepan dengan PAS.

“Inilah sebabnya mengapa beliau memilih Abdullah,” kata Kadir yang pernah memimpin New Straits Times, surat khabar pro-kerajaan rapat dengan pimpinan Umno.

Kadir memimpin akhbar itu ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.


Mampukah Najib bertahan kali ini?

Kali terakhir Dr Mahathir kecewa dengan penggantinya, beliau menjatuhkannya dari jawatan perdana menteri, ini berlaku kepada Abdullah yang sempat memimpin negara dari 2003 hingga 2008. Dr Mahathir menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Abdullah pada 2003.

Namun apabila polisi Abdullah disalahkan selepas kekalahan terburuk BN pada 2008, Dr Mahathir melakukan apa sahaja untuk menyingkirkan bekas ahli Parlimen Kepala Batas itu.

Selepas Najib mengambil alih pada 2009, beliau diharapkan akan membetulkan kesilapan Abdullah. Tetapi selepas Najib mendapat mandat lebih kecil berbanding Abdullah dan Dr Mahathir sudah bercakap secara terbuka betapa kecewanya beliau, persoalannya apakah Najib akan menerima nasib sama seperti Abdullah?
Seorang pemimpin Umno Selangor mengatakan Dr Mahathir masih lagi disokong kuat dalam parti, terutamanya di kalangan pemegang jawatan.

Pandangan bekas perdana menteri itu juga dihormati golongan yang mengundi Umno.

“Tun merupakan seorang pemidato yang baik, terutamanya apabila beliau berhujah mengenai sesuatu. Beliau selalunya akan menggunakan fakta dan penyokong kami sukakannya,” kata pemimpin Umno itu yang turut tidak mahu dinamakan.

Bagaimanapun beliau percaya kritikan Dr Mahathir tidak bertujuan untuk menjatuhkan Najib, tetapi untuk menyedarkannya.

“Hanya untuk menyedarkan. Ia agar Najib tidak begitu selesa dan harus bekerja keras untuk mengembalikan sokongan kepada Umno dan BN.”

Kadir bagaimanapun percaya kedudukan Najib dalam Umno selamat kerana tiada siapa yang berani mencabarnya.

“Kritikannya boleh melemahkan Najib, tetapi Najib akan tetap menjadi perdana menteri akhirnya. Tetapi mungkin menjadi perdana menteri yang kurang kredibilitinya.”

Penganalisis politik Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff pula melihat kritikan Dr Mahathir dengan berbeza.

“Beliau patut mengkritik, seperti rakyat Malaysia yang mempunyai hak dan tanggungjawab untuk mengkritik polisi kerajaan,” kata Mohammad Agus dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Dr Mahathir sebenarnya menjadi satu lagi semak dan imbang kepada kerajaan.” – TMI


2 comments:

aishh..mcm2 lah plk..

19 August 2014 at 17:16 comment-delete

Yang baik kita ambil..yang kurang molek kita tinggalkan di tepi..

19 August 2014 at 22:24 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ