Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Yaman, Asia Barat dan Amerika: Masa Depan Kebangkitan Arab





Apa yang berlaku di Yaman, bukan sekadar Houthiyyun atau Syiah di sana. Pemberontak Houthiyyun (Houthis) turut disertai kabilah-kabilah Sunni, bererti ini merupakan isu kepolitikan dan persaingan kuasa besar, bukan semata-mata sektarianisme, tanpa menafikan faktor sektarianisme yang cuba terus diapi-apikan di sesetengah negara bergolak.

Ia bukan sekadar tentang Houthis yang ditaja Iran, tapi mereka tetap mendapat tajaan penting dari Arab Saudi dan UAE (Emiriah Arab Bersatu), dua negara setia di belakang Amerika Syarikat (AS).

Lebih-lebih lagi akhir-akhir ini Iran juga sedang dalam proses membaiki hubungan antarabangsanya dengan AS, maka tidak hairan mereka boleh bersetuju dengan AS dalam beberapa isu. Sebahagian penulis politik melihat ia merupakan counter-revolution yang sebagaimana dilakukan di Mesir, mahu turut dilakukan ke atas Libya, Yaman, dan termasuk Tunisia (namun berjaya dihidu dan diatasi dengan aman, dan sedang diatasi demi kepentingan nasional dan bukan pihak/kelompok tertentu dalam Tunisia).

Negara-negara teluk sangat takut dengan kebangkitan rakyat. Arab Saudi lebih-lebih lagi mempunyai alasan besar untuk bersama dengan Houthis di Yaman, kerana Yaman sangat dekat dengan Arab Saudi. Arab Saudi juga yang 'menyambut' Ali Abdullah Saleh, presiden Yaman yang terpaksa melarikan diri selepas kebangkitan rakyat Yaman, sebagaimana Arab Saudi menyambut Ben Ali yang melarikan diri dari Tunisia ke Arab Saudi. Ali Abdullah juga seperti sedang merancang dari jauh terhadap apa yang berlaku di Yaman, khasnya dalam usaha untuk kembali memerintah Yaman. Nasser Arrabyee, wartawan dari Yaman dalam satu tulisannya bertajuk ‘Ali Abdullah Saleh plans his comeback’ menyatakan sebahagian peserta demonstrasi yang bersama-sama Houthis dikatakan ada yang membawa bendera parti General People's Congress, parti bekas presiden Yaman tersebut. Ali Abdullah juga dilihat menyokong apa yang dilakukan Houthis di Yaman.




Demikian juga UAE, pelbagai kepentingan perlu dijaga, terutama kepentingan AS dan jaminan keselamatan Israel, maka berhubung counter-revolution yang sedang berlaku sekarang, sifir penting sebahagian pemerhati politik ialah "di mana ada counter-revolution, di situ ada UAE". Sebab itu sebahagian pihak akan khuatir dengan sikap UAE yang menyokong sebahagian ulama dalam 'mempromosikan keamanan', kerana keamanan versi UAE itu sudah tentu boleh diteka apa yang dimahukannya.

UAE dan Arab Saudi turut terlibat dalam kudeta di Mesir, selain penglibatan AS yang jelas khasnya hubungannya dengan tentera Mesir sejak sekian lama. Reaksi dan sikap negara-negara teluk terbabit terhadap isu Gaza tempoh hari lebih menjelaskan kesetiaan mereka terhadap AS dan dasar Asia Baratnya.
Oleh itu, kebangkitan Arab dianggap sebahagian pihak sebagai bukan lagi kebangkitan, kerana seperti dengan 'mudah' sekali diatasi kuasa besar lain, khasnya AS dan negara-negara teluk yang setia dengannya.

Benarkah tiada faedah daripada kebangkitan dan revolusi yang dianggap 'gagal' itu? Lagi satu, benarkah ia sebuah 'kegagalan'? Tunisia membuktikan ia bukan sebuah kegagalan secara total. Bahkan apa yang dilihat sebagai kegagalan sebenarnya merupakan sebuah kejayaan; kejayaan mengajar kepada dunia kebebasan, keadilan, demokrasi dan tatakelola yang baik mesti didahului dengan pengorbanan yang amat pahit sebagaimana berlalu dalam sejarah.

Ibn Khaldun ada menyebut semasa membicarakan tentang teori keadilan dan bahaya kezaliman dalam al-Mukaddimah-nya, beliau menyebut jika seseorang pemerintah itu berada pada kemuncak kezaliman, pendustaaan dan kejatuhan akhlaknya, maka berkemungkinan rakyat akan berpakat menjatuhkannya, bahkan membunuhnya. Ia pandangan penting daripada bapa sosiologi, itu antara tabiat manusia dalam sejarah. Perdana menteri baharu Turki, Ahmet Davutoglu menyebut dalam satu kenyataannya semasa berbicara tentang apa yang sedang berlaku di dunia Arab, katanya ia merupakan "the natural flow of history".
Terkini, AS mengisytiharkan perang terhadap Negara Islam (IS) di Iraq, disertai beberapa negara lain. Apa yang menarik, Obama dalam satu ucapannya untuk menghalalkan agendanya memetik pandangan seorang ulama terkenal yang merupakan antara tokoh sarjana berpengaruh hari ini khasnya dalam berhadapan dengan sikap Kesatuan Ulama Sedunia pimpinan Yusuf al-Qaradawi yang sejak awal menunjukkan sikap berpihak mereka terhadap kebangkitan beberapa negara Arab dan mengkritik keras kediktatoran di negara terbabit.

Berdasarkan pelbagai pengalaman sebelum ini, suatu yang janggal untuk memberi harapan AS memang mahu selesaikan isu IS dan menjanjikan keamanan, mereka hanya mahu memastikan pengaruh dan kepentingan mereka di Asia Barat terus berjalan seperti dirancang. Iraq dahulu dimasuki AS pada 2003, dari seorang diktator Sunni yg sektarian, Iraq diserahkan kepada diktator sektarian Syiah yang jauh lebih teruk berbanding Saddam, hingga akhirnya sekarang, pergaduhan Sunni-Syiah terus menjadi senjata penting AS di beberapa negara, khasnya Syria dan Iraq.

Keadaan amat rumit dan terus menjadi semakin kompleks. Antara apa yang terlihat (pada hemat saya) ialah, siri kebangkitan rakyat di beberapa buah negara Arab sangat ditakuti AS dan beberapa negara teluk kerana dibimbangi kepentingan mereka terjejas, selain jaminan keselamatan terhadap Israel. Sebab itu, Mesir harus diselesaikan secepat mungkin, dan Mesir sudah mereka 'selesaikan' dengan seorang diktator bernama al-Sisi setelah setahun pemerintahan Morsi.



Adapun dalam negara seperti Syria, AS seperti mahu negara tersebut terus dalam krisis dan tiada pemenang. Hal tersebut kerana jika pemerintah Syria sekarang (pimpinan Bashar) yang menang, AS memang sedari awal tiada hubungan baik dengannya, adapun jika penentang Bashar Asad dan kerajaannya, turut ada kemungkinan untuk mereka tidak dapat melaksana dasar dan polisi AS di Asia Barat.

Membiarkan sambil menjadikan perang saudara di Syria lebih teruk seperti lebih strategik untuk Amerika sekarang. (Lihat contohnya ulasan pemikir strategik yang turut menjadi antara pemikir dasar-dasar luar AS, Edward Luttwak bertajuk: "In Syria, America Loses if Either Side Wins" bertarikh 24 Ogos 2013.

Selain itu terlihat juga di celah-celah kesetiaan Arab Saudi dan UAE khasnya, negara lain yang ada hubungan baik dengan AS seperti Turki (dan Qatar) pula dalam beberapa keadaan berani mempunyai sikap tersendiri dalam beberapa isu di Asia Barat, sepertimana terlihat dalam isu Ghazzah beberapa minggu lepas. Hal tersebut seperti diulas pengamat politik, Muhammad Mukhtar al-Shinqiti (dalam artikel bertajuk America's Interference in The Fate of The Arab Nation) apa yang berlaku sekarang menunjukkan sekurang-kurangnya ada dua jenis sikap sebahagian negara terhadap hubungan dengan US.
Beliau berpandangan dua jenis sikap tersebut sebagaimana berikut:

"The first approach is making sure that the American interests are aligned with the interests of the nations, and it is followed by Qatar, Turkey, and most political forces seeking reform and change, including the democratic Islamist movements.

“The second approach is making sure that the American interests are aligned with the interests of the leaders against their people, and is adopted by the counter-revolution states in the Arab world. It has also been adopted by Iran lately due to its efforts to reconcile with the US at any cost, given its need for power and errors of sectarianism."

Berhubung dunia kesarjanaan Islam pula dan sikap mereka terhadap krisis di Asia Barat, saya memerhati, suatu yang mendukacita dalam sesetengah ulama, apabila sebahagian mereka atas nama 'mempromosi keamanan' hanya cenderung menyalahkan rakyat yang turun ke jalan untuk menuntut hak mereka yang sebenarnya diizinkan dalam dunia demokrasi, sementara terhadap penguasa dan diktator pula hanya diberi 'nasihat' yang halus.

Tiada masalah untuk memberi nasihat, namun yang masalahnya apabila menganggap 'nasihat' dan 'amar makruf nahi munkar' yang tegas datang daripada rakyat sebagai 'gelojoh', 'bughah', 'ganas' dan sebagainya sekalipun mereka menggunakan jalan aman dan tak bercanggah menurut perlembagaan negara mereka. Dibimbangi, ayat-ayat suci hanya dituju kepada rakyat biasa yang lapar dan dizalimi, bukan lagi dipesan dengan tegas terhadap penguasa.

Begitu juga, memahami ayat Al-Quran dan hadis Nabi dalam kerangka politik tidak seharusnya terperangkap dalam tafsiran silam yang sebahagiannya terhad dengan zaman empayar, sedangkan sekarang kontrak sosial, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang merupakan antara prinsip penting dan tidak bercanggah dengan nilai besar yang ditekan agama dalam pemikiran kepolitikan.

Contohnya menuduh rakyat dan masharakat sivil yang menekan pemerintah yang bertindak di luar batasan kuasa sedangkan ia dijamin perlembagaan, namun dalam masa yang sama pemerintah yang melanggar satu demi satu prinsip kenegaraan dan pemerintahan pula disuruh taat untuk elak 'mafsadah lebih besar'.

Ternyata krisis di Asia Barat dan kebangkitan beberapa negara Arab memberi kesan besar terhadap kuasa besar dunia dan boneka-boneka setia. Ia sangat rumit. Jika hari ini sesebuah negara itu rakan, boleh jadi, esok ia merupakan musuh. Begitu juga sebaliknya. Dalam masa yang sama, pertimbangan maslahah dan mafsadah hendaklah sentiasa menjadikan nilai tertinggi untuk dipertahan dan diperjuangkan, bukannya 'maslahah penguasa' sentiasa diutamakan, sementara rakyat pula dipandang sentiasa wajar beralah.

Lebih aneh jika menyandarkan faham tersebut sebagai pandangan Islam. Islam menolak keganasan dan peperangan, demikian juga Islam menolak kezaliman dan kediktatoran. Semoga Asia Barat kembali aman dalam masa terdekat. Pada akhirnya kita boleh bersetuju dengan Ahmet Davutoglu bahawa apa yang sedang berlaku merupakan "the natural flow of history", demikian juga kita bersetuju dengan kalam Ibn Khaldun tentang sifat rakyat apabila seseorang penguasa itu berada di kemuncak kezaliman dan keruntuhan akhlaknya.


Oleh Marwan Bukhari


Sumber


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ