Tidak Akan Datang Kiamat Selagi Orang Tidak Menyembah Berhala Seperti Lat Dan Uzza

Patung Buddha Duduk di Kelantan




Tidak Akan Datang Kiamat Selagi Orang Tidak Menyembah Berhala Seperti Lat Dan Uzza


TELAH diriwayatkan daripada 'Aisyah r. 'anha bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Siang dan malam tidak akan tamat selagi Lat dan Uzza tidak disembah."

Saiyidatina 'Aisyah r. 'anha berkata : "Aku memikirkan bahawa Allah Ta'ala telah berfirman di dalam Al Quran bahawa Dia telah mengutus Rasulnya dengan petunjuk dan agama yang benar, maka petunjuk dan agama yang benar ini akan terus hidup menguasai (dunia) sehingga ke Hari Kiamat."

Rasulullah s.a.w. bersabda : "Benar agama ini akan terus menguasai jika dikehendaki Allah. Tetapi ketika menjelangnya Kiamat, satu jenis bayu akan bertiup lebih lembut daripada sutera. Apabila ia melalui mana-mana orang Islam, orang itu akan mati. Kemudian hanyalah hidup orang-orang kafir. Maka mereka akan menyembah Lat dan Uzza."
(Muslim, Jilid ii, m.s. 394)

Adalah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Kiamat tidak akan muncul selagi wanita-wanita daripada suku Daus tidak mengelilingi berhala bernama Zil-Khalsah. Berhala itu adalah milik suku Daus."
(Ibid)

Lat, Manat dan Uzza adalah berhala-berhala yang masyhur di Tanah Arab. Selepas penaklukan Mekah, Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan supaya jangan ada sebuah patungpun di dalam rumah. Kemudian baginda mengutus Khalid Bin Walid r. 'anhu bersama sekumpulan Sahabat terdiri daripada 80 orang yang berkuda untuk memusnahkan berhala Uzza.

Apabila Khalid r. 'anhu kembali selepas memecahkan berhala tersebut, maka Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya samada beliau melihat sesuatu. Apabila Khalid r. 'anhu menjawab tidak, baginda menghantarnya semula sambil berkata jika kamu tidak melihat sesuatu bermakna berhala itu tidaklah sebenarnya pecah. Apabila Khalid r. 'anhu kembali, beliau lihat seorang wanita hitam bertelanjang dengan rambut yang kusut masai, lalu dipancung oleh Khalid r. 'anhu dengan pedangnya. Sami-sami tokong menjerit. Khalid r. 'anhu pun menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah s.a.w. yang bersabda : "Wanita tersebut adalah Uzza. Sekarang dia tidak akan disembah dan dipuja lagi di negeri kamu."

Uzza adalah berhala golongan Quraisy dan Banu Kananah sedangkan Banu Syaiban adalah sami-saminya.

(Assah-al Siyar m.s. 285)

Begitulah juga Zil-Khalsah adalah berhala bagi suku Daus. Rasulullah s.a.w. bermaksud bahawa penyembah-penyembah berhala telah tamat hasil daripada keberkatan Iman, Islam, Wahyu dan juga usaha gigih daripada orang-orang Arab yang buta huruf, maka tidak ada lagi bekas-bekas berhala tersebut. Tetapi apabila perjalanan sistem dunia akan hancur maka ketiadaan majlis-majlis dan kegiatan ilmu, penyampaian dan khutbah serta terpupusnya sistem Khanqah (pondok, pesanteren dsb), ceramah-ceramah agama dan orang-orang Islam sendiri telah tidak wujud lagi, berhala-berhala tersebut akan mula disembah semula.

Nota :
Terbuktilah daripada Hadis tersebut bahawa "keajaiban" yang terdapat di rumah-rumah berhala dan tokong-tokong adalah hasil daripada silap mata dan penyulapan ataupun tipudaya syaitan. Begitulah "keajaiban" yang berlaku di kuburan adalah satu tipu helah syaitan untuk menyesatkan orang-orang Islam biasa dan orang-orang lain juga. Tetapi Rasulullah s.a.w. bersabda : "Bahawa Kiamat tidak akan berlaku selagi berhala-berhala tersebut tidak disembah lagi."


Bab 84 - Meniti Debaran Zaman oleh Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan : Abdul Aziz Bin Abdul Hamid





0 comments:

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ